Followers

Apr 30, 2011

Pencuri hati Justin Bieber

Posted by MohdHaz on 12:42 PM

  • Foto
  • Foto
Peminat marah Selena dampingi penyanyi remaja paling popular

PADA awal tahun ini, gosip percintaan antara dua bintang muda, Justin Bieber dan Selena Gomez, mula bertebaran selepas gambar mereka berdua bercumbuan di atas kapal layar tersiar di alam siber.
Namun, kedua-duanya bagaikan dapat mengagak apa yang bakal berlaku seandainya masing-masing mengaku memang wujud hubungan intim, lebih daripada seorang kakak dan adik, antara mereka.
Maklum saja, Justin ialah penyanyi remaja lelaki paling popular di dunia ketika ini. Lalu, tentu saja dia menjadi dambaan setiap gadis di seluruh dunia. Pada usia 17 tahun, Justin bagi kebanyakan peminat wanita muda, bukan sekadar seorang penyanyi yang diminati, malah umpama ‘kekasih’ yang jauh di mata.

Maka, apabila foto keintiman kedua-duanya tersiar, tidak hairan peminat Justin ‘naik hantu’ dengan penyanyi dan pelakon berusia 18 tahun yang mula dikenali peminat menerusi siri televisyen dan telefilem terbitan Disney itu. Pelbagai kata kesat dan ugutan dapat dilihat di laman Twitter apabila gambar mereka bercium muncul di Internet.

Ketika gambar berkenaan dirakam, penyanyi Baby dan pelakon The Wizards of Waverly Place yang turut mempunyai kumpulan sendiri (Selena Gomez & The Scene) ini sedang bercuti di Caribbean bersama beberapa rakan lain.

Antara ancaman dan maki hamun yang diterima Selena ketika itu termasuk kata-kata berbunyi: "Aku bencikan kau", "Kalau kau teman wanita Justin, aku akan bunuh engkau. Aku benci engkau", dan sebagainya. 
Bahkan, ada yang mengugut untuk menamatkan riwayat gadis yang pernah muncul dalam filem Spy Kids 3-D: Game Over ini seandainya dia melukai hati penyanyi yang baru saja mengadakan konsert jelajah dunianya di Malaysia itu.

Sememangnya, bukan mudah bagi gadis berasal dari Texas ini untuk mendampingi remaja masyhur berkenaan. Malah, mereka juga mengelak daripada berbicara mengenai hubungan itu biarpun beberapa bukti sudah diperoleh untuk peminat mengesahkan kewujudan cinta di antara kedua-duanya.

'Apa salah saya'

HANYA pada Mac lalu Selena mula membuka mulut mengenai hubungan terbabit. Akuinya, memang sukar untuk berada di sisi Justin yang digilai jutaan peminat. Begitu juga dia akui betapa sukarnya dia berdepan dengan pelbagai reaksi kurang menyenangkan sebaik saja mereka mengetahui corak hubungan antara dirinya dan penyanyi lelaki berkenaan.

"Memang sukar dan memang menyakitkan sekali (apabila diperlakukan begitu oleh peminat Justin). Saya tidak berasakan yang saya melakukan perkara yang salah.
Saya sebenarnya sudah lama berkawan baik dengan Justin. Ia memang melukakan perasaan saya, tetapi saya cuba untuk tidak mengendahkan semua itu. Nasib baik saya mempunyai keluarga dan kelompok peminat yang sangat kuat," katanya.

Sudah tentulah ada kalangan peminat yang merestui hubungan itu, seperti yang ditulis di laman sosial terbabit, dan tidak kurang yang cemburu walaupun mereka gembira dengan kemesraan yang terjalin antara mereka.

Selena pada hakikatnya mengerti bagaimana perasaan remaja yang membencinya itu kerana dia sendiri pernah mengalami keadaan serupa tidak lama dulu, apabila dia ‘jatuh cinta’ dengan selebriti.

"Ada masanya saya setuju juga dengan mereka. Saya pernah menyukai Jesse McCartney. Saya memang taksub dengannya. Jesse keluar bersama Katie Cassidy ketika dia berusia 16 atau 17 tahun. Ketika itu, saya memang benci pada Katie.
Saya geram sangat, kenapalah Katie yang mendampingi Jesse, sedangkan saya yang tergila-gilakannya. Bahkan, dialah gambar hiasan skrin komputer saya," katanya.
Nampaknya, semua itu kini bagai terkena kepada Selena sendiri.

