Followers

May 22, 2011

Kualiti Kongsi tidak sehebat kutipan

Posted by MohdHaz on 1:13 PM


FARID KAMIL mengaku Kongsi punya cacat cela namun bersyukur dengan kepercayaan khalayak.


DALAM sibuk cakap-cakap tentang 'kesinambungan' cinta Farid Kamil dan kekasihnya Diana Danielle, jejaka kelahiran Kedah Darul Aman ini muncul dengan sebuah cerita yang lebih 'hangat meletup.'
Seperti menutup sebuah kisah yang belum ada kesudahan, Kongsi memberi satu bunga bahagia buat jiwa dan semangat Farid Kamil. Kutipan RM1 juta dalam masa sehari tayangan, sutradara mana yang tidak akan tersenyum bangga dan 'kaya' menerima berita paling mahal ini.
Berbaloilah Ketua Pegawai Eksekutif MIG, David Teo melaburkan wang RM2.5 juta hanya untuk menampung kos penerbitan filem kedua arahan Farid Kamil ini. Banyaklah pula nanti perumpamaan nakal dan lucu bakal keluar daripada bibirnya nanti.
Mencipta sejarah tersendiri dan baru, Kongsi yang dilakonkan oleh Shaheizy Sam, Fizo Omar, Yana Samsudin, Bront Palarae dan Putri Mardiana tidak kedengaran mustahil untuk mencapai sasaran RM10 juta kutipan seperti yang diramalkan oleh David. Tahniah buat produksi Kongsi juga sejarah filem tempatan.
Sensasi Bintang: Bagaimana perasaan Farid apabila Kongsi meraih RM1 juta dalam masa sehari sekali gus memecah rekod sejarah tayangan filem.
FARID KAMIL: Sebenarnya saya rasa sangat terkejut dengan pecapaian kutipan filem Kongsi. Dalam masa yang sama saya sangat bersyukur, semakin hari semakin ramai penonton menonton wayang di pawagam. Secara tidak langsung filem Kongsi memberi sumbangan kepada sejarah tayangan filem tempatan apabila mencatat RM1 juta pada hari pertama tayangan. Alhamdulillah.
Jangkaan awal Farid terhadap filem ini?
Sejak proses praproduksi lagi, saya dan David Teoh selaku penerbit filem ini sudah berbincang untuk membuat sebuah filem yang mampu menarik penonton ke pawagam. Malah kami turut meletakkan target untuk memberikan kawalan mutu terhadap filem Kongsi supaya melebihi tahap filem-filem aksi Metrowealth yang lain.
Mungkin 100 salinan untuk Kongsi di pawagam turut membantu rekod dan kutipan untuk filem ini?
Sebenarnya tambahan sebanyak 20 salinan adalah permintaan daripada pegurus panggung sendiri. Ini secara tidak langsung memberi impak positif terhadap kutipan filem ini.
Awalnya setelah ditayangkan, filem ini menerima kritikan.
Saya akui memang filem arahan kedua saya ini mempunyai cacat cela daripada sudut teknikal dan naratif. Tetapi apa yang boleh saya katakan bahawa itulah yang mampu saya lakukan tetapi hakikatnya ia lebih baik daripada filem pertama saya dahulu iaitu V3: Samseng Jalanan. Saya menerima kritikan demi kritikan dengan hati yang terbuka dan akan memperbaiki pada masa akan datang.
Lakunya filem ini mungkin juga kerana penjualan Sam selaku tunjang utamanya.
Sam dalam Kongsi adalah satu bonus dan pakej kepada filem ini dan kesan pengarahan saya. Sam mempunyai pakej pelakon yang lengkap. Persediaannya sangat teliti untuk membawakan watak Tumulak. Saya sangat bertuah dapat bekerjasama dengannya dan mendapat dia dalam produksi ini.
Apa kelemahan dan kekuatan pengarahan kali kedua, Farid?
Saya beri 99 peratus tumpuan kepada pengarahan saya dan satu peratus kepada cameo saya dalam filem ini. Itu yang boleh saya katakan terhadap kekuatan pengarahan kali ini. Penfokusan adalah di luar bidang dan pemerhatian saya. Kebanyakan masa, kamera bergerak untuk turutan aksi. Monitor terlalu kecil untuk saya melihat dengan lebih teliti. Tapi saya teruskan dan saya akui saya terlepas pandang dalam hal ini.
Perancangan Farid untuk Kongsi atau filem-filem lain?
Filem Kongsi secara naratifnya saya letakkan 'cliff-hanger' (tergantung) pada penghujung ceritanya. Ada yang tersirat dan tersurat di situ. Saya perlu berbincang dengan pihak Metrowealth untuk sambungannya. Tetapi secara peribadi, saya mahu melihat respons penonton dahulu dan baru fikirkan untuk sambungan atau tidak. Saya kini terlibat dengan penggambaran drama Wasiat. Kemungkinan besar selepas raya, saya akan turun padang semula untuk tugasan pengarahan untuk sebuah filem yang masih dalam perbincangan.
Mungkin Diana Danille di sebalik semua cerita hebat ini?
Saya tidak mahu komen apa-apa. Tapi saya mengharapkan doa daripada para peminat atas kebahagiaan saya.
sumber : kosmo.com.my

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
  • RSS
  • Delicious
  • Digg
  • Facebook
  • Twitter
  • Linkedin

Search Site