Followers

May 7, 2011

Fasa baru Witherspoon

Posted by MohdHaz on 10:26 AM





REESE WITHERSPOON pertama kali dikenal dunia menerusi pembabitannya dalam filem The Man in the Moon pada tahun 1991.
Sejak itu, namanya terus mendadak naik menerusi filem-filem lakonannya yang sukses di panggung seperti Cruel Intentions, Legally Blonde, Election dan Sweet Home Alabama.
Walau dilihat agak kurang mendapat publisiti, ironi, Witherspoon bukan calang-calang aktres. Anak kelahiran New Orleans, Lousiana, Amerika Syarikat ini telah banyak menggondol anugerah, termasuk Oscar yang dimenanginya lewat peranan sebagai June Carter Cash dalam filem Walk the Line.
Malah menerusi lakonannya dalam filem yang sama juga, dia menerima 16 anugerah dalam pelbagai majlis anugerah hiburan Hollywood.
Jika mahu dihitung usia pembabitannya, sudah 20 tahun dia bergelumang dengan dunia glamor yang diceburinya seawal usia 15 tahun. Pada 22 Mac yang lalu, usia Witherspoon sudah menjangkau 35 tahun.
AKTRES Reese Witherspoon telah menggondol pelbagai anugerah sepanjang pembabitan selama 20 tahun sebagai pelakon.


Bercakap mengenai peningkatan usianya, aktres yang kini sedang hangat dengan filem terbarunya, Water for Elephants memberitahu, menjangkau usia 35 tahun adalah satu hal yang besar bagi seorang wanita. Ini kerana menurut Witherspoon, semakin bertambah usia, dia berasa semakin yakin. Bukan malu.
"Saya rasa teruja dengan usia saya sekarang. Berusia 35 tahun adalah hal yang besar buat saya. Saya rasa lebih selamat dan yakin. Lebih yakin dan selesa daripada waktu saya berusia 20-an dahulu," kata pemilik nama sebenar, Laura Jeanne Reese Witherspoon ini.
Sementara memberi respons kepada kehidupan dan kariernya pula, Witherspoon mengatakan kehidupannya kadangkala boleh ditafsirkan sebagai sebuah kehidupan yang gila.
Katanya: "Saya menjalani kehidupan yang agak gila. Kadang-kadang saya rasa seperti sedang menaiki sebuah keretapi laju dan tak tahu arah tujuan sehingga hampir hilang identiti serta tak pasti apa yang sedang saya lakukan. Sehingga pada satu-satu masa saya rasa seperti tidak mampu menangani semua hal yang datang."
Akuinya, pada saat dia hampir kehilangan identiti dan lumpuh, dia selalu mengingatkan diri bahawa dia tidak hidup untuk glamor. Tetapi dia hidup untuk sebuah kehidupan yang sederhana bersama keluarganya, sama seperti yang dijalani orang lain.

TAK takut. Witherspoon menghabiskan masa selama enam bulan bersama gajah yang diberi nama Tia ini.


"Jadi saya bangun setiap hari dan ingatkan diri bahawa saya sedang hidup untuk keluarga saya dan mahu bergembira dengan mereka," katanya penuh semangat.
Apabila Witherspoon bercakap mengenai kehidupan keluarga, dia sebenarnya merujuk kepada perjalanan hidup berkeluarga yang dijalaninya pada usia muda. Dia berkahwin dengan lawan lakonnya, aktor Ryan Phillippe, pada usia 23 tahun. Mereka dikurniakan dua orang anak iaitu Ava Elizabeth dan Deacon Reese.
Namun tujuh tahun selepas berkahwin, pasangan ini bercerai. "Ia amat memalukan," katanya merujuk kepada penceraian tersebut. Witherspoon juga mendefinisikan bahawa penceraian tersebut sebagai satu malapetaka buat dirinya. Ia amat menyakitkan, malah sehingga kini dia masih berfikir tentang kewarasan di sebalik kata-kata semangat, semua kesakitan itu akan pulih nanti.
Biar masih terasa pedih terhadap penceraian lampau, ia tidak membunuh rasa aktres itu untuk kembali mendirikan rumah tangga pada tahun lalu. Dia yang kini merupakan isteri kepada Jim Toth berkata, kehidupannya hari ini lebih bermakna.
"Sebab itu saya katakan usia 35 tahun sekarang adalah satu kebanggaan buat saya. Saya menjadi semakin matang dan tahu erti kehidupan. Berkahwin dengan Toth adalah satu pilihan yang tepat. Dia seorang lelaki yang baik dan saya bernasib baik kerana menjadi isterinya," katanya yang turut memberitahu ibunya juga menggemari Toth.
Begitu teruja dengan kehidupan barunya, Witherspoon juga memberitahu, dia mahu menambah bilangan anak kerana suka dengan kanak-kanak dan suka dengan konsep kekeluargaan.
sumber : kosmo.com.my

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
  • RSS
  • Delicious
  • Digg
  • Facebook
  • Twitter
  • Linkedin

Search Site