Followers

May 21, 2011

Berbadan dua ketika berlakon

Posted by MohdHaz on 12:58 PM

PELARIS...Penelope dilamar memantapkan filem ini.
PELARIS...Penelope dilamar memantapkan filem ini.
DEMAM Pirates of the Caribbean kembali dan kali ini lebih banyak aksi menarik ditampilkan dalam filem diterbitkan Disney dan diarahkan Rob Marshall.
Begitupun, kebanyakan peminat setia siri filem ini berasakan lakonan ditampilkan pelakon utamanya Johnny Depp menjadi tarikan utama. 

Malah, pelakon yang mula mencipta nama menerusi filem Elm Street itu dikatakan begitu sinonim dengan watak Kapten Jack Sparrow sejak muncul dalam siri pertama, Pirates of the Caribbean: The Curse of the Black Pearl pada 2003 diikuti Pirates of the Caribbean: Dead Man’s Chest (2006) dan Pirates of the Caribbean: At World’s End (2007).

Paling menarik apabila aktor kesayangan ramai ini diganding dengan pelakon jelita Penelope Cruz menerusi siri keempat, Pirates of the Caribbean: On Strangers Tides yang kini sedang ditayangkan di pawagam seluruh dunia. Sebelum ini Depp beraksi di sisi Keira Knightly dan juga Orlando Bloom.



Bagaimanapun, ini bukan kali pertama Depp dan Penelope digandingkan di layar perak kerana sebelum ini pada 2001 mereka beraksi dalam Blow bertemakan aksi dan komedi.


Bintang Alice In Wonderland dan The Tourist itu berkata, dia berasa agak terkejut dengan penerimaan penonton seluruh dunia terhadap siri Pirates of the Caribbean dan watak Kapten Jack Sparrow.

“Apabila difikirkan kembali sewaktu pertama kali melakonkan watak Kapten Jack Sparrow ia agak mudah. Saya hanya mengambil sebahagian daripada diri saya dan cuba menzahirkan mengikut imaginasi.

“Waktu pertama kali diberikan tawaran untuk membintangi filem ini, ada orang berkata bahawa Jack Sparrow adalah diri saya sebenarnya.

“Sepanjang melakonkan watak ini, saya boleh menjadikan atau menyerap karakter itu seperti apa yang saya mahukan. Bagi saya, sebagai seorang pelakon amat jarang peluang seperti ini diperoleh. Saya gembira apabila ramai meminati watak Kapten Jack Sparrow. Saya sangat menghargainya,” katanya.

Membawakan karakter sama kali keempat dalam filem sudah tentu ia sesuatu yang mudah dan perkara itu turut diakui Depp.

Jelasnya, antara semua karakter yang pernah dilakonkan baginya Captain Jack boleh masuk ke dalam dirinya dengan pantas.

Tidak seperti sebelum ini kerana ada antara watak yang dilakonkan perlu penghayatan tinggi dan sedikit kerja keras.

Antara pengalaman menyeronokkan bagi Depp, 48, sewaktu penggambaran filem ini apabila sekali lagi diberi peluang bekerjasama dengan pelakon berpengalaman, Judi Dench.

“Bagaimanapun selalunya watak kami bertembung sedikit saja. Sebagai contoh, sewaktu membintangi Chocolat, kami hanya ditemukan dalam satu atau dua babak.

“Pada saya, dia seorang pelakon yang sangat bersungguh-sungguh, bijak dan menarik. Dalam Chocolat kami dapat menari bersama, tetapi kali ini saya perlu menggigit telinganya,” katanya.

Memandangkan watak dibawakan terlalu popular sehingga mempunyai pengikut setia terutama di kalangan orang muda, ramai beranggapan ia bakal memberikan pengaruh tidak baik kerana remaja mudah dipengaruhi.

Bagaimanapun, bapa dua anak, Lily-Rose Melody Depp dan John Christopher Depp III ini menjelaskan, sebagai pelakon dia mempunyai tanggungjawab sendiri iaitu memberikan lakonan bagus agar karektor hidup.

“Tanggungjawab saya yang sebenarnya adalah menghiburkan iaitu membuat orang ketawa apabila menonton filem ini. Menjadi lanun sudah tentu ia tidak akan memberikan anda satu tanggapan positif mengenainya,” katanya.

Sepanjang menjayakan watak Kapten Jack, jelas Depp, banyak juga pengalaman lucu yang harus dilalui termasuk berpeluang memakai pakaian dalam wanita yang menurutnya tidak dapat dilakukan setiap hari kecuali sewaktu membintangi Pirates of the Carribbean.

Sementara itu, cerita menarik mengenai Penelope yang kali pertama diberi peluang membintangi Pirates of the Carribbean, apabila penggambaran dijalankan dalam keadaan dirinya sedang berbadan dua.

Penelope menggantikan tempat Keira yang menarik diri kerana terikat dengan projek lain.

Penelope berkata, dia bernasib baik, malah berterima kasih dengan pengarah dan pelakon filem itu yang diibaratkan seperti pegawai keselamatan dengan sentiasa memastikan keadaannya baik.

“Pihak produksi sudah pun dimaklumkan mengenai kandungan saya sewaktu mereka mahu memulakan penggambaran. Reaksi mereka begitu bagus.

“Saya tidak akan melupakan pengalaman ini. Pada saya, ia satu saat cukup istimewa kerana bekerja dalam waktu sama dilindungi semua pihak. Ia menjadi detik paling manis buat saya,” katanya.

Bintang jelita kelahiran Madrid, Sepanyol ini mengakui, apabila bergelar ibu ia mengubah dirinya menjadi lebih positif.

Sebelum ini dia terlalu sibuk hingga dalam setahun sempat menghasilkan tiga hingga empat filem.

