Followers

Apr 25, 2011

Setiap impian tercapai - Dafi

Posted by MohdHaz on 1:03 PM

BAKAT...Dafi ingin menjadi anak seni versatil.
BAKAT...Dafi ingin menjadi anak seni versatil.
USIA muda bukan penghalang buat penyanyi yang popular dengan lagu Bila Terasa Rindu, Dafi belajar erti hidup berdikari dan menentukan hala tujunya dalam bidang seni.

Berbekalkan pengalaman tiga tahun bernaung di bawah payung KRU Studios, Dafi atau nama sebenarnya Gadaffi Ismail Sabri, 23, mula mengatur masa depan karier seninya.

Melalui produksinya, Laugh Out Loud Entertainment Sdn Bhd yang ditubuhkan setahun lalu dibantu rakan kongsinya, Afeeq, Dafi tidak ingin menoleh ke belakang lagi.

“Secara peribadi, saya sangat bersyukur kepada Tuhan kerana tuah sering menyebelahi sejak dulu. Pada peringkat awal pembabitan dalam bidang seni, saya teringin masuk program Akademi Fantasia (AF) dan tidak lama selepas itu, saya terus diterima masuk AF5.


“Saya juga berminat hendak jadi artis KRU dan terus dapat peluang menjadi artis mereka. Menyusul selepas itu, saya impikan menjadi duta minuman Cola-Cola dan terus dapat peluang jadi duta minuman itu selama setahun pada 2009.

“Sehinggalah, impian terbaru saya hendak bikin album dengan titik peluh sendiri juga tercapai di bawah produksi sendiri sekarang,” katanya.

Pemegang jurusan Diploma Profesional Bunyi dan Muzik dari Universiti Limkokwing ini percaya sampai masa menguruskan karier seninya sendiri sekarang.

“Saya juga menjadikan adik beradik KRU, Norman, Edry dan Yusry sebagai contoh untuk berjaya dalam produksi dengan melihat cara mereka bekerja ketika bernaung di bawah payung KRU dulu.

“Selain menguruskan karier seni saya, produksi kami membekalkan artis untuk undangan persembahan dan sebagainya lagi kepada mereka yang berminat di luar sana,” katanya.

Anak bujang Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata dia membuka produksi dengan duit simpanannya, sejak berkecimpung dalam bidang seni dulu.

“Sebab itu, saya tidak boleh terima kalau orang kata saya pakai duit dan pengaruh bapa untuk menjadi penyanyi.

“Saya akui, dapat kepuasan yang lebih jika kita buka produksi dengan duit titik peluh sendiri dari duit pemberian orang lain,” katanya.

Ditanya sama ada dia keluar dari KRU kerana berdepan dengan masalah dengan pengurusan itu, Dafi menafikannya.

“Saya keluar secara baik dari KRU. Hubungan kami masih baik sampai sekarang. Malah, KRU sendiri yang menggalakkan artisnya untuk hidup berdikari. Kenapa saya menolaknya?

“Kami masih berhubung antara satu sama lain untuk bertanya perkembangan masing-masing. Saya juga tidak ada masalah bekerjasama dalam projek mereka pada masa akan datang.

“Maklumlah, banyak ilmu yang saya timba sepanjang bekerja dengan mereka sebelum ini dan saya manfaatkan ilmu yang saya belajar dalam produksi sendiri,” katanya.

Dafi berkata, dia sibuk mempromosikan single terbarunya, Euphoria (kegembiraan yang teramat sangat) yang mula diputarkan di stesen radio tempatan. Lagu ini ciptaan Omar K dan Pam Yuen (lagu) dan Dafi sendiri dan Zel dan gubahan muziknya oleh komposer Audi Mok.

“Ini pengalaman pertama saya menulis lirik lagu. Saya memberanikan diri berjinak-jinak dengan penulisan lirik. Sampai bila saya nak menyanyi saja dan tidak mencuba menulis lirik pula?

“Saya mula belajar menulis lirik sendiri dari Zel. Lagu ini mengenai kisah cinta dan seseorang itu gembira bila ditinggalkan,” katanya.

