Followers

Apr 26, 2011

RM10 juta untuk ... Dalam Botol

Posted by MohdHaz on 11:56 AM

Oleh Zainuri Misfar
zainuri@bharian.com.my
2011/04/26


Raja Azmi masih menimbangkan tawaran pengedar filem daripada New York 

DALAM keadaan dilanda pelbagai kritikan dan kontroversi, filem Dalam Botol menarik minat pengedar filem antarabangsa berpusat dari New York yang menyatakan minat untuk membeli hak tayangan pada harga RM10 juta atau AS$3 juta.

Pastinya jumlah yang ditawarkan itu lebih 10 kali ganda lebih tinggi daripada kutipan kasar filem Dalam Botol.
Mengikut Maklumat Industri Perfileman di laman sesawang Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS), filem Dalam Botol yang dihasilkan dengan kos kira-kira RM800,000 mula ditayangkan menerusi 40 panggung pada 23 Mac lalu dan mencatatkan kutipan kasar RM570,000. Angka itu berdasarkan data yang dikemaskini oleh FINAS sehingga 20 April lalu. 

Penerbitnya, Raja Azmi Raja Sulaiman ketika dihubungi Hip menjelaskan, belum ada sebarang keputusan muktamad dibuat ketika ini kerana rundingan mengenai harga masih dalam perbincangan. 

Menurutnya, rundingan itu adalah untuk menentukan harga sebenar kerana adakah wakil pengedar berkenaan mahu menayangkan filem Dalam Botol ke seluruh dunia atau hanya pawagam di Amerika Syarikat saja. 

Enggan dianggap sebagai terlalu tamak, tetapi pada masa beliau juga sedang mendapatkan nasihat dan pandangan daripada pihak lain apakah tawaran yang diberikan itu dianggap berpatutan. 
“Menyebut pasal harga ini, rundingan perlu dilakukan dengan berhati-hati. Saya tidak mahu dilihat tamak. Tapi pada masa sama saya kena fikir juga, adakah RM10 juta itu adalah harga yang tinggi atau sebaliknya. 

“Saya pun mahu kepastian daripada pihak pengedar sama ada filem Dalam Botol hendak ditayangkan di seluruh dunia atau Amerika saja. Kalau di seluruh dunia, apakah harga yang ditawarkan itu setimpal,” katanya. 

Minat penggiat filem luar antarabangsa terhadap filem Dalam Botol tercetus apabila salinannya turut diedarkan oleh Library of Congress di Amerika. Malahan sebelum filem itu ditayangkan di negara sendiri, Dalam Botol sudah ditayangkan di beberapa festival filem antarabangsa seperti Fesvital Filem Antarabangsa Venice, Itali; Festival Filem Independent New York dan Festival Filem Antarabangsa Lyon, Perancis. 

Penayangan filem ini dikatakan memberikan sedikit ‘kejutan’ kepada orang luar kerana tema yang dibawakan dianggap sebagai di luar daripada kebiasaan kerana mengetahui masyarakat Malaysia yang masih konservatif dan taboo homoseksual. 

Bagaimanapun, Raja Azmi sekali lagi menegaskan, filem Dalam Botol bukanlah cerita mengenai cinta sejenis atau homoseksual tetapi sekadar mengangkat konflik kehidupan yang dilalui oleh segelintir manusia tetapi tidak diberikan perhatian oleh masyarakat. 

“Ingin saya tegaskan, filem Dalam Botol tidak sama sekali menggalakkan budaya homoseks. Saya bukan hendak mempromosikan itu. Tetapi yang penting, cerita yang dimuatkan menerusi filem Dalam Botol adalah mengenai kesilapan manusia dalam membuat keputusan kerana terlalu mengikut kata hati,” katanya. 

Raja Azmi juga menjelaskan dia tidak mahu menyamakan filem ... Dalam Botol dengan Brokeback Mountain. Baginya, walaupun kedua-dua filem itu mungkin ada persamaan dari segi pendekatan ceritanya, tetapi konflik yang dipaparkan ... Dalam Botol jelas berbeza kerana ia masih memberi penekanan daripada aspek moral, budaya dan pegangan agama. 

“Cuma daripada pandangan orang Barat, filem ... Dalam Botol memecahkan taboo pemikiran penonton di Malaysia kerana cerita mengenai hubungan homoseksual memang tidak pernah dibuat terutama dalam pemikiran masyarakat kita yang sangat konservatif. 

“Filem ... Dalam Botol memberi kejutan kepada orang luar kerana selalunya mereka selalunya melihat cerita seperti ini dilakukan oleh penggiat filem dari Jepun, Korea atau Hong Kong, bukan daripada Malaysia yang majoriti penduduknya mempunyai pegangan yang kuat dengan agama Islam,” jelasnya. 

Konflik lelaki daripada pandangan wanita 

Laporan agensi berita antarabangsa Associated Press (AP) pada 13 April lalu melaporkan filem ... Dalam Botol mendapat ulasan yang menggalakkan daripada pengkritik filem antarabangsa, malahan ada yang membandingkannya dengan Filem Terbaik di Anugerah Academy, Brokeback Montain dan filem Happy Together arahan Wong Kar Wai dari Hong Kong. 

Pengarah filem ... Dalam Botol, Khir Rahman dipetik sebagai berkata; “Kutipan box-office tidak penting kepada saya. Saya sudah melakukan kerja sebagai seorang pengarah untuk menghasilkan satu cerita yang baik.” 

Tidak dinafikan ... Dalam Botol memang sentuhan homoseksual dengan babak pembukaannya memaparkan dua lelaki meraba dada masing-masing ketika berada di pantai. Walaupun tidak sama dengan Brokeback Montain, tetapi ia disifatkan sebagai keterbukaan penonton filem Malaysia. 

Filem genre drama romantik, Brokeback Mountain diarahkan oleh pengarah kelahiran Taiwan, Ang Lee pada tahun 2005 memaparkan kisah cinta yang rumit dan penuh konflik membabitkan dua lelaki di Barat Amerika. 

Seperti filem ... Dalam Botol yang mana idea asalnya daripada seorang wanita, iaitu Raja Azmi, begitu juga dengan Brokeback Montain. Konflik cinta penuh rumit antara dua lelaki itu dalam Brokeback Mountain juga adalah adaptasi berdasarkan kaca mata wanita iaitu Annie Proulx, manakala Diana Ossana bersama-sama Larry McMurthy sebagai penulis lakon layar. Filem itu dibintangi oleh Heath Ledger, Jake Gyllenhaal, Anne Hathaway dan Michelle Williams. 


0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
  • RSS
  • Delicious
  • Digg
  • Facebook
  • Twitter
  • Linkedin

Search Site