“Segalanya kini sudah berubah. Saya hanya membintangi satu atau paling banyak pun dua filem dalam setahun. Ia penting untuk saya mengimbangkan kerjaya dan kehidupan peribadi. Lagipun sejak bergelar ibu, saya mudah berasa penat,” katanya bahagia bersama aktor Javier Bardem.

Menceritakan pengalamannya berlakon dalam filem mega ini, Penelope berpeluang memegang pedang kali pertama dan mereka menyediakan seorang tenaga pengajar berpengalaman untuknya.

Mereka sudah mengajarnya bagaimana hendak bertarung menggunakan pedang beberapa bulan sebelum penggambaran dijalankan.

Penelope berkata, dia memang meminati kehidupan seorang lanun dan filem itu sendiri pembikinannya sangat bagus dan watak dilakonkan Depp sudah menjadi ikon di seluruh dunia.

“Membintangi filem ini juga sangat menyeronokkan dan saya mahu melakukannya sekali lagi. Kami juga mempunyai jurulatih aksi lasak yang sangat bagus. Jadi, walaupun saya sedang mengandung, saya dilindungi. Datang ke lokasi setiap hari rasa seperti berada di taman tema Disneyland,” katanya.

Penelope mengandung tujuh bulan apabila selesai penggambaran Pirates of the Caribbean dan melahirkan Leo Encinas Bardem di Cedars Sinai Hospital, Los Angeles pada 22 Januari 2011.


Cabaran Empat Jam Stabilo Sempena Tayangan Pirates of The Carribean:
On Stranges Tide.


SEMPENA tayangan filem Pirates of the Carribean: On Stranges Tide, Stabilo Malaysia menganjurkan Cabaran Empat Jam menonton dua filem Pirates of The Caribbean di TGV, KLCC, baru-baru ini.

Bermula dengan tayangan Pirates of The Caribbean: At The World Ends selama dua jam, penonton dibawa pula mengikuti siri keempat filem itu sebagai pratonton istimewa sebagai pembukaan.

Seramai 1000 orang menyertai cabaran dianjurkan yang mana pendaftarannya dilakukan menerusi laman sosial facebook Stabilo Malaysia.

Sambutan diberikan juga amat menggalakkan kerana dalam masa dua minggu ia berjaya menarik minat 4,000 orang mendaftar untuk mengambil bahagian.

Stabilo turut mengundang wakil media menyertai acara ini dengan hadir mengikut tema filem dan pada masa sama pertandingan kostum terbaik diadakan.

Peserta hanya perlu menggayakan salah satu watak pilihan dalam filem terbabit dan mereka yang mampu bergaya seakan-akan watak terbabit memenangi hadiah sampingan berupa edisi terhad produk filem dan Stabilo.

Cabaran menonton filem selama empat jam ini diadakan selaras dengan pelancaran Stabilo ‘swing cool’ pen penyerlah yang mempunyai teknologi anti kering bagi memastikan dakwat tidak kering walaupun tidak ditutup dalam persekitaran berhawa dingin selama empat jam.

Dalam persekitaran tanpa hawa dingin pen penyerlah terbabit boleh tahan lebih lama. Bersama cabaran filem, Stabilo turut mengadakan kuiz mengenai filem dan pen penyerlah di facebook supaya peminat Pirates of the Caribbean dapat memenangi hadiah sampingan edisi terhad produk filem.

Bagi pertandingan meniru gaya watak dalam filem Pirates of the Caribbean
dimenangi Catherine Benedict selaku juara, Jamie Chang (naib juara) dan Andrea Tan tempat ketiga.


PROFIL

NAMA SEBENAR: John Christopher Depp II
TARIKH LAHIR: 9 Jun 1963
TEMPAT LAHIR: Kentucky, Amerika Syarikat
PASANGAN: Vanessa Paradis
ANAK: Lily-Rose melody Depp (27 Mei 1999), John Christopher Depp III (9 April 2002)
DRAMA: 21 Jump Street
FILEM: Elm Street, Edward Scissorhands, Donnie Brasco, The Astronaut’s Wife, Chocolat, Blow, Pirates of the Caribbean: The Curse of the Black Pearl, Pirates of the Caribbean: Dead Man’s Chest, Pirates of the Caribbean: At World’s End, Alice In Wonderland, The Tourist



PROFIL

NAMA SEBENAR: Penelope Cruz Sanchez
TARIKH LAHIR: 28 April 1974
UMUR: 37 tahun
ASAL: Madrid, Sepanyol
STATUS: Berkahwin (14 September 2011)
SUAMI: Javier Bardem
ANAK: Leo
FILEM: Jamon Jamon (1992), The Greek Labyrinth (1993), Framed (1992), The Age of Beauty (1992), Live Flesh (1997), Open Your Eyes (1997), The Girl of Your Dreams (1998), All About My Mother (1999), Volavrunt (1999), Woman on Top (2000), Blow (2001), All the Pretty Horses (2000), Vanilla Sky (2001), Waking Up in Reno (2002), G-Force (2002) Sahara (2005), Vicky Cristina Barcelona (2008), the thriller Gothika (2003), the Christmas movie Noel (2004), Sahara (2005), Volver (2006), Nine (2009) dan Sex and the City 2 (2010).
Pencapaian: Pelakon Wanita Terbaik Anugerah Goya Sepanyol menerusi filem The Girl of Your Dreams, Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Anugerah BAFTA (Vicky Christina 

sumber : hmetro.com.myBarcelona) dan Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Anugerah Academy (Vicky Cristina Barcelona).

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
  • RSS
  • Delicious
  • Digg
  • Facebook
  • Twitter
  • Linkedin

Search Site