"Baru-baru ini, saya menjayakan sebuah filem (Monte Carlo) bersama Katie. Dia sebenarnya seorang yang begitu baik sekali," cerita gadis ini.

Perpisahan hanya khabar angin

AWAL bulan ini, wujud khabar angin mengatakan pasangan muda ini membawa haluan masing-masing apabila Selena berasakan Justin masih menyintai bekas kekasih, Jasmine Villegas. Justin dikatakan masih menghantar pesanan ringkas kepada Jasmine, walaupun selepas bersama Selena.

Gadis ini dikatakan bertanyakan sendiri perkara itu kepada Justin yang pada mulanya menafikan dakwaan berkenaan. Tetapi, Justin akhirnya mengaku dia masih berhubung dengan bekas kekasihnya, namun hanya atas dasar kawan.

Bagaimanapun, desas-desus keretakan hubungan mereka nyata tidak berasas apabila Selena dilihat menemani Justin ketika tiba di Kuala Lumpur untuk mengadakan konsertnya di sini, 21 April lalu. Jika Selena sanggup terbang merentasi benua untuk bersama penyanyi terbabit, bukankah itu tandanya dia memang serius dalam perhubungan?


sumber : bharian.com.my

Sarah Burton reka gaun Kate

Posted by MohdHaz on 12:22 PM

LONDON: Gaun pengantin berenda dan berwarna putih gading yang dipakai Kate Middleton direka oleh pengarah kreatif butik fesyen Alexander McQueen, Sarah Burton.


Kate sambil tersenyum memasuki Gereja Westminster Abbey untuk bersama dengan Putera William, manakala pegawai istana mengesahkan spekulasi bahawa Sarah yang mereka gaun pengantinnya. Sebelum ini, mereka enggan mendedahkan walaupun sedikit maklumat mengenainya.

“Kate inginkan gaun pengantinnya mempunyai ciri kombinasi tradisional dan moden dengan hasil artistik yang menjadi karakter rekaan Alexander McQueen,” kata pegawai itu dalam satu kenyataan. “Kate bekerjasama dengan Sarah ketika menghasilkan rekaan gaun pengantin itu,” katanya lagi.




Menurut pegawai itu, gaun berkenaan diperbuat daripada kain satin putih gading yang berukuran 2.7 meter serta lengan berenda yang mempamerkan mutu kesenian Inggeris. Pengantin perempuan juga memakai mahkota yang dipinjamkan oleh Ratu Elizabeth.

Sarah menjadi pengarah kreatif di butik McQueen selepas pereka fesyen itu membunuh diri pada Februari 2010. Dia sudah bekerja dengan McQueen selama 14 tahun. Sarah, 36, sudah sekian lama dikatakan orang yang bertanggung jawab untuk mereka pakaian pengantin itu.


Elizabeth Emanuel yang mereka gaun perkahwinan ibu William, Diana pada 1981 bersama-sama dengan suaminya David masih diminta menghasilkan pakaian serupa hingga kini.





“Seperti yang berlaku pada 1981, akan ada orang yang melihat Kate berjalan dengan gaun itu bersama-sama buku lakaran mereka. Sementara tukang jahit sudah bersedia, hanya menanti lakaran berkenaan. Esok, anda akan melihat fesyen gaun Kate di kedai,” kata Elizabeth.- AFP

sumber : hmetro.com.my

Majlis gilang-gemilang - Perkahwinan Diraja

Posted by MohdHaz on 12:21 PM

WILLIAM menyarungkan cincin perkahwinan kepada Kate di hadapan Ketua Biskop pada upacara perkahwinan mereka di Westminster Abbey, semalam.
WILLIAM menyarungkan cincin perkahwinan kepada Kate di hadapan Ketua Biskop pada upacara perkahwinan mereka di Westminster Abbey, semalam.
LONDON: Putera William mengahwini Kate Middleton dalam suasana gilang-gemilang di Gereja Westminster Abbey di London, semalam, dengan jutaan rakyat jelata dan penonton televisyen di seluruh dunia menyaksikan acara perkahwinan diraja yang terbesar di Britain sejak tiga dekad lalu.


