Followers

May 2, 2011

Lemas dalam kereta

Posted by MohdHaz on 12:58 PM

MAUT...anggota polis memeriksa mayat Menan selepas ditarik keluar  penduduk kampung.
TELUK INTAN: “Ketika cuba menyelamatkan mereka, saya melihat pemandu dan kanak-kanak dalam kereta itu kelemasan dan bergelut untuk keluar,” kata Mohd Izzaidi Mohd Rosli, 23, saksi kemalangan yang meragut nyawa dua bersaudara, semalam.
Kejadian berlaku kira-kira jam 4.20 petang apabila kenderaan pacuan empat roda dipandu V Menan Raj, 21, terbabas sebelum terhumban ke dalam sebuah parit di Lorong Tokong Siam, Kampung Selabak, Jalan Padang Tembak, dekat sini.

Kejadian ketika hujan lebat itu menyebabkan Menan Raj mati di tempat kejadian akibat lemas selepas terperangkap dalam kenderaan itu, manakala anak saudaranya R Thivaran, 7, menghembuskan nafas terakhir ketika dikejarkan ke Hospital Teluk Intan (HTI).


Dua lagi penumpang yang juga adik beradik Thivaran, R Rajeletchumi, 9, dan R Vimal, 2, dilaporkan kritikal dan menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) HTI manakala abang mereka, R Mugilan, 13, dalam keadaan stabil di hospital sama.

Mohd Izzaidi berkata, sebelum kejadian dia terdengar bunyi geseran tayar sebelum dentuman kuat seperti objek tercampak ke dalam air.


“Saya bersama beberapa ahli keluarga bergegas ke tempat kejadian dan seperti tidak percaya melihat sebuah kenderaan tenggelam dalam parit sedalam kira-kira 2.5 meter itu.



“Sebaik menghampiri kenderaan itu, saya melihat terdapat beberapa mangsa terperangkap di dalamnya bergelut untuk keluar,” katanya yang ditemui di tempat kejadian.

Mohd Izaidi bersama beberapa ahli keluarga dan penduduk kampung kemudian terjun ke dalam parit dan berjaya menarik Mugilan keluar dan segera memberikan pertolongan cemas kepadanya.




Menurutnya, mereka kemudian berhempas-pulas membuka pintu kenderaan itu sebelum berjaya mengeluarkan semua mangsa.

“Dalam keadaan kelam-kabut sebelum berjaya mengeluarkan semua mangsa, saya sempat melihat seorang daripada mangsa (Menan Raj) sudah tidak bergerak kerana tersepit di tempat duduk, manakala tiga lagi seperti dalam keadaan nyawa-nyawa ikan.


“Saya sedih kerana seorang daripadanya disahkan mati di tempat kejadian, manakala seorang lagi ketika dikejarkan ke hospital. Saya berdoa dua lagi mangsa yang dilaporkan kritikal supaya selamat,” katanya.


Sementara itu, bapa kepada keempat-empat penumpang yang juga abang kepada Menan Raj, gagal ditemu bual kerana terlalu sedih atas kejadian malang itu.


Seorang daripada ahli keluarga mangsa yang enggan identitinya disiarkan berkata, semua mangsa dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Taman Jaya, dekat sini, selepas menjemput Mugilan yang menghadiri kem di sebuah sekolah rendah berdekatan tempat kejadian.


Sementara itu Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan berkata, siasatan sedang dilakukan untuk mengenal pasti punca kemalangan.



sumber : hmetro.com.my

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
  • RSS
  • Delicious
  • Digg
  • Facebook
  • Twitter
  • Linkedin

Search Site