Berkongsi perkembangan album keduanya, kata Dafi, dia masih dalam proses pengumpulan material untuk bingkisan album barunya tahun ini.

“Pada tahun ini, saya ingin kembali aktif dalam bidang nyanyian yang sudah sebati dengan diri sejak dulu. Pada 2010, saya sibuk pada bidang lakonan. Apapun, keutamaan saya tetap pada bidang nyanyian kerana ia tetap nombor satu dalam hidup saya.

“Saya juga memetik kata-kata Usher untuk menjadi penghibur yang bagus, kita perlu versatil iaitu boleh menyanyi, berlakon dan menari sekali gus.

“Buat permulaan, saya akan keluar single demi single terlebih dulu. Selepas single pertama, Euforia, saya akan muncul dengan single kedua pula.

“Mengikut perancangan, album penuh ini dijangka mengandungi single dan enam lagu baru. Saya juga masih mencari konsep yang lebih segar dan funky serta lebih dewasa sikit. Pada masa sama, saya lebih bebas berkarya dan buat apa yang saya rasa bila guna duit sendiri untuk bikin album,” katanya.

Lebih bermakna, Dafi yang pernah digosipkan bercinta dengan bintang filem Heart, Acha Septriasa merancang untuk turun padang dengan mengadakan siri jelajah untuk mempromosikan album barunya nanti sekali gus untuk mendekatkan diri dengan peminatnya pada Ogos dan September nanti.

Selepas itu, ia berakhir dengan sebuah showcase di kawasan sekitar Kuala Lumpur di mana lokasinya belum diputuskan lagi.

Selain sibuk dengan karier nyanyian, Dafi turut mencuri masa berlakon drama bersiri Waris Jari Hantu musim kedua terbitan Pesona Pictures yang juga produksi milik pengarah terkenal Shuhaimi Baba.

“Saya bawa watak Finn, pemuda yang ‘happy go lucky’ yang juga pengarah filem pendek yang banyak menolong Ari yang juga pemilik saka harimau (lakonan Rusdi Ramli) dalam cerita itu.

“Sekalipun ia diarahkan oleh pengarah dari produksi Shumi, saya tetap menimba pengalaman berharga bekerja dengan produksinya,” katanya yang baru dilantik menjadi duta Bank Rakyat.

Tidak ketinggalan, Dafi sibuk berlatih untuk menjayakan pementasan muzikal Kenangan Mengusik Jiwa yang bakal dipentaskan pada 27 Mei hingga 5 Jun di Istana Budaya, Kuala Lumpur.

Terbaru, Dafi juga terbabit dengan pementasan muzikal bertaraf antarabangsa, Dreamgirls terbitan Broadway Academy (M) Sdn Bhd yang akan dipentaskan pada 14 hingga 24 Julai ini di IB. Dia juga diberi kepercayaan bawa watak CC White dalam muzikal dari New York itu.



PROFIL

NAMA SEBENAR: Gadaffi Ismail Sabri
TARIKH LAHIR: 14 Disember 1988
ASAL: Kuala Lumpur
KELUARGA: Anak kedua daripada empat beradik
PENDIDIKAN: Pemegang jurusan Diploma Profesional Bunyi dan Muzik dari Universiti Limkokwing, Cyberjaya
PROFESION: Penyanyi, pelakon, model iklan dan duta produk
PENCAPAIAN: Finalis Akademi Fantasia 5 (AF5) dan tersingkir pada konsert minggu kelapan
ALBUM: Dafi - Seumur Hidup terbitan KRU Studios Sdn Bhd dan single Bila Terasa Rindu
DRAMA: Drama muzikal Hotel Mania, Opah Popular, telefilem Lawaknya Fantasia Raya, Misteri Datin Lily, Mistik Alam Hitam dan Waris Jari Hantu musim kedua
FILEM: Sayang U Can Dance
IKLAN: Aiskrim Walls, Brands, Silky White, Silky For Men, kempen 60 Earth Hour, TM Everyone Connect dan Power Root

sumber : kosmo.com.my

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
  • RSS
  • Delicious
  • Digg
  • Facebook
  • Twitter
  • Linkedin

Search Site