Followers

Apr 27, 2011

Imam Muda musim kedua pikat peserta negara jiran

Posted by MohdHaz on 3:02 PM



ZULFADLI AWANG (kiri) dan Mujahid Suhaimi mewakili negara masing-masing, Brunei dan Singapura dalam program Imam Muda musim kedua.


SELEPAS menyaksikan kejayaan pada musim pertama, program realiti pencarian Imam Muda kembali meneruskan tradisi dengan melancarkan musim kedua dengan pencarian pemuda Islam bagi merangkul gelaran Imam Muda musim kedua.
Baru-baru ini Astro Oasis telah memperkenalkan 10 orang calonnya menerusi siaran secara langsung dari Dewan Muktamar, Menara Pusat Islam, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Kuala Lumpur.
Apa yang menariknya, penyertaan kali ini menampilkan dua orang peserta dari negara jiran iaitu Mujahid Suhaimi, 20, dari Singapura serta Zulfadli Awang, 24, dari Brunei Darussalam.
“Kami di Astro berasa amat teruja apabila menerima penyertaan daripada negara jiran. Selain dapat memberikan peluang kepada mereka untuk menjadi seorang Imam Muda yang terunggul, kami mampu melahirkan generasi baru sebagai pelapis bagi tokoh-tokoh agama kelak,” ujar Pengurus Saluran Astro Oasis, Haji Izelan Basar.
Pada musim kali ini, mantan Imam Besar Masjid Negara, Datuk Hasan Mahmud Al Hafiz sekali lagi diberi mandat untuk menjadi Mudir (pengetua) dan dibantu oleh empat orang Murshyid (mentor) yang merupakan dua orang pensyarah dari institut pengajian tinggi awam (IPTA) dan dua wakil dari JAWI.
Tambah Izelan lagi, secara keseluruhannya, kualiti peserta yang hadir pada sesi temu duga meningkat berbanding musim lalu sekali gus cabaran bagi calon juga sukar.
Sementara itu, bagi calon dari Singapura, Mujahid, walaupun dibesarkan dan bersekolah di Singapura, pemuda ini pernah menuntut di sekolah tahfiz di Kelantan sejak berumur 15 tahun.
“Saya sudah biasa menjadi imam di beberapa tempat sebelum ini. Saya sertai program ini adalah untuk menimba ilmu dan apabila keluar kelak, saya dapat berdakwah dan menyebarkan ilmu Islam khususnya di negara saya sendiri.

INILAH barisan 10 calon program Iman Muda musim kedua.


“Rasa takut dan berdebar muncul apabila melihat semula cabaran-cabaran musim lepas. Namun, sokongan keluarga membuatkan saya berani untuk mencuba,” tutur anak muda ini yang juga pernah mewakili sekolahnya di Singapura dalam sukan gimnastik.
Lain pula cabaran yang ditempuhi oleh Mohd. Azlan Zulkarnain, 25, yang baru sahaja dua bulan mendirikan rumah tangga.
“Pada mulanya, isteri saya risau kerana apabila menceburkan diri ke dalam program ini, saya mungkin berubah perangai kerana akan mula dikenali ramai.
Tetapi, apabila menyedari hakikat bahawa apa yang dilakukan ini adalah untuk ke jalan agama, dia reda dengan keputusan saya,” ujar jurutera yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal dari Universiti Teknologi Pertronas ini.
Antara calon lain yang terpilih adalah Zulfadli Awang, 24, (Brunei), Mohd Hassan Adli Yahaya @ Yahuza, 26, (Perak), Nazrul Izwan Zolkiflee, 26, (Johor), Wan Najdi Wan Mohd Noh, 20, (Kelantan), Ammar Wan Harun, 27, (Kuala Lumpur), Abdul Fattah Riddzwan, 21, (Negeri Sembilan) dan Ali Khairudin Abdul Marif, 26, (Sabah).
Rangkaian program-program Imam Muda telah mula bersiaran di Astro Oasis (saluran 106) melalui Imam Muda - Ujian yang telah ditayangkan sejak 1 April lalu, setiap Jumaat pukul 9 malam.
Seterusnya, bermula 25 April lalu, setiap hari Isnin hingga Khamis pukul 7.55 malam, penonton berpeluang menyaksikan kesemua calon Imam Muda yang terpilih mengikuti kelas-kelas dan aktiviti-aktiviti mengikut kaedah dan metadologi melalui program Imam Muda - Kapsul.
Pertama kali diperkenalkan pada musim ini, Imam Muda - Mimbar akan bersiaran setiap hari Jumaat jam 6.30 petang bermula 29 April ini.
Seperti musim lalu, Imam Muda musim kedua buat pertama kali akan bersiaran pada setiap hari Jumaat, pukul 9 malam akan menguji kesemua calon Imam Muda bakal diuji untuk sesi penilaian.
sumber : kosmo.com.my

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
  • RSS
  • Delicious
  • Digg
  • Facebook
  • Twitter
  • Linkedin

Search Site