Followers

May 16, 2011

Noh Garang Bertempat

Posted by MohdHaz on 12:19 PM

ORANG sering kali menganggap vokalis kumpulan Hujan, Noh Salleh merupakan seorang yang berlagak, degil dan gemar cakap lepas tanpa memikirkan perasaan orang yang berada di sekelilingnya.
Benar, sikapnya lebih senang berterus terang. Namun, karakter Noh bukanlah seperti yang disangka.
Tanyalah sesiapa sahaja yang rapat dengannya atau pengikut Hujan, Raingers, pasti mereka akan berkata Noh seorang yang ‘gila-gila’ dan sering menceriakan suasana.
Faham dengan keadaan dan pendapat umum yang tidak semestinya berpihak pada diri, tunang kepada penyanyi Mizz Nina itu menerima segala kritikan dengan hati terbuka.
“Setiap orang mempunyai pendapat masing-masing. Tapi selalunya orang yang tidak kenal saya akan berfikiran negatif tentang diri saya.
“Lagipun saya tidak boleh nak puaskan hati semua orang. Bagaimanapun, saya tetap menerima pendapat orang untuk memperbaiki diri agar menjadi lebih baik berbanding sebelumnya,” tuturnya memulakan bicara.
Sepanjang sesi fotografi diadakan di kedai pakaian Morning Rocket, Kuala Lumpur tidak susah sebenarnya untuk berkomunikasi dengan penyanyi ini.
Bercerita lanjut mengenai karakter diri Noh, dia mengakui ada masanya dia akan menjadi seorang yang garang apabila melakukan sesuatu yang berkaitan dengan kerja.
“Ya, saya garang bertempat. Saya hanyalah insan biasa yang ingin berkarya dan akan melakukan sesuatu perkara jika ia dirasakan betul,” tegasnya.
Nina, penyejuk hati
Sejak mengenali Nina atau nama sebenarnya, Syazrina Azman pada awal tahun lalu, Noh akui, tunangnya itu telah banyak mengubah dirinya daripada pelbagai segi.
Rasa bertuah memiliki penyanyi yang popular dengan lagu “What Are You Waiting For” itu, Noh amat berharap agar perancangan untuk menikahi Nina pada 1 Julai depan dapat dilaksanakan dengan baik.
“Jujurnya, Nina merupakan penyejuk hati saya. Dia telah mengurangkan panas baran, bahasa percakapan, tingkah laku serta menjaga kesihatan saya.
“Kalau nak diikutkan, macam-macam lagi perkara yang telah dia buat dan saya bersyukur kerana mengenali dan bakal memilikinya,” tutur Noh.
Tidak sampai dua bulan lagi, majlis pernikahan Noh dan Nina bakal berlangsung, Noh sudah tidak sabar untuk menanti hari bahagia tersebut.
Malah katanya, dia juga tidak sabar merasai gelaran dan tanggungjawab sebagai seorang suami.
“Sebagai seorang lelaki, saya sentiasa mencari jalan untuk memantapkan diri dari segi persediaan saya untuk menghadapi gelaran sebagai seorang suami.
“Kawan-kawan dan orang di sekeliling pun sudah banyak menasihati. Alhamdulillah, saya bersyukur juga kerana ramai yang menyokong dan sentiasa berada di sisi.
“Kerana mereka jugalah membuatkan saya berasa mudah untuk menghadapi hari perkahwinan serta penjagaan rumah tangga nanti,” ujarnya.
Hujan semakin ‘mengganas’
Tanyalah mana-mana penyanyi, mereka tidak mungkin pernah terfikir mampu memperoleh pelbagai kejayaan dengan sokongan peminat yang tidak berbelah bahagi.
Begitu juga dengan Noh serta ahli kumpulannya yang lain, populariti dan kejayaan merupakan perkara terakhir yang akan difikirkan.
Bagi anak kelahiran Sarawak ini, Hujan hanya ingin menghasilkan muzik yang terbaik untuk diperdengarkan kepada sesiapa sahaja yang sudi ingin mendengarnya.
“Kalau nak tahu, untuk memiliki sebuah “band” bernama Hujan pun kami tidak pernah terfikir. Apatah lagi mahu menjadi popular dan berjaya dalam industri muzik tempatan. Semua ini berjalan dengan sendirinya.
Tambah Noh, perjalanan muzik Hujan sepanjang lima tahun ini mencerminkan cara pergerakan mereka di mana mereka terpaksa melalui turun naik pergerakan industri muzik dan pada masa yang sama mempelajari kesilapan yang telah dilakukan.
Ditanya pula apakah kepuasan maksimum mereka saat membuat persembahan di khalayak umum, kata Noh dia seronok dan terhibur apabila melihat wajah-wajah penonton menyanyi bersama-sama dengannya.
Sementara itu, sengaja bertanya andai kata Noh bukan seorang pemuzik apakah pekerjaan yang mungkin akan dilakukan, seloroh Noh dia mungkin bekerja di restoran makanan segera, KFC.
“Senang untuk saya makan ayam.. Hahahahaha. Bukanlah macam tu... Mungkin saya menjadi seorang tukang masak kerana ingin mengikut jejak seperti emak saya yang memang cekap bila bab memasak.” katanya.
Apa kata Noh?
- Garang
Garang adalah perkataan yang berbeza dari ladang.
- RempitKalau memandu di malam Sabtu, mesti nampak ramai kelibat mat rempit “berracing” dekat Duke Highway.
- GitarSaya terbeli gitar di Perancis.
- Bila sedihBila sedih bukan tajuk lagu ‘Bila Aku Sudah Tiada’.
- PolitikSaya bosan bila nak selak surat khabar banyak berita tentang politik yang melampau-lampau dan tak logik.
- Kanak-kanakPerangai saya dan ahli kumpulan Hujan yang lain kadang- kadang macam perangai kanak-kanak.
- Irama Malaysia
Saya suka lagu Nirmala, nyanyian Datuk Siti Nurhaliza.
- HobiSaya obses dengan animasi Jepun.
sumber : mstar.com.my

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
  • RSS
  • Delicious
  • Digg
  • Facebook
  • Twitter
  • Linkedin

Search Site