Followers

May 14, 2011

Sayu, derita Datuk Sarimah

Posted by MohdHaz on 5:43 PM



BERPERANG dengan penyakit kanser, Sarimah terharu kerana teman-teman seperjuangan dalam industri masih tidak melupakannya dan meraikan ulang tahun ke-69 baru-baru ini.


MEMANG benar ajal dan maut itu ketentuan daripada Ilahi. Bagi pelakon berpengalaman, Datuk Sarimah Ahmad, dia bersyukur dan tidak menyangka masih dapat menyambut kelahiran pada usia 69 tahun pada 28 April lalu ketika dirinya berperang dengan penyakit kanser otak, hidung dan lidah.
Selepas diberitahu doktor pada tahun lalu yang dirinya hanya berpeluang hidup selama tiga bulan, Sarimah lebih banyak mendekatkan diri dengan Tuhan.
"Nyawa saya terletak di tangan Tuhan bukan di tangan manusia. Biar seteruk manapun keadaan saya sentiasa istiqamah dan berdisiplin menjaga kesihatan diri.
"Ramai yang tidak tahu penyakit saya kecuali anak bongsu saya Yusarima Puteri," kata Sarimah kepada pihak media selepas sambutan hari jadinya yang ke-69 di Restoran Warisan, Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.
Pada malam sambutan hari jadinya yang dianjurkan oleh Persatuan Karyawan Malaysia itu, Sarimah kelihatan sedih dan terharu.
Daripada ceria, suasana malam itu bertukar menjadi sayu saat Sarimah memberikan ucapannya.
Ibu kepada pelakon dan pengarah filem Momok Jangan Panggil Aku, M. Jamil itu mengaku, melalui saat-saat getir selama dia menghidap penyakit kanser itu.
Ditanyakan mengenai permulaan dirinya menghadapi penyakit tersebut, Sarimah memberitahu, dia mendapat penyakit tersebut masa berlakon cerita Cinta Madinah pada tahun 2008.
"Saya mula sakit masa pengambaran cerita Cinta Madinah. Sakit tersebut melarat sehingga dua tahun. Saya sudah tidak berdaya lagi.
Sarimah pernah sakit tidak bangun selama sebulan sehingga badannya menjadi kurus kering dan menampakkan sosok tulang rangka.
"Berat badan saya pernah turun sehingga 50 kilogram dan saya terpaksa duduk beralaskan bantal kerana isi tulang pinggul semakin menipis.
"Saya juga pernah melalui masalah lidah mengeras sehinggakan tidak boleh menarik atau menjelirkannya," ceritanya yang terpaksa menolak banyak undangan fotografi dan ceramah.
Menurutnya, dia tidak pernah mengalah untuk melawan penyakitnya itu. Sarimah menolak untuk melakukan rawatan kemoterapi atau pun pembedahan.
Sebaliknya memilih melakukan rawatan alternatif iaitu dengan mengambil ubat yang dicadangkan daripada Profesor Syed Putra Meir.
Selain itu, Sarimah juga bertawakal dan memanjat doa dari Tuhan dengan mengamalkan minum air zam-zam setiap hari, membaca al-Quran dan bersolat tengah malam.
"Kalau datang (lahir) dengan cukup sifat, saya mahu balik (meninggal) dalam keadaan yang sama," katanya yang bersyukur dengan keadaan dirinya yang semakin pulih daripada penyakit kanser.
Ditanyakan sama ada dia akan menerima undangan lakonan, kata Sarimah, buat masa ini dia tidak akan menerima apa-apa undangan berlakon.
Mungkin pada masa akan datang dan jika tawaran yang diterimanya bersesuaian, Sarimah tidak akan menolak.
Majlis yang dihadiri oleh ramai ahli Karyawan seperti Datuk Freddie Fernandes, Radhi Khalid dan Salwa Abdul Rahman itu turut diserikan dengan kedatangan selebriti-selebriti seperti Hazami, Imuda, Roslan Shah, Ikhwan, Fazli Zainal, Rohana Jalil dan ramai lagi.
sumber : kosmo.com.my

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
  • RSS
  • Delicious
  • Digg
  • Facebook
  • Twitter
  • Linkedin

Search Site