Followers

May 22, 2011

Fizo operator kilang filem

Posted by MohdHaz on 1:12 PM



SEDIA bergelar aktor filem, Fizo dalam proses untuk menjenamakan namanya yang dirasakan sedang menuju fasa kebangkitan.


TEPAT jarum jam menunjukkan waktu 12.30 tengah hari, terpantul namanya pada skrin telefon yang berdering. Daripada nada yang mengucapkan 'hello', sudah dapat diagak, si pemanggil itu sudah sedia untuk memulakan sesi fotografi yang dijanjikan.
Ada kesungguhan dan etika positif yang terlihat daripada riak aktor muda ini. Walaupun di awal kemunculannya, dia masuk menjadi sebahagian angkatan anak seni Malaysia dengan berbekalkan wajah 'jambu' dan saiz peragawan, itu bukan satu-satunya faktor yang mengekalkannya hingga ke tahap ini.
Berbanding empat tahun dahulu, Fizo Omar merasakan kompas kariernya berputar lebih daripada 360 darjah, lebih pantas dan menunjukkan arah yang seiring dengan impian setiap pelakon.
"Dulu memang 'jambunya' ada, sekarang sudah lunyai, hari-hari balik dari penggambaran hingga pukul 3 pagi, kadang-kadang lepas subuh.
"Dulu saya pelakon juga, tapi sekarang penat bergelar selebriti itu lebih terasa. Pernah saya terlibat dengan sebuah penggambaran program travel log, 3 Hari 2 Malam selama tiga bulan. Ketika itu, masa untuk bersama ibu dan adik-beradik pun sempat. Nak luangkan masa dengan hobi pun tak ada, tengok wayang pun tidak sempat, cuma lepas filem Kongsi keluar, barulah saya pergi tengok bersama peminat," cerita Fizo mesra.
Berbangkit isi cerita Kongsi yang sedang hangat di pawagam, menjadi salah seorang pemain watak filem berkenaan membuatkan Fizo bersinar anak mata. Menanyakan impak dari pandangan penulis, manifestasi watak ASP Sharif Sharifudin yang berseteru dengan Tumulap (Shaheizy Sam) itu menuntut pengamatan umum terhadap karakter yang digalasnya.
Di fikirnya, dia tertanya-tanya apakah kemunculan sulung ke layar perak itu membuahkan hasil. Berganding pula bersama aktor Shaheizy Sam yang sedang 'besar' di mata khalayak, Fizo terdetik rasa bangga.
"Di mana-mana sahaja orang bercakap tentang Sam. Sudah tentu saya bangga sebab ada dalam filem yang meletakkan Sam sebagai taruhan, bahkan Kongsi juga sudah mencatat kutipan jutaan ringgit sejak ditayangkan.
"Alhamdulillah, banyak juga respons yang saya terima daripada filem Kongsi. Saya sedar, kemampuan saya masih di tahap sederhana. Saya tidak terlalu bagus tetapi tidak juga terlalu teruk. Komen sebegitu sudah memadai untuk saya yang masih dalam kategori pendatang baru," katanya merendah diri.
Kepuasan berbeza menjadi pelakon filem dan drama juga mula dirasai Fizo. Tempoh setahun dalam pembikinan sementara menunggu hasil dipuji atau dikritik, rugi atau untung pembikin membakar adrenalinnya menyahut apa sahaja cabaran bergelar aktor filem.
Mahu jadi ustaz
Tahun 2011 menjadi pengenalan kepada Fizo masuk ke filem. Ketika Kongsi masuk panggung, dia baru sahaja selesai penggambaran filem Halim Munan. Selang seminggu, skrip filem ketiganya, sekali gus menjadi jodoh keduanya bersama MIG harus ditelaah. Jika Kongsi dalam genre aksi, Halim Munan masuk kategori komedi, filem terbaru berjudul 7 Petala Cinta berkonsep islamik arahan Azhari Zain itu bakal mengubah imej Fizo menjadi lulusan Universiti Al-Azhar yang berdepan konflik sebuah kehidupan.

"Dalam filem itu, saya baru pulang ke tanah air setelah tamat belajar syariah di Al-Azhar. Ketika hendak berkahwin, dia mahu memberikan hantaran senaskhah al-Quran yang ditulis sendiri kepada bakal isterinya.
"Watak pemuda alim memang watak yang saya impikan sejak dahulu. Bukan hendak kata saya ini budak baik, tapi daripada watak sebegitu saya boleh belajar banyak benda, boleh baiki diri sendiri dan kalau beri mesej baik, itu sudah bagus," katanya yang berkira-kira untuk menonton semula judul Ayat-Ayat Cinta atau Ketika Cinta Bertasbih sebagai pemanas enjin sebelum memulakan penggambaran filem terbarunya.
Sengaja saya gelarkan MIG sebagai 'kilang filem', manakala Fizo pula seorang daripada 'operator pengeluaran' yang baru mendaftar masuk ke kilang berkenaan. Lantas, sudah bersediakah Wan Hafizol Wan Omar, 26, berdepan rutin dan tekanan menjadi operator di kilang milik tauke besar bernama David Teo?
"Tanyakan kepada semua pelakon, rasanya semua mahu bergelar pelakon filem. Itu sasaran semua orang. Saya anggap situasi ini sebagai penjenamaan semula Fizo Omar kerana sebagai pelakon filem, kita diberi kepercayaan untuk menarik penonton membeli tiket.
"Kalau dulu juga, orang kata saya jadi pelakon bersandarkan rupa atau mahukan popular, tapi sekarang saya mencari kepuasan. Saya mahu dengar komen-komen, bahawa saya sudah ada peningkatan. Untuk jangka masa panjang, saya pasti menjadi orang paling bertuah jika dapat genggam anugerah pula," ujarnya yang baru ditawarkan watak sebuah produksi teater di Singapura.
Memandangkan faktor logistik harus diambil kira, pelakon watak Ketua Lipas dalam Muzikal Siti Di Alam Fantasi itu masih menimbangkan tawaran berkenaan.
Masuk ke ruang peribadi, peminat motosikal berkuasa besar yang bercita-cita memiliki buku resipi masakan warisan Thailand itu mengakui, masih belum tiba masa untuk memulakan komitmen hati dengan mana-mana wanita.
Katanya, cinta biar dahulu, kerana sekarang waktu menuntutnya untuk membina nama di persada lakonan. Anak kedua daripada empat beradik ini juga menjadi harapan keluarga. Perpisahan yang berlaku antara kedua ayah dan ibunya menjadikan dia seorang anak yang lebih bertanggungjawab.
"Kalau boleh saya tak mahu hal keluarga dibawa ke tengah. Walaupun sudah berpisah, kami masih okey. Ibu dan ayah saya masih berbaik, saya tinggal bersama ibu dan dua adik perempuan saya yang masih menuntut," ceritanya ringkas.
Sempat berbisik sebelum meminta diri untuk urusan lain, katanya dia baru sahaja menubuhkan kelab peminat atas nama FOFC yang boleh dilayari menerusi www.fizoomar.com. Sasarannya mengumpul sejuta peminat termasuklah di Facebook dan Twitter.
"Saya baru sahaja menganjurkan satu percutian bersama peminat ke Langkawi, kalau ada peluang, akan banyak lagi acara melibatkan saya bersama peminat," katanya menutup bicara dengan satu bayangan, bakal bergelar duta jenama penjagaan diri tidak lama lagi.
sumber : kosmo.com.my

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
  • RSS
  • Delicious
  • Digg
  • Facebook
  • Twitter
  • Linkedin

Search Site