Followers

Apr 25, 2011

Ashraf berhenti lakon seketika

Posted by MohdHaz on 1:05 PM

SEPADAN...Ashraf dan Noor Dayana pada hari pertunangan mereka, kelmarin.
SEPADAN...Ashraf dan Noor Dayana pada hari pertunangan mereka, kelmarin.
KENANGAN....pasangan mempelai turut bergambar bersama anggota keluarga yang hadir.
KENANGAN....pasangan mempelai turut bergambar bersama anggota keluarga yang hadir.
PERSOALAN mengenai kehidupan dan jodoh sememangnya sukar diduga. Bercinta selama mana pun jika ditakdirkan bukan jodoh tidak ke mana juga. Begitulah yang dialami pelakon kacak dan bersopan santun, Ashraf Muslim.

Selepas putus cinta dengan kekasihnya, Sherry Ibrahim pada 2009, pelakon utama drama Ustaz Amirul ini mengakui berdepan pelbagai tekanan yang memaksa dirinya mencari sisi lain dalam kehidupan. Setiap perkara dirasakan tidak kena termasuklah masalah ketika di lokasi penggambaran. 

Dia akhirnya dicadangkan berjumpa pemilik Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah, Lokman Abdul Hamid bagi mendapatkan rawatan. Namun siapa sangka hubungan akrabnya dengan Lokman sebagai adik angkat keluarga itu membawa jodoh buat pelakon kelahiran Melaka ini.

Dari situ, dia mengenali dan tertarik dengan anak Lokman, Noor Dayana, 24. Akhirnya pada jam 9.45 pagi kelmarin, Ashraf, 30, selamat bertunang dengan anak kedua daripada lima beradik itu di rumah keluarga Noor Dayana di Villa Bestari, Kampung Sungai Pusu, Gombak.

Menjelas lanjut mengenai bakal isterinya, Ashraf berkata, dia tertarik dengan Dayana yang menepati ciri-ciri wanita idamannya iaitu solehah, bertudung, merendah diri dan penyayang.

“Benda sudah datang dan saya dapat rasakan keserasian kami. Sebelum timbul fitnah, ada baiknya kami lakukan perkara yang betul dengan bertunang.

“Sepanjang kenal Dayana, dia banyak bawa perkara positif termasuk tegur saya supaya jaga solat. Ini bukanlah cinta pandang pertama. Apabila sudah berkenan dengannya saya mula bagi isyarat tanda sukakannya.

“Selepas itu saya bagi isyarat pada abang angkat saya pula (Lokman) sebagai tanda sukakan anaknya. Ternyata keluarganya positif terhadap hubungan ini.

“Bahkan, saya tak kekok untuk panggil Lokman sebagai bapa selepas ini,” katanya yang turut menjadi rakan kongsi Lokman di Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah yang beroperasi di sebelah kediaman keluarga Dayana.

Dayana, pelajar kursus perubatan tahun empat di Manipal University, India di bawah tajaan Mara sedang praktikal di Kampus Manipal-Melaka di Ayer Keroh, Melaka berkata, dia mula mengenali Ashraf bukan sebagai pelakon, sebaliknya sebagai adik angkat bapanya.

“Kami berkongsi minat dan cita rasa sama dalam perubatan. Abang Ashraf bukan setakat pandai mengubat, tapi juga pandai mengenali jenis penyakit dan menjadi tempat saya membuat rujukan dalam bidang yang dipelajari.

“Sepanjang mengenalinya,saya dapati dia seorang yang baik dan kagum dengan perubahannya. Dia juga ikhlas bercerita kisah cinta lama dengan bekas kekasihnya.

“Saya gembira bergelar tunangannya, namun keluarga meminta kami jaga batasan supaya jangan keterlaluan. Insya-Allah saya sudah bersedia bergelar isteri dan tak kisah jadi tumpuan. Ia tak ganggu pengajian saya,” katanya yang akan tamat pengajian Mac tahun depan.

Majlis pertunangan pasangan itu disiarkan secara langsung menerusi program Nasi Lemak Kopi O di TV9 meriah bak kenduri kahwin apabila lebih 10 khemah didirikan bagi menempatkan tetamu.

