Followers

May 7, 2011

Penduduk Singapura mengundi hari ini

Posted by MohdHaz on 10:30 AM

SINGAPURA – Rakyat Singapura yang layak mengundi keluar melaksanakan tanggungjawab mereka dalam pilihan raya umum negara berkenaan pada hari ini. Negara tersebut diperintah Parti Tindakan Rakyat (PAP) sejak tahun 1959. 
Pada pilihan raya umum lalu dalam tahun 2006, PAP memenangi 66.6 peratus undi dan 82 daripada 84 kerusi Parlimen. Semalam merupakan tempoh bertenang menjelang hari mengundi yang mana parti-parti politik dilarang daripada berkempen. 
Bagaimanapun, penyiaran program politik di televisyen di samping laporan berita tentang pilihan raya itu adalah dibenarkan. Ia termasuk sejumlah wawancara yang dibuat sebelum ini dan rumusan kempen politik parti-parti yang bertanding.
Singapura memiliki populasi sekitar lima juta orang yang mana 2.35 juta layak mengundi. Sebahagian besar pengundi tersebut tergolong daripada mereka yang mengundi untuk kali pertama. Pilihan raya umum Singapura kali ini disifatkan yang paling menarik kerana PAP di bawah pimpinan Perdana Menteri, Lee Hsien Loong kini menghadapi tentangan kuat pembangkang. Hsien Loong yang dilantik sebagai perdana menteri pada 2004, akan meneraju PAP untuk kali kedua dalam pilihan raya kali ini. Kali pertama beliau berbuat demikian adalah dalam pilihan raya umum pada tahun 2006.
Rakyat Singapura yang menetap dan bekerja di seberang laut mula mengundi mulai semalam di sembilan pusat pengundian yang terletak di dalam Suruhanjaya Tinggi Singapura, kedutaan atau konsulat.
 Menurut Jabatan Pilihan Raya Singapura, pengundian bagi warganegara di United Kingdom dan Amerika Syarikat bermula semalam mulai 8 pagi hingga 8 malam manakala bagi mereka yang menetap di Australia, Jepun dan China akan mengundi esok mulai 8 pagi hingga 8 malam. 
Pusat pengundian itu termasuk di Suruhanjaya Tinggi Singapura di Australia, United Kingdom, Kedutaan Singapura di Jepun, China dan Amerika Syarikat selain Pejabat Konsul Jeneral Singapura di Hong Kong, China.
sumber : kosmo.com.my

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
  • RSS
  • Delicious
  • Digg
  • Facebook
  • Twitter
  • Linkedin

Search Site