Followers

May 25, 2011

Kuasa Bieber, pengaruh Beyonce

Posted by MohdHaz on 12:31 PM


JUSTIN BIEBER


JUSTIN BIEBER baru berusia 17 tahun. Dia juga bukan sesiapa sekitar lebih setahun lalu. Namun hari ini, Bieber adalah satu fenomena luar biasa yang telah tercetus dalam aliran muzik masa kini.
Popular kerana wajah 'comel'nya, itu bukan satu-satunya tiket yang dipegang Bieber. Di sebalik kurniaan fizikal tersebut, pelantun lagu Baby itu turut diiktiraf menerusi bakat yang ada pada dirinya.
Sebagai bukti dia bukan pendatang baru picisan, Bieber menerusi Billboard Music Awards yang berlangsung Isnin lalu telah menggondol tujuh anugerah termasuk Artis Digital Terbaik Sepanjang Tahun, Artis Baru Terbaik dan Album Pop Terbaik.
Ia adalah pencapaian yang begitu besar buat Bieber, sementelah dia juga berjaya mengenepikan pencabar terdekatnya, Bruno Mars untuk menang besar pada majlis tersebut.
"Saya baru berusia 17 tahun. Setiap hari saya merasakan saya telah melalui hari yang gila kerana telah bertemu banyak orang dan membuat orang tersenyum," katanya memberi respons terhadap kemenangan tersebut.
Di sebalik kemenangan tersebut, ada kejutan yang lebih besar diberi oleh Bieber kepada umum.
Adegan kekasih hatinya, Selena Gomez mencium Bieber secara terbuka di majlis tersebut menjadi satu 'percikan bunga api' terhadap penyanyi pujaan ramai itu. Ia umpama satu tanda aras atau amaran oleh Gomez secara tidak langsung kepada sesiapa yang mempunyai cita-