Followers

May 21, 2011

SO7 takut karam

Posted by MohdHaz on 12:34 PM





TEMU BUAL yang diatur oleh pihak Sony Music Malaysia dengan grup terkenal dari Indonesia, Sheila On 7 atau mesra digelar SO7 berlangsung selama setengah jam.
Ini temu bual terbaharu bersama grup yang digawangi Duta (vokalis), Eross (gitar), Adam (bass) dan Brian (drum) selepas kali terakhir pada tahun 2008 sewaktu mereka muncul dengan album Menentukan Arah.
Kali ini, untuk album ketujuh, SO7 menamakan album terbaharu mereka dengan nama Berlayar. Ada signifikan tersendiri yang dituangkan di dalam album yang menjalani pembikinan selama lebih kurang dua bulan itu.
Lebih bermakna, kata Eross, Berlayar adalah album yang dianggap sebagai terbaik oleh mereka. "Ini kerana ia memuatkan karya semua orang, bukan hasil karya saya sahaja," katanya.
Ia dipersetujui oleh Duta yang menganggap Berlayar adalah sisi lain SO7 yang sebelum ini cukup terkenal dengan identiti Eross yang menggarap hampir semua karya mereka sejak album pertama pada tahun 1996. Berlayar mendapat sentuhan Duta, Adam dan Eross serta bercampur dengan dua buah lagu bahasa Inggeris.
Berlayar yang mengandungi sembilan buah lagu, kata Eross adalah signifikan daripada pelayaran 15 tahun SO7 sebagai sebuah grup muzik.

SHEILA ON 7. Dari depan: Duta, Brian, Eross dan Adam.


"Kami telah menaiki sebuah kapal besar dengan harapan agar ia terus berlayar terus. Ia juga adalah signifikan selepas album yang lalu, Menentukan Arah, kini kami berlayar selepas mendapat arah itu. Semoga pelayaran kami akan terus mampu dikemudi dengan baik oleh kelompok SO7," ujarnya.
Ditanya adakah maksud di sebalik harapan terhadap pelayaran tersebut yang ditebak kerana mereka pernah hampir karam atau bubar sepanjang 15 tahun bermuzik, Eross tidak menafikan hal tersebut. Dia mengaku, SO7 hampir karam atau bubar beberapa tahun lalu.
Katanya serius: "Empat tahun lalu, kami pernah punya perasaan untuk bubar. Namun kami bertahan dan kami cuba meloloskan diri daripada hal-hal tersebut yang membolehkan kami terus bangkit dan bermuzik lagi. Syukur, selepas kami berjaya melewati masa sulit itu, kini kami telah menjadi orang-orang yang lebih kuat lagi. Sebab itu saya katakan Berlayar adalah album terbaik kami kerana semua hal turun dan naik SO7 ada di dalam album ini."
Hal bubar SO7 kemudian dipanjangkan oleh Duta. Kata Duta, soal SO7 bubar adalah hal terakhir yang akan difikirkannya. Malah tidak pernah terfikir di fikirannya untuk membubarkan grup yang telah 'merasuk' peminat tempatan terhadap muzik Indonesia lebih 10 tahun lalu ini.
Kata Duta, sebagai seorang yang optimistik, dia hanya mahu melihat SO7 terus maju di sebalik lambakan grup-grup baru. "Saya takut memikirkan hal itu. Mungkin kalau bubar pun bila usia saya sudah mencecah 80 tahun," ungkapnya sedikit ketawa namun terkesan dia begitu menyayangi grup tersebut.

SHEILA ON 7 merupakan grup Indonesia pertama yang telah membuka pintu muzik republik itu diterima baik peminat di Malaysia.


Bercakap mengenai 15 tahun usia mereka, Eross memberitahu, rahsia mereka bertahan adalah kerana mempunyai sokongan padu daripada peminat mereka yang dikenali sebagai SheilaGank, selain terus memberi fokus terhadap pekerjaan yang mereka sedang jalani.
Biar ada yang menganggap magis SO7 semakin surut, Eross pula berpendapat SO7 hari ini lebih mantap berbanding tahun-tahun terdahulu. Dia menganggap SO7 tidak bermain muzik kerana ia adalah satu trend, sebaliknya mereka terus mengekalkan jenama yang telah dibina sejak tahun 1996.
"Dengan segala hal yang telah kami lewati, SO7 hari ini telah lebih mantap daripada sebelumnya. Kami telah menjalin hubungan yang sangat akrab dengan peminat kami dan muzik kami bukan satu trend, tetapi satu jenama yang sudah terkenal," katanya memilih untuk lebih memberi fokus untuk bermain dan mempamer skil bermain gitar berbanding membuat lagu di dalam album terbaharu itu.
sumber : kosmo.com.my

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
  • RSS
  • Delicious
  • Digg
  • Facebook
  • Twitter
  • Linkedin

Search Site