Followers

May 23, 2011

Sarimah Bangkit Dari Duka

Posted by MohdHaz on 1:51 AM

Sarimah Ibrahim akui dirinya bagai dilahirkan semula. - Foto RAYMOND OOI
KALAU hendak dihitung titisan air mata dan ratapan yang menyelubungi hatinya susulan kehancuran rumah tangga dua tahun lalu, ia tidak mungkin terungkap dengan kata-kata.
Akui Sarimah Ibrahim, hari ini dia mahu bangkit semula daripada episod duka dan membuka lembaran baru dalam hidupnya.
"Sebelum ini, saya terlalu mendambakan diri pada perhubungan itu dan menjadi putus harapan apabila perkahwinan itu berakhir.
"Saya bersyukur pada Tuhan kerana membangkitkan saya daripada kedukaan yang memudaratkan ini.
"Saya bagai dilahirkan semula dan kian sedar tujuan sebenar kehidupan ini selepas bergelar solo," katanya dalam satu pertemuan bersama OopStarz!, baru-baru ini.
Jelasnya lagi, walaupun hampir dua tahun bagaikan berkabung dan tenggelam punca susulan perceraian dengan bekas suami Amir Andrew Abdullah, dia sebenarnya bertuah kerana dilahirkan semula dengan semangat baru.
"Saya mula sedar apabila bersendirian, saya sebenarnya ada Tuhan di sisi. Saya belajar untuk mengatasi tanggapan yang selalu menganggap diri berada dalam keadaan baik walaupun sebenarnya tidak.
"Kini, saya kembali ke trek asal dan nampak objektif hidup dengan jelas. Terlalu banyak perancangan menanti di depan," katanya yang baru saja dilantik sebagai duta kempenGoodyear Women With Drive, baru-baru ini.
Melebarkan perbualan kami, peluang bersua dengan janda muda ini tidak dilepaskan begitu saja tanpa usikan tentang teman istimewa.
Apabila diajukan pertanyaan itu, pantas saja Sarimah membalas: “Selain bahagia dengan kehidupan baru di samping keluarga dan bisnes, saya juga sedang didekati oleh seseorang.
"Cuma, ia terlalu awal dan saya sebagai wanita masih menantikan kata-kata daripada pihaknya untuk terus melayari hubungan yang baru bermula ini."
Bercerita lanjut, Sarimah mengakui dia sering dilabelkan cenderung kepada lelaki berasal dari Eropah berbanding Melayu. Namun, wanita kacukan Melayu-Ireland ini punya jawapan sendiri tentang isu itu.
"Nampaknya, sekali lagi saya berkawan rapat dengan seorang lelaki dari Eropah. Bukan sengaja cari lelaki asing tetapi keserasian itu kian menyerlah antara kami.
"Hakikatnya, saya tidak pilih bulu sama ada lelaki Melayu atau apa bangsa sekalipun. Yang penting adalah hati dan keterbukaannya dalam menjalani hubungan.
"Saya mencari lelaki yang boleh menerima saya seadanya dan terbuka untuk menyokong apa yang mahu saya lakukan,” kongsinya.
Kejayaan rakan suntik semangat
Keterujaan Sarimah terus meledak apabila bersembang tentang cinta barunya sejak enam bulan lalu iaitu perniagaan.
Kata hos program 1,2,3 Tukar ini, pemerhatiannya terhadap beberapa rakan industri seperti Datuk Seri Tony Fernandes, Ahmad Izham Omar, Sandy Monteiro dan Darren Choy yang berjaya dalam lapangan masing-masing telah menyuntik inspirasi untuknya menyusuri jejak itu.
"Nama-nama ini semuanya adalah rakan-rakan dalam industri hiburan yang berjaya. Mereka telah membuktikan dengan kesungguhan dan komitmen kita sebenarnya boleh mengukuhkan penjenamaan diri sendiri.
"Selama ini, saya memiliki platform untuk ke arah itu berbekalkan tiket Sarimah Ibrahim tetapi saya tidak nampak dan tidak menggunakan kelebihan itu dan kini saya mahu mencapai visi itu," katanya.
Bangkit daripada kesuraman yang menyelaputi hidupnya, Sarimah terus melangkah dengan menumpukan sepenuh daya untuk kemajuan diri dan bisnesnya.
"Sejak enam bulan lalu, saya semakin fokus dan melakukan pelbagai perkara untuk mengembangkan syarikat saya, Sarimah Sdn Bhd.
"Kami hanyalah sebuah pasukan kecil tetapi punya semangat dan visi yang besar. Saya mencari peluang untuk menghasilkan pelbagai program televisyen, perunding penjenamaan untuk sebarang produk, menganjurkan acara dan majlis untuk mana-mana pihak," katanya.
Kembali ke pentas teater
Dunia lakonan tidak pernah pudar dalam sanubari Sarimah. Mungkin akhir-akhir ini, wajahnya lebih mesra ditonton sebagai pengacara di televisyen tetapi hakikatnya, Sarimah masih aktif di pentas lakonan.
Sementara menantikan filem Apokalips arahan Mamat Khalid menjengah pawagam hujung tahun ini, Sarimah terlebih dahulu mengikat komitmen dengan pementasan teaterMak Dara Nyonya bermula 6 hingga 12 Julai di Pusat Pelancongan Malaysia (Matic), Jalan Ampang.
"Selepas Muzikal Tun Mahathir 2, saya cukup teruja untuk ke pentas teater lagi. Kebetulan pula, untuk Mak Dara Nyonya ada watak yang bersesuaian, mengapa tidak saya sahut cabaran ini," katanya yang bakal menjayakan watak anak saudara yang gilakan harta dalam produksi itu.
Selain itu, Sarimah yang masih menyimpan hasrat untuk kembali mengemudi musim baruThe Biggest Loser Asia ini juga sedang rancak menghabiskan pengajiannya dalam jurusan Psikologi, menulis buku dan menunggu khabar gembira untuk bertugas di konti radio di bawah pengurusan Astro.
sumber : mstar.com.my

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
  • RSS
  • Delicious
  • Digg
  • Facebook
  • Twitter
  • Linkedin

Search Site