Malah, mereka tampak berseri apabila mengenakan pakaian tradisional moden berwarna putih dan ungu rekaan Ezuwan Ismail dan pelamin rekaan Azmi Osman dari Orked Bridal House.

Cincin pertunangan di jari Dayana disarungkan ibu saudara Ashraf, Fatimah Azim. Ashraf anak sulung daripada lapan adik beradik.

Bapanya, Muslim Bulat turut hadir bersama adik-beradiknya serta saudara-mara seramai 50 orang.

Pertukaran hantaran menyaksikan pengacara Gadis Melayu TV9 musim ketiga ini memberi lima bentuk hantaran berupa buah-buahan, persalinan, kek, cincin dan sirih junjung, manakala Dayana membalas dengan tujuh hantaran berupa kain songket, persalinan, set wangian, kek, coklat, sirih junjung dan cincin.

Pasangan itu yang tidak mahu mendedahkan jumlah wang hantaran memilih bernikah
di Masjidil Haram, Makkah pada 1 Syawal (30 Ogos) sebagai menurut sunnah nabi dan para sahabat.

“Bakal bapa mentua saya memang anjur pakej umrah setiap kali Ramadan yang dibuat pada dua minggu terakhir. Kali ini rombongan umrah juga bertujuan merawat pesakit di sana.

“Saya akan bertolak ke sana pada 17 Ogos. Dayana akan datang menjelang hari pernikahan. Selepas diijab kabul kami akan buat tawaf, bersolat sunat dan selepas itu baru membatalkan air sembahyang.

“Kami juga akan ambil kesempatan melawat Makkah sebelum pulang ke tanah air pada awal September,’’ katanya yang akan berada selama 18 hari di Makkah dan merancang mengadakan resepsi pada 10 September di di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC).

Pada hari yang sama selepas pertunangan, Ashraf turut memperkenalkan Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah yang dirasmikan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Secara simbolik, Mohamed Khaled bersama Ashraf dan Lokman melepaskan 99 ekor rama-rama yang mengambil sempena 99 nama Allah (Asmaul husna).

Bercakap mengenai karier barunya itu, Ashraf berkata, minat untuk mendalaminya datang selepas mendapatkan rawatan di situ.

“Selepas buat rawatan dan sembuh, saya bawa pula orang lain untuk berubat. Saya
kasihan tengok abang haji (Lokman) buat rawatan terhadap pesakit seorang diri, jadi saya tawarkan diri untuk bantu.

“Dalam pada itu, saya belajar surah-surah untuk merawat penyakit dan lama kelamaan sudah tahu sesetengah surah. Dari situlah timbulnya minat untuk mendalami perubatan Islam ini.

“Sekarang saya sudah boleh kuasai ilmu perubatan ini. Dalam kajian yang dilakukan saya dapati ramai orang datang merawat penyakit cara ini kerana keberkesanannya walaupun sedikit.

“Cara rawatan menggunakan ayat-ayat al-Quran dan penyembuhannya kami serahkan kepada Tuhan. Saya sekarang mahu berhenti seketika daripada berlakon kerana mahu menumpukan perhatian membangunkan pusat ini.

“Pada peringkat permulaan, ketika saya masih berlakon dan bakal bapa mentua masih bekerja, kami hanya kenakan caj secara ikhlas. Namun apabila sudah berhenti kerja, kami hendak makan apa?

“Sebenarnya 20 peratus dari bayaran yang diterima akan disumbangkan kepada rumah anak yatim. Malah, kami juga bercadang hendak bina hospital untuk merawat penyakit secara Islam dan hendak bina rumah orang tua.

“Selama ini kebanyakan rumah orang tua ditadbir bukan Islam. Misi kami untuk membantu orang ramai. Hospital ini mungkin dibina dalam tiga tahun lagi,” katanya yang teruja dengan pertambahan bilangan pesakit yang hadir mendapatkan rawatan di situ.

sumber : hmetro.com.my

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
  • RSS
  • Delicious
  • Digg
  • Facebook
  • Twitter
  • Linkedin

Search Site