Followers

May 25, 2011

Tasha, Zizan masuk kubur

Posted by MohdHaz on 12:32 PM



BARISAN pelakon Panggilan Arwah. Dari kiri: Riezman, Zizan Nin, Tasha dan Mahmud Ali Basha.


SIAPA sahaja pasti akan insaf apabila terfikirkan soal kematian apatah lagi membayangkan alam kubur yang penuh dengan misteri serta sering dikategorikan sebagai tempat menakutkan.
Perasaan itu turut dialami oleh dua pelakon, Zizan Nin dan Tasha Shilla yang merasakan sendiri pengalaman masuk ke dalam ‘rumah kedua’ manusia itu ketika sesi penggambaran drama Panggilan Arwah.
Menjadikan tanah perkuburan sebenar sebagai lokasi penggambaran sudah cukup membuatkan Tasha kecut perut kerana tidak pernah melakonkan babak sedemikian.
“Tubuh badan saya dikafankan dan hidung saya disumbat dengan kapas seperti orang yang betul-betul telah mati.
“Hanya Tuhan yang tahu betapa takutnya saya ketika badan saya dibawa turun ke dalam kubur dan dibaringkan di liang lahad,” jelas pelakon berusia 24 tahun itu.
Tasha yang pernah muncul dalam filem Ratu The Movie juga memberitahu penggambaran terpaksa dihentikan seketika kerana dia pengsan setelah beberapa minit dimasukkan ke dalam kubur.
Selain dimasukkan ke dalam kubur, tubuh badan Tasha kecuali kepala turut dikambus dengan tanah pada pukul 3 pagi bagi memenuhi keperluan satu babak sahaja.
Memegang watak Sabariah dalam drama terbitan Filmscape Sdn. Bhd. itu menuntut Tasha membawa watak berbeza daripada lakonannya sebelum ini.
“Selalu orang akan melihat saya memegang watak perempuan jahat tetapi kali ini saya mencabar diri saya untuk memegang watak sebagai hantu,” ujar pelakon drama Sahara itu lagi.
Aktor Zizan Nin pula menyatakan pengalaman selama 10 hari penggambaran drama itu cukup menyeronokkan dan memberikan dirinya banyak pengajaran tentang kehidupan.
Sama seperti Tasha, Zizan juga perlu melakukan babak di dalam kubur namun tidak timbul perasaan takut dalam dirinya dan menganggap ia sebagai momen yang perlu diingati sebagai peringatan untuk diri sendiri.
“Berada dalam kubur seperti berada di dalam dunia berbeza dan membuatkan kita sedar betapa kerdilnya kita di muka bumi ini.
“Tetapi saya tidak perlu berasa takut kerana alam kubur akan dijalani semua orang termasuk saya,” spontan sahaja nada pelakon yang telah bertapak selama lapan tahun dalam industri seni tanah air itu.
Dikambus hidup-hidup
Zizan turut memberitahu babak ketika dia dikambus tanah secara ‘hidup-hidup’ membuatkan tanah kubur tersebut masuk ke dalam mulutnya.
Drama arahan Faisal Ishak itu bakal menemui penonton Astro Citra di saluran 131 pada 29 Mei ini dan turut dibintangi Mahmud Ali Basha, Jazz Rashid, Kuza dan Riezman Khuzaimi.
Menceritakan kisah Amin (Zizan Nin), seorang graduan perubatan yang baru sahaja menamatkan pengajiannya pulang ke kampung halaman sementara menunggu tawaran berkhidmat sebagai doktor di hospital kerajaan.
Ketika berada di kampung, Amin sering bermimpi tentang ibu saudaranya, Sabariah (Tasha Shilla) yang diseksa dalam kubur dan meminta pertolongan daripada Amin.
Bingung dengan makna di sebalik mimpi tersebut, Amin cuba mencari kisah silam emak saudaranya daripada ibunya, Maimun (Kuza) tetapi ditegah oleh ayahnya, Badrul (Mahmud Ali Basha).
Amin gagal membezakan mimpi dan realiti dan memaksa dia menyiasat misteri Sabariah seorang diri dan akhirnya ayahnya membongkar rahsia hubungan Sabariah dengannya.
Sabariah merupakan ibu kandung kepada Amin namun telah dirahsiakan daripada pengetahuan orang ramai kerana bimbang akan kata-kata orang kampung yang menuduh Sabariah melahirkan anak luar nikah kerana melakukan zina dengan seorang ahli perniagaan dari Kuala Lumpur.
Kebenaran yang terbongkar itu mendorong Amin mencari ayah kandungnya yang sebenar dan terjawablah teka-teki yang menghantui dirinya selama ini bahawa dia merupakan anak sah hasil perkahwinan ibunya dengan ayahnya, Ramlan (Riezman Khuzaimi) sebelum bercerai.
Namun Sabariah terus muncul dalam mimpi Amin meminta pertolongan agar membantunya untuk dilepaskan daripada azab kubur akibat dosa silam yang dilakukannya. Kesudahannya bakal terjawab dalam drama penuh pengajaran ini.
sumber : kosmo.com.my

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
  • RSS
  • Delicious
  • Digg
  • Facebook
  • Twitter
  • Linkedin

Search Site