Followers

Apr 30, 2011

Pencuri hati Justin Bieber

Posted by MohdHaz on 12:42 PM

  • Foto
  • Foto
Peminat marah Selena dampingi penyanyi remaja paling popular

PADA awal tahun ini, gosip percintaan antara dua bintang muda, Justin Bieber dan Selena Gomez, mula bertebaran selepas gambar mereka berdua bercumbuan di atas kapal layar tersiar di alam siber.
Namun, kedua-duanya bagaikan dapat mengagak apa yang bakal berlaku seandainya masing-masing mengaku memang wujud hubungan intim, lebih daripada seorang kakak dan adik, antara mereka.
Maklum saja, Justin ialah penyanyi remaja lelaki paling popular di dunia ketika ini. Lalu, tentu saja dia menjadi dambaan setiap gadis di seluruh dunia. Pada usia 17 tahun, Justin bagi kebanyakan peminat wanita muda, bukan sekadar seorang penyanyi yang diminati, malah umpama ‘kekasih’ yang jauh di mata.

Maka, apabila foto keintiman kedua-duanya tersiar, tidak hairan peminat Justin ‘naik hantu’ dengan penyanyi dan pelakon berusia 18 tahun yang mula dikenali peminat menerusi siri televisyen dan telefilem terbitan Disney itu. Pelbagai kata kesat dan ugutan dapat dilihat di laman Twitter apabila gambar mereka bercium muncul di Internet.

Ketika gambar berkenaan dirakam, penyanyi Baby dan pelakon The Wizards of Waverly Place yang turut mempunyai kumpulan sendiri (Selena Gomez & The Scene) ini sedang bercuti di Caribbean bersama beberapa rakan lain.

Antara ancaman dan maki hamun yang diterima Selena ketika itu termasuk kata-kata berbunyi: "Aku bencikan kau", "Kalau kau teman wanita Justin, aku akan bunuh engkau. Aku benci engkau", dan sebagainya. 
Bahkan, ada yang mengugut untuk menamatkan riwayat gadis yang pernah muncul dalam filem Spy Kids 3-D: Game Over ini seandainya dia melukai hati penyanyi yang baru saja mengadakan konsert jelajah dunianya di Malaysia itu.

Sememangnya, bukan mudah bagi gadis berasal dari Texas ini untuk mendampingi remaja masyhur berkenaan. Malah, mereka juga mengelak daripada berbicara mengenai hubungan itu biarpun beberapa bukti sudah diperoleh untuk peminat mengesahkan kewujudan cinta di antara kedua-duanya.

'Apa salah saya'

HANYA pada Mac lalu Selena mula membuka mulut mengenai hubungan terbabit. Akuinya, memang sukar untuk berada di sisi Justin yang digilai jutaan peminat. Begitu juga dia akui betapa sukarnya dia berdepan dengan pelbagai reaksi kurang menyenangkan sebaik saja mereka mengetahui corak hubungan antara dirinya dan penyanyi lelaki berkenaan.

"Memang sukar dan memang menyakitkan sekali (apabila diperlakukan begitu oleh peminat Justin). Saya tidak berasakan yang saya melakukan perkara yang salah.
Saya sebenarnya sudah lama berkawan baik dengan Justin. Ia memang melukakan perasaan saya, tetapi saya cuba untuk tidak mengendahkan semua itu. Nasib baik saya mempunyai keluarga dan kelompok peminat yang sangat kuat," katanya.

Sudah tentulah ada kalangan peminat yang merestui hubungan itu, seperti yang ditulis di laman sosial terbabit, dan tidak kurang yang cemburu walaupun mereka gembira dengan kemesraan yang terjalin antara mereka.

Selena pada hakikatnya mengerti bagaimana perasaan remaja yang membencinya itu kerana dia sendiri pernah mengalami keadaan serupa tidak lama dulu, apabila dia ‘jatuh cinta’ dengan selebriti.

"Ada masanya saya setuju juga dengan mereka. Saya pernah menyukai Jesse McCartney. Saya memang taksub dengannya. Jesse keluar bersama Katie Cassidy ketika dia berusia 16 atau 17 tahun. Ketika itu, saya memang benci pada Katie.
Saya geram sangat, kenapalah Katie yang mendampingi Jesse, sedangkan saya yang tergila-gilakannya. Bahkan, dialah gambar hiasan skrin komputer saya," katanya.
Nampaknya, semua itu kini bagai terkena kepada Selena sendiri.

"Baru-baru ini, saya menjayakan sebuah filem (Monte Carlo) bersama Katie. Dia sebenarnya seorang yang begitu baik sekali," cerita gadis ini.

Perpisahan hanya khabar angin

AWAL bulan ini, wujud khabar angin mengatakan pasangan muda ini membawa haluan masing-masing apabila Selena berasakan Justin masih menyintai bekas kekasih, Jasmine Villegas. Justin dikatakan masih menghantar pesanan ringkas kepada Jasmine, walaupun selepas bersama Selena.

Gadis ini dikatakan bertanyakan sendiri perkara itu kepada Justin yang pada mulanya menafikan dakwaan berkenaan. Tetapi, Justin akhirnya mengaku dia masih berhubung dengan bekas kekasihnya, namun hanya atas dasar kawan.

Bagaimanapun, desas-desus keretakan hubungan mereka nyata tidak berasas apabila Selena dilihat menemani Justin ketika tiba di Kuala Lumpur untuk mengadakan konsertnya di sini, 21 April lalu. Jika Selena sanggup terbang merentasi benua untuk bersama penyanyi terbabit, bukankah itu tandanya dia memang serius dalam perhubungan?


sumber : bharian.com.my

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
  • RSS
  • Delicious
  • Digg
  • Facebook
  • Twitter
  • Linkedin

Search Site