Followers

Apr 26, 2011

Dilema Cinta dua sahabat karib - Aliff Aziz & Hao Ren

Posted by MohdHaz on 11:59 AM

Hao Ren (kiri) dan Aliff Aziz.
Hao Ren (kiri) dan Aliff Aziz.
Keserasian vokal menyatukan Aliff dan Hao Ren 

SEORANG di Singapura, seorang lagi di Malaysia. Biarpun dipisahkan oleh Selat Tebrau namun mereka masih boleh bersatu.


Atas dasar saling meminati dan menghargai karya masing-masing, dua penyanyi remaja, Aliff Aziz dan bekas pemenang tempat ketiga Astro Talent Quest 2009, Hao Ren dipertemukan dalam sebuah lagu berjudul Dilema Cinta.
Lagu ciptaan Hao Ren itu pada asalnya dinyanyikan dalam bahasa Mandarin. Namun disebabkan sentuhannya mempunyai ciri R&B dan mesra telinga, jadi atas nasihat syarikat rakaman mereka, Sony Music, lagu itu disampaikan secara bersama oleh mereka dan bakal dijadikan single. 

Baru-baru ini, Alif dan Hao merakamkan lagu itu di sebuah studio di Eastern World Music, Jalan Imbi. 

Ketika wakil media dibawa menjejakkan kaki ke studio berkenaan, Hao sedang dalam proses memasukkan vokal. Manakala Aliff memberikan panduan kepada rakan duetnya itu bagaimana menyebut perkataan bahasa Melayu itu dengan betul. 

Ternyata, keserasian wujud di antara kedua-duanya apabila masing-masing datang dari genre yang sama. Bagi Aliff, lagu Dilema Cinta itu memang sesuai dengan vokal dan cita rasanya. 
“Projek duet ini sebenarnya adalah perancangan syarikat rakaman. Mereka berpendapat vokal kami mempunyai keserasian. Pemilihan lagu ini juga adalah disebabkan konsep muziknya sama dengan konsep album saya iaitu pop R&B. 

“Selepas mendengar lagu itu, saya terus sukakannya kerana ia mudah diingati dan mesra telinga,” kata penyanyi yang mula dikenali menerusi lagu Sayang Sayang ini. 

Bagi jejaka tinggi lampai ini, mungkin merakamkan lagu itu macam makan kacang saja iaitu kelihatan seperti senang. Namun bagi Hao Ren, itu adalah satu cabaran buatnya sepanjang bergelar penyanyi. 

“Ini adalah kali pertama saya merakamkan lagu dalam bahasa Melayu dan saya akui sukar terutama dari segi sebutan dan penyampaian. Sebaik saja saya dapat lirik lagu yang ditulis oleh Sha Kalam ini, saya belajar cara sebutan dari Aliff, penerbit dan juga petugas Sony Music yang lain. Mereka banyak membantu saya dari segi itu,” kata penyanyi berusia 23 tahun ini. 

Mengulas versi asal lagu itu yang diberi judul Hao Ren Ka, penyanyi ini berkata lagu itu menceritakan kisah kekesalan seorang lelaki kerana melukakan hati kekasihnya yang tersayang. 

“Bagaimanapun, untuk versi Melayu, ia menceritakan bagaimana dua sahabat baik jatuh cinta terhadap wanita yang sama. Namun atas dasar persahabatan, salah seorang harus mengalah,” katanya mengenai lagu yang pernah memenangi anugerah Golden Song ketika MY Astro Award 2011 yang berlangsung di Genting Highlands, baru-baru ini. 

Ibarat serampang dua mata, Hao Ren juga berharap, single ini akan memberi peluang kepadanya untuk mendekati peminat Melayu. 

“Saya tak mahu menaruh harapan yang tinggi, namun siapa tahu nasib akan menyebelahi saya selepas ini dan peluang saya untuk menembusi pasaran lagu Melayu akan terbuka luas,” katanya. 

Single Dilema Cinta ini akan dijual dalam bentuk digital dan akan boleh dimuat turun pada Mei ini. 

Masih terikat dengan Latihan Khidmat Negara 

POPULARITI lagu Kalau Sayang nyanyiannya bersama Joanna dari kumpulan Joanna & Co cukup hangat apabila sering diputarkan di corong radio. 

Bagaimanapun, menurut Aliff, sebagai penyanyi dia masih terasa kekurangan apabila belum dapat menjayakan sebarang promosi secara besar-besaran untuk album keduanya, Its Aliff’s Time yang mula berada di pasaran sekitar tahun lalu. 

“Saya masih lagi terikat dengan program Khidmat Negara dan ia hanya akan tamat pada bulan Disember nanti. Hanya selepas tempoh itu barulah saya boleh kembali aktif dan mempromosikan album kedua saya itu. 

“Dan projek single ini juga adalah salah satu strategi syarikat rakaman untuk memastikan Aliff terus diingati peminat,” kata Aliff yang turut mengambil kesempatan percutiannya itu untuk menyaksikan konsert penyanyi remaja sensasi, Justin Bieber. 

Selain merakamkan lagu, mereka juga membuat klip video dan ia diarahkan sendiri oleh Hao Ren.


sumber : bharian.com.my

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
  • RSS
  • Delicious
  • Digg
  • Facebook
  • Twitter
  • Linkedin

Search Site