Followers

May 6, 2011

Populariti Nabil Vs Kualiti Jambu

Posted by MohdHaz on 4:35 PM



JAMBU sudah mempunyai kelab peminat, manakala Nabil memang sudah mempunyai kelompok peminat tersendiri.


NABIL dan kumpulan Jambu merupakan dua nama yang sering menjadi tumpuan dalam program Maharaja Lawak. Setiap minggu kemunculan mereka dinanti-nantikan oleh penonton kerana lawak cerdik yang ditampilkan mereka.
Bagaimanapun jika diukur daripada populariti sudah tentu ia memihak kepada Nabil kerana bekas juara program Raja Lawak musim kedua itu telah dipilih sebagai Artis Paling Popular dalam Anugerah Bintang Popular 2008 serta berlakon dalam beberapa buah filem dan mempunyai program kendaliannya sendiri.
Justeru tidak hairanlah jika minggu lalu Nabil berada di kedudukan yang selamat iaitu tempat kedua di bawah kumpulan Jozan dengan markah sebanyak 53 peratus.
Kumpulan Jambu pula tidak boleh dipandang sebelah mata, meskipun mereka sebelum ini kurang popular tetapi sejak menyertai program Maharaja Lawak, saham mereka semakin tinggi.
Buktinya, minggu lalu mereka berada di tangga ketiga di bawah Nabil dengan markah 46 peratus sama dengan kumpulan Sepah. Tidak mustahil untuk mereka menjadi juara, begitu juga dengan Nabil.
Nabil dan Jambu sempat berkongsi rasa dan pandangan mereka mengenai program Maharaja Lawak ketika Kosmo! menemui mereka minggu lalu.
Kegusaran Nabil
Nabil memiliki nama yang besar dalam industri hiburan tempatan, bagaimanapun itu tidak menjamin kejayaannya untuk bergelar juara dalam program Maharaja Lawak.
Akui Nabil, setiap minggu dilaluinya penuh debaran kerana standard yang diletakkan untuknya terlalu tinggi.
"Memang bukan mudah untuk buat lawak atas pentas walaupun saya sudah ada pengalaman. Agak tertekan juga sebab orang meletakkan standard yang tinggi untuk saya.
"Bagi saya, sebagai pelawak solo dan mendapat tempat kedua secara keseluruhannya satu pencapaian yang tinggi buat saya," ujarnya.
Bagi memastikan lawaknya berkesan serta tidak melebihi durasi yang ditetapkan ketika siaran langsung, Nabil akan berlatih berkali-kali.
"Saya buat latihan banyak kali tetapi bila waktu persembahan mesti saya tidak cukup waktu, saya sendiri pun tidak tahu kenapa," katanya yang kini berusia 28 tahun.
Jelas Nabil lagi banyak risiko yang menantinya apabila dia menyertai program Maharaja Lawak. Jika prestasinya tidak memuaskan, sudah pasti ia sedikit sebanyak mencalarkan imejnya sebagai seorang pelawak dan artis yang dikenali ramai.
"Memang ada kesannya apabila saya masuk Maharaja Lawak. Kalau saya bagus, kesannya juga bagus tetapi kalau prestasi saya menurun, ia akan memberi kesan yang tidak baik untuk kerjaya saya," luah anak kelahiran Negeri Sembilan ini lagi.
Luah Nabil, tujuannya menyertai Maharaja Lawak bukan mahu mencabar sesiapa sebaliknya untuk memanjangkan hayat kerjayanya sebagai pelawak dan pelakon dalam dunia seni tanah air.
"Saya lihat program ini mampu memanjangkan hayat kerjaya saya jika saya lakukan dengan baik. Jika orang yang sudah terlupa dengan saya, mungkin bila mereka tengok saya dalam Maharaja Lawak, mereka akan minat dengan lawak saya semula.
"Selain itu, ia juga sebagai penanda aras buat saya supaya tampil dengan lawak-lawak yang lebih segar kerana tujuan utamanya adalah membuat penonton ketawa dan terhibur dengan lawak saya. Menang atau kalah, saya tolak tepi," tuturnya.
Populariti mendadak Jambu
Kumpulan Jambu disertai oleh juara Raja Lawak musim pertama, iaitu Yusry Edoo (Yus), 35, dan Zamaratul Amri Zakaria (Taukeh) 35, pemenang tempat keempat.
Sepanjang program Maharaja Lawak, kedua-dua mereka cukup sinonim dengan pakaian berwarna merah jambu. Kata mereka, warna merah jambu sengaja dipilih untuk imej dalam program Maharaja Lawak.
"Di atas pentas sahaja kami pakai baju warna merah jambu dan berkelip-kelip, di luar kami macam biasa," kata Taukeh.
Melangkah kaki ke pentas Maharaja Lawak, Taukeh dan Yus sedar yang kumpulan Jambu bukanlah kumpulan kegemaran penonton pada peringkat awal.
Mereka juga sedar, persaingan cukup sengit tambahan terpaksa bersaing dengan pelawak popular seperti Nabil, Jozan dan kumpulan Sepah.
"Kami masuk dalam program ini kerana selain menghiburkan penonton tidak secara langsung ia juga dapat menonjolkan diri kami yang sebelum ini mungkin orang tidak kenal.
"Dapat bersaing dengan mereka yang sudah ada nama, satu penghormatan buat kami. Walaupun kami bermula sebagai bukan pilihan ramai, kami sentiasa positif dan menghormati pentas Maharaja Lawak," jawab Taukeh.
Tambahnya lagi, walaupun wang kemenangan yang ditawarkan cukup lumayan iaitu RM300,000 jika bergelar juara, bukan itu yang dikejar oleh Jambu. Bagi mereka, gelak tawa penonton yang mengiringi persembahan mereka merupakan hadiah terbesar.
"Apabila penonton terhibur dengan persembahan kami, itu sudah cukup untuk membuatkan kami gembira. Tetapi kalau menang, Alhamdulillah, itu satu bonus," tutur Taukeh lagi.
Yus yang duduk di sebelahnya mencelah, semua peserta yang terlibat dalam program Maharaja Lawak merupakan juara kerana mereka semua bekerja keras untuk memberi yang terbaik buat penonton.
"Bukan senang apa yang kami buat di atas pentas, jika dulu dalam program Raja Lawak, kami di beri tunjuk ajar tetapi dalam Maharaja Lawak semuanya harus dibikin sendiri.
"Bermula daripada idea dan persembahan, semuanya harus dilakukan sendiri, memang agak sukar, tetapi itulah cabaran yang harus dilalui dan ia juga menguji tahap lawak kami. Kalau orang gelak maknanya kami berjaya," kata Yus.
Menariknya, sejak muncul dalam Maharaja Lawak, kumpulan Jambu sudah mempunyai kelab peminatnya sendiri.
"Kami agak terkejut pada mulanya apabila diberitahu yang kami sudah ada kelab peminat sendiri dan orang yang menguruskan kelab peminat itu meminta izin daripada kami.
"Dalam hati tertanya-tanya popularkah kami? Tetapi apa salahnya untuk ada kelab peminat sebab yang mewujudkan kelab itu merupakan peminat kumpulan Jambu. Kewujudan kami sampai hari ini pun kerana mereka dan orang ramai yang terhibur dengan persembahan kami," luah Taukeh sambil dipersetujui oleh Yus.
sumber : kosmo.com.my

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
  • RSS
  • Delicious
  • Digg
  • Facebook
  • Twitter
  • Linkedin

Search Site