Kate memakai gaun pengantin satin putih gading yang kembang berjela dengan lengan panjang berenda dilengkapi vel jarang amat menawan ketika berdiri di altar bersama William, yang menduduki tangga kedua senarai pewaris takha di raja Britain.

“Saya setuju,” ucap bakal raja dan pemasiuri itu secara bergilir-gilir sebelum William menyarungkan cincin diperbuat daripada emas Wales pada jari Kate sebelum Ketua Biskop Canterbury, Rowan Williams mengumumkan mereka sebagai suami isteri. Majlis itu adalah upacara diraja yang amat gilang -gemilang sejak perkahwinan ibu William, Puteri Diana yang berkahwin dengan Putera Charles pada 1981 dan memberi kesempatan untuk keluarga diraja Britain memulihkan hubungan selepas perceraian Charles dan Diana.




Ketiadaan Diana yang mati dalam nahas kereta di Paris pada 1997 amat dirasai sepanjang majlis berlangsung dan muzik yang dimainkan pada hari perkahwinan 30 tahun lalu dan ketika majlis pengebumiannya di tempat yang sama dimainkan semula ketika majlis berlangsung, semalam.

Dua juta orang - satu pertiga penduduk dunia - didipercayai menonton majlis perkahwinan anak sulung Diana yang berkahwin dengan orang biasa, wanita yang berpacaran dengannya di Universiti St Andrews, Scotland sejak lapan tahun lalu. Sebaik beratus ribu orang mengibarkan Union Jack di London, Kate melambai ke arah mereka sejurus tiba di Abbey bersama bapanya, Michael dengan menaiki limosin Rolls-Royce. Dia mengambil masa empat minit untuk berjalan menuju ke altar yang dihiasi dengan pokok yang dibawa khas bagi menghidupkan suasana taman Inggeris.


William atau William Arthur Philip Louis - putera sulong Diana dan pewaris takhta kedua - tiba di Abbey 45 minit sebelum itu, diiringi adik dan juga pengiringnya Putera Harry. Selepas menjalani upacara perkahwinan pasangan pengantin baru itu menaiki kereta kuda dari Abbey menuju ke Istana Buckingham di mana mereka muncul di balkoni sambil berkucupan dengan disertai anggota keluarga diraja yang lain. - AFP



sumber : hmetro.com.my

David Beckham ketuai selebriti

Posted by MohdHaz on 12:19 PM

DAVID Beckham...memegang perut isterinya yang hamil ketika mereka tiba di Westminster Abbey.
DAVID Beckham...memegang perut isterinya yang hamil ketika mereka tiba di Westminster Abbey.
MAJLIS perkahwinan kerabat diraja Britain, Putera William dengan pasangannya, Kate Middleton, semalam, bertambah seri dengan kehadiran golongan selebriti di Westminster Abbey.


Mendahului senarai selebriti terkenal yang hadir bagi memeriahkan majlis perkahwinan yang boleh dinobatkan `Wedding of the Year’ adalah pasangan bekas kapten pasukan bola sepak England, David Beckham yang mengenakan medal OBE pada sut Ralph Lauren berwarna kelabu bersama isterinya Victoria.



Penyanyi merangkap pereka fesyen terkenal itu, Victoria yang mengandungkan anak keempat itu pula kelihatan anggun mengenakan pakaian koleksi musim luruh/sejuk 2011 iaitu gaun biru dan topi Philip Treacy.

Beckham yang kini bermain dengan Kelab La Galaxy itu dipelawa menghadiri majlis perkahwinan itu disebabkan kedudukan William sebagai Presiden Persatuan Bola sepak England yang pernah bekerjasama dengan bintang bola sepak itu ketika membida untuk menganjurkan Piala Dunia 2018.



Pelawak terkenal, Rowan Atkinson yang melakonkan watak Mr Bean juga hadir bersama Chelsy Davy, teman wanita adik William iaitu Putera Harry.



Selain itu, antara selebriti yang turut hadir memeriahkan majlis adalah penyanyi Elton John bersama temannya, David Furnish, penyanyi Joss Stone dan pengarah filem Lock, Stok dan Two Smoking Barrels, Guy Ritchie.

Turut kelihatan, perenang Olimpik Australia, Ian Thorpe dan jurulatih yang membolehkan England memenangi Piala Dunia pada tahun 2003 , Sir Clive Woodward.

Wood berkata kepada BBC, dia teruja dan bangga untuk menjadi rakyat British kerana seluruh negara berada di belakang pasangan ini dan sudah tentu ia akan menjadi hari yang terbaik.

Sir Trevor Brooking, rakan William dalam Persatuan Bola sepak England kelihatan bersembang bersama Beckham dan bintang sukan rugbi, Gareth Thomas turut diundang sebagai tetamu kehormat.

Perdana Menteri British, David Cameron pula hadir dengan pakaian tradisinya bersama isteri, Samantha diikuti Datuk Bandar London, Boris Johnson.

Perdana Menteri Australia, Julia Gillard juga antara tetamu kehormat yang tiba awal bersama 50 wakil kerajaan lain.



sumber : hmetro.com.my

Umpama kisah Cinderella - Perkahwinan Diraja

Posted by MohdHaz on 12:18 PM

RAI...Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Tuanku Nur Zahirah turut memeriahkan perkahwinan William-Kate.
RAI...Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Tuanku Nur Zahirah turut memeriahkan perkahwinan William-Kate.
LOS ANGELES: Perkahwinan umpama dalam kisah pari-pari antara Putera William dan Kate Middleton semalam memukau dunia dengan kira-kira dua bilion orang di seluruh dunia turut menonton dan meraikan majlis berkenaan.
Di sebuah pub terkenal di Sunset Boulevard, Hollywood yang dihiasi Union Jack dengan model Kate dan William diletakkan di depan pintu masuk, 300 pengunjung terpaku di depan televisyen bagi menyaksikan majlis itu.

“Di Hollywood memang ramai pelakon terkenal, tetapi tidak menarik perhatian kami,” kata Paula Haifley, 30, seorang pengunjung pub.


Rakannya, Katie Christiansen, 24, berkata, kehadirannya ke pub itu bagi meraikan majlis perkahwinan yang dinanti-nantikan.

“Kami mahu meraikannya. Ia memberi kami peluang untuk berpakaian cantik dan meraikan kemeriahan yang jarang disambut di sini,” katanya.


Berhampiran Hollywood Boulevard, muzium patung lilin, Madame Tussauds turut menyediakan skrin gergasi bagi menyediakan siaran langsung perkahwinan itu.





Seorang pembaca dari London, Andrew Rule memberi komen di akhbar Sydney’s Daily Telegraph bahawa majlis perkahwinan itu umpama kisah Cinderella yang menenggelamkan Hollywood.

“Hari ini dunia menyaksikan perkahwinan itu membuktikan kisah pari-pari boleh menjadi kenyataan,” katanya dalam akhbar berkenaan yang menyediakan lima muka surat pertama untuk menyiarkan laporan perkahwinan itu.




Stesen penyiaran Australia, ABC termasuk dua rangkaian komersial terbesar negara itu menyediakan siaran langsung majlis perkahwinan yang ditayangkan pada waktu malam di Sydney.

Akhbar New Zealand Herald turut menyifatkan hari perkahwinan itu sebagai 'hari paling menggembirakan' di muka depan dengan memaparkan gambar pasangan pengantin muda berkenaan.


Seorang penduduk Wellington, Kip Marshall berkata, dia menyaksikan siaran langsung perkahwinan itu bersama dua cucu perempuannya di rumah.


“Kami memakai pakaian cantik, mahkota plastik dan menghias rumah. Ia satu keraian kerana tiada siapa tahu adakah kita akan menyaksikan perkahwinan diraja lagi. Mungkin mereka akan menyaksikan perceraian diraja sebelum perkahwinan diraja lain,” katanya.


Di Asia pula, puluhan juta penduduk menyaksikan perkahwinan itu di siaran perdana termasuk menyediakan slot perbincangan, komen dan paparan kehidupan kerabat diraja Britain.


Kedutaan Britain di rantau Asia pula menganjurkan parti dengan menyediakan skrin besar untuk tatapan jemputan VIP. Di Hong Kong, sambutan disambut di kelab malam dan pub manakala hotel mewah di Karachi, Pakistan menyediakan skrin gergasi kepada penonton golongan atasan.


Seorang eksekutif perniagaan, Ahmed Naveed, 34, berkata, majlis perkahwinan itu menyebabkan dia melupakan tragedi pengeboman yang berlaku hampir setiap hari di negaranya yang dikaitkan dengan militan Taliban.


“Ia sesuatu yang berbaloi untuk dirai. Saya seronok kerana sekurang-kurangnya ada sesuatu yang menggembirakan disiarkan di televisyen selain darah dan bom,” katanya.


Di Malaysia, sekolah swasta yang menggunapakai kurikulum British, Alice Smith School dihiasi dengan bendera Britain dan kain rentang berwarna-warni manakala murid meraikannya dengan membuat kad perkahwinan dan kek cawan.


“Ia peluang terbaik kepada kami untuk mengucapkan selamat kepada pasangan pengantin itu,” kata Pengetua sekolah, Steve Caulfied.


Di Kenya, tempat William melamar Kate, Oktober lalu perhimpunan umpama meraikan perkahwinan berlansung di kafe dan restoran sekitar Nairobi.


“Ia perkahwinan diraja, seorang putera dengan puteri. Ia sangat unik,” kata seorang pemandu, Michael Chege, 20, yang berharap dapat menyaksikan siaran langsung walaupun sibuk bekerja.


Sementara itu, di Paris, ramai pihak mengunjung tugu berhampiran Pont d’Alma yang menjadi lokasi tidak rasmi bagi mengingati ibu William, Puteri Diana yang maut dalam kemalangan jalan raya di situ.


Bunga ros merah jambu diletakkan di kaki tugu, Flame of Freedom berdekatan terowong yang menjadi lokasi kemalangan pada 1997 dengan mesej ringkas; “Kepada Diana, mengingati kamu pada hari istimewa ini.” - AFP



sumber : hmetro.com.my

‘Bob usah hipokrit, riak’

Posted by MohdHaz on 12:16 PM

KUALA LUMPUR: “Jangan hipokrit, jangan cari publisiti murahan dan jangan riak,” kata penyanyi kumpulan Wings, Awie kepada pelakon dan pengacara, Bob Lokman yang kebelakangan ini dikatakan kerap ‘menyerang’ dunia hiburan selepas bersara daripada bidang itu.

Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, 43, berkata jika Bob mahu mencari ilmu akhirat, tidak perlu dia mencari publisiti dengan usahanya itu kerana itu bukan perbuatan yang baik.

Awie turut menegur Bob yang nama sebenarnya Mohd Hakim Lokman, 47, supaya memberikan tumpuan terhadap dunia baru yang beliau cari dan pada waktu sama tidak menyerang dunia hiburan yang beliau ceburi sebelum ini.

“Dia (Bob Lokman) pernah menjalani kehidupan dalam dunia hiburan ini untuk tempoh belasan tahun lamanya dan memperoleh pendapatan daripada dunia yang beliau kutuk ini.

“Apa yang saya hendak ingatkan Bob supaya tidak melakukan perbuatan yang boleh memalukan diri sendiri, bak kata pepatah meludah ke langit terkena muka sendiri.

“Kita pernah sama-sama ‘cari makan’ dalam bidang sama, tetapi apabila rasa nak beralih arah kenapa pula dia nak kutuk bidang yang pernah digelumangi,” katanya yang mendakwa mengenali Bob Lokman sejak 1985.

sumber : hmetro.com.my

Siti Sarah disahkan hamil

Posted by MohdHaz on 12:13 PM





SUDAH lumrah bagi setiap pasangan yang berumah tangga, pastinya yang paling dinantikan adalah untuk memiliki cahaya mata. Malah, ada yang terpaksa menunggu sehingga bertahun-tahun sebelum dikurniakan anak.
Bagaimanapun, Shahmira Mohamed atau Shuib dan Siti Sarah Raisuddin pastinya antara pasangan suami isteri yang sangat beruntung. Biarpun usia perkahwinan mereka baru dua bulan, tetapi dikhabarkan Siti Sarah sudah pun disahkan mengandung.


“Alhamdulillah, memang kini saya telah mengandung dan usia kandungan saya pula hampir mencecah usia dua bulan. Tentunya ini adalah saat yang sangat dinantikan.
“Lagipun saya dan Shuib tidak pernah merancang sama ada mahu ada anak cepat atau lambat. Kami sendiri tidak kisah kalau dikurniakan anak terlalu awal,” ujarnya ketika ditemui pada sidang media filem Man Sewel Datang KL yang dirasmikan oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Razali Ibrahim di Hulu Klang, Selangor Selasa lepas.
Menurut Siti Sarah, dia sendiri tidak sedar dirinya sudah berbadan dua sehinggalah dia mengalami keletihan dan muntah-muntah ketika menjalani penggambaran filem tersebut baru-baru ini.
Ujarnya lagi, pada hari terakhir penggambaran filem berkenaan, dia telah meminta Shuib membawanya ke klinik untuk menjalani pemeriksaan.
“Pada mulanya saya ingatkan perut saya masuk angin, tetapi setelah menjalani pemeriksaan, kami berdua mendapat berita yang sangat gembira apabila saya telah disahkan mengandung,” ungkapnya.
Ketika ditanya apakah makanan yang paling dia mengidam setelah mengandung, Siti Sarah memberitahu ketika ini dia sangat gemar memakan buah oren.
Jelasnya, sebelum ini dia bukanlah penggemar utama buah tersebut, namun semenjak mengandung dia perlu memakan buah oren atau minum jus oren pada setiap pagi.
“Saya sangat bersyukur kerana layanan suami terhadap saya juga bertambah baik. Bukannya sebelum ini tidak baik, tetapi kini dia memang benar-benar menjaga dan mengambil berat terhadap diri saya.
“Malah, sekarang ini pun kalau tak ada sebarang undangan nyanyian, saya akan ikut dia pergi jalani penggambaran atau pun latihan Maharaja Lawak kerana dia risau untuk tinggalkan saya keseorangan di rumah,” jelasnya.
Menurutnya lagi, tentang tarikh kelahiran pula, doktor menjangkakan dia akan melahirkan anak pada bulan Disember ini.
Sementara itu, Shuib yang setia berada di sisi isterinya sepanjang sesi temu bual berlangsung memberitahu, dia tidak dapat menyembunyikan kegembiraannya setelah isteri yang tercinta disahkan telah mengandung ketika ini.
“Semasa dalam perjalanan menghantar isteri saya ke klinik, sebenarnya saya dapat rasa yang isteri saya ini sudah berbadan dua. Cuma saya tidak mahu beritahu dia kerana tidak mahu terlampau berharap sangat.
“Kemudian, setelah telah doktor mengesahkan yang isteri saya memang mengandung, sayalah orang yang paling gembira sekali. Depan doktor juga saya menangis dan peluk isteri saya,” ujarnya.



Tentang jumlah anak yang mereka inginkan pula, Shuib menjelaskan dia berharap sekurang-kurangnya dianugerahkan dengan empat orang anak.
Menyanyi dan berlakon
Meskipun sudah berumah tangga dan kini disahkan sudah berbadan dua, namun ia langsung tidak menghalang Siti Sarah untuk terus bergiat aktif dalam bidang seni.
Ujarnya, ketika ini dia kerap mendapat undangan untuk membuat persembahan makan malam dan baru sahaja selesai membuat persembahan untuk Minggu Setiausaha di Menara Kuala Lumpur.
“Tidak dinafikan selepas berumah tangga ni memang rezeki semakin bertambah dan baru-baru ini kami digandingkan pula bersama dalam sebuah filem. Tentang pembikinan album baru, memang sudah ada perancangan ke arah itu, namun buat masa ini saya akan keluarkan single terlebih dahulu,” jelasnya.
Mengenai pembabitannya dalam bidang lakonan pula, setakat ini saya tidak berdepan dengan sebarang masalah besar. Biarpun berlakon, karier dalam bidang nyanyian akan tetap diteruskan.
“Ramai yang sudah tahu ayah saya adalah seorang pelakon, malah boleh dikatakan saya membesar dalam dunia lakonan kerana sering ikut ayah kalau dia ada penggambaran.
“Jadi, minat untuk berlakon memang sudah ada sejak dari dulu lagi. Kemudian apabila sudah mula menceburinya, saya rasa jadi makin seronok pula,” ujarnya.
Stephen Chow
Umum mengetahui, ketika ini Shuib bersama kumpulannya iaitu Sepah sedang bersaing sengit dalam program Maharaja Lawak yang sudah pun masuk minggu kelima.
Selain itu, kumpulan berkenaan juga turut dikenali ramai menerusi drama bersiri Bujang Sepah Lalalitamplom yang ke udara di saluran Astro Prima sebelum ini.
Biarpun kini namanya dikenali ramai sebagai seorang pelawak, tetapi anak kelahiran Johor itu juga sebenarnya mempunyai impian yang tersendiri.
“Sebenarnya saya sangat berminat untuk menjadi seorang pengarah dan sudah tentu pilihan filem atau drama arahan saya nanti adalah yang bergenre komedi.
“Salah seorang pengarah yang paling saya minati adalah Stephen Chow yang juga seorang pelakon. Dia memang jadi idola saya kerana filem lakonan dan arahannya sangat mengagumkan saya,” ujarnya.
Bagaimanapun, Shuib menjelaskan impian tersebut mungkin akan dapat dilaksanakan apabila dia benar-benar sudah lama berada dalam bidang lakonan.
“Buat masa ini saya dikira masih lagi baru dan banyak lagi benda yang saya harus pelajari terutamanya tentang selok-belok dunia perfileman sebelum menceburi bidang pengarahan pula,” ujarnya.
sumber : kosmo.com.my

Superman lepaskan kerakyatan AS

Posted by MohdHaz on 12:12 PM


KOMIK terbaru Superman edisi Action Comics No. 900.
NEW YORK - Watak adiwira yang mempunyai kuasa luar biasa,Superman mengumumkan dia berhasrat untuk melepaskan kewarganegaraan Amerika Syarikat (AS).
Adiwira itu mebuat kenyataan tersebut dalam edisi baharu Action Comics No. 900 dengan menyatakan dia sudah bosan dengan tindakannya yang ditafsirkan sebagai alat AS.
Dalam cerita komik adiwira tersebut, Superman yang berhijrah ke Bumi semasa zaman kanak-kanak dari Krypton dan dijadikan anak angkat oleh sebuah keluarga di Smallville, Kansas itu menyatakan adalah lebih baik untuk berkhidmat kepada masyarakat Bumi.
Dalam satu kenyataan kepada akhbar New York Post, penerbit bersama DC Comics yang mengeluarkan komik Superman, Jim Lee dan Dan Didio berkata, walaupun adiwira itu kini bercirikan global, watak berkenaan akan tetap mempunyai gaya hidup AS.
"Superman merupakan seorang pelawat dari sebuah planet yang jauh yang sekian lama menerapkan nilai-nilai Amerika. Sebagai satu watak dan ikon, dia menerapkan gaya terbaik Amerika," kata kenyataan tersebut. - Agensi
sumber : kosmo.com.my

'Aku dan Anwar berada dalam paparan video'

Posted by MohdHaz on 12:11 PM



ORANG ramai memenuhi Masjid Amru Al-As, Bandar Baru Sentul semalam.


KUALA LUMPUR - Datuk Shazryl Eskay Abdullah meneruskan niatnya melakukan sumpah laknat walaupun terdapat cubaan sabotaj para penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi menggagalkan niat ahli perniagaan itu untuk membuktikan bahawa Anwar merupakan pelaku lelaki dalam rakaman video seks dengan pelacor yang mula tersebar sejak 21 Mac lalu.
Upacara sumpah laknat selama kira-kira lima minit itu dilakukan oleh Shazryl yang turut mewakili bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik dan bekas Bendahari Agung Perkasa, Datuk Shuib Lazim di Masjid Amru Al-As, Bandar Baru Sentul di sini semalam.
Rahim dan Shuib duduk bersama Shazryl ketika sumpah laknat itu dilafazkan.
Sumpah laknat itu terpaksa dilakukan pada pukul 4.20 petang selepas ditunda dari pukul 2 petang kerana berlaku ketegangan yang dipercayai membabitkan kumpulan penyokong parti pembangkang.


Shazryl melakukan sumpah laknat tersebut selepas seorang pendakwah bebas, Firdaus Supri memberi penerangan kepada trio Datuk T tentang risiko bagi orang Islam yang melakukan sumpah laknat jika perkara itu tidak benar.
Sumpah laknat itu bersaksikan Timbalan Imam Masjid Amru Al-As, Ezhan Shahril Md. Piah.
Selain itu, terdapat kira-kira 200 orang menyaksikan Shazryl melafazkan sumpah laknat tersebut.
Anwar yang dicabar oleh trio Datuk T untuk sama-sama melakukan sumpah laknat itu bagaimanapun tidak hadir ke masjid tersebut.
sumber : kosmo.com.my

Laman web jual dan beli barang cuma RM14.80

Posted by MohdHaz on 12:11 PM



LAMAN web Fiverr.com.


LOS ANGELES - Satu laman web terkenal, Fiverr.com membenarkan para penggunanya untuk membeli dan menjual pelbagai produk atau perkhidmatan selagi ia tidak menyalahi undang-undang serta moral pada harga hanya AS$5 (RM14.80), lapor sebuah akhbar semalam.
Dilancarkan sejak tahun lalu, laman web itu telah menawarkan lebih 150,000 perkhidmatan seperti pemasaran, sokongan teknologi, mengedit resume, nasihat fesyen, selain menulis dan membuat persembahan lagu selamat hari jadi dalam klip video.
Seorang ahli psikologi dari Brooklyn, Suzanne menggunakan bakatnya dalam muzik untuk menulis dan mempersembahkan lagu kepada para kliennya.
Sudah menggunakan laman web tersebut selama enam bulan, dia telah menjana pendapatan lebih AS$500 (RM1,482) setakat ini dengan menulis lagu hari lahir dan menyanyikannya dengan menggunakan piano atau klarinet.
"Ini cuma perkara yang saya lakukan untuk berseronok, tetapi ia benar-benar meningkatkan kebolehan saya menulis lagu," kata Suzanne.
Sementara seorang pereka grafik, Mary Ingrassia dari Howard Beach, Queens pula menjual perkhidmatan pengiklanan yang unik dengan menggunakan gambar burung kakak tua peliharaannya, Pickle.
Sejak menggunakan Fiverr.com pada Januari lalu, dia telah memperoleh pendapatan lebih AS$625 (RM1,852). - Agensi
sumber : kosmo.com.my

Bintang realiti cedera nahas

Posted by MohdHaz on 12:10 PM


RUTH PINEDA
LOS ANGELES, California – Bintang program realiti LA Ink, Ruth Pineda dimasukkan ke hospital minggu lalu selepas wanita tersebut terlibat dalam satu kemalangan jalan raya yang serius, lapor sebuah akhbar semalam.
Program realiti televisyen itu memaparkan peristiwa yang berlaku di sebuah kedai melukis tatu di sini.
Bintang realiti berusia 26 tahun itu dalam perjalanan untuk satu temu janji apabila sebuah trak besar merempuh sisi kereta Mercedes E300 hitam yang dipandunya.
Ruth dihantar ke sebuah hospital berdekatan dengan menaiki sebuah ambulans dan dia diberikan rawatan selama 12 jam kelmarin.
Menceritakan kemalangan ngeri itu melalui laman web sosial Twitter dari katil hospital, dia berkata: “Orang seperti itu teruk apabila mereka melanggar lampu isyarat dan merempuh kereta saya !!!”.
Selepas dibenarkan keluar dari hospital, Ruth menulis di laman Facebooknya untuk memberitahu para peminat bahawa dia berada dalam keadaan baik.
Dia turut menunjukkan gambar-gambar keretanya yang terlibat dalam kemalangan itu kepada para peminatnya. – Agensi
sumber : kosmo.com.my

Justin Bieber Buktikan Masih Sihat

Posted by MohdHaz on 1:52 AM

Justin Bieber
BINTANG Pop, Justin Bieber tidak membiarkan kecederaan di punggungnya mengganggu persembahannya di Sydney, Australia.
Buktinya Bieber yang berduet bersama Chris Brown mampu menarik perhatian penonton.
Seperti dipetik Femalefirst, Bieber mengalami kecederaan ketika berada di Bali, minggu lalu selepas mengadakan konsert di Jakarta, Indonesia.
Akibat berita kemalangan tersebut, banyak khabar angin mengatakan artis tersebut terpaksa menangguhkan konsert jelajahnya di beberapa buah negara.
Bagaimanapun, Bieber membuktikan bahawa berita tersebut tidak benar. Penyanyi lagu Baby ini tetap beraksi di panggung Arena City’s Acer, Sydney Australia seperti dirancang sebelum ini.
Malah dia turut menyanyi lagu tambahan berjudul Next 2 U bergandingan dengan Chris Brown.
Sementara itu, di akaun Twitter.com miliknya, dia menulis: “Mereka fikir bahawa saya akan batalkan konsert ini? Lihat saya sekarang sihat! Saya sayang Australia.
sumber : mstar.com.my

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
  • RSS
  • Delicious
  • Digg
  • Facebook
  • Twitter
  • Linkedin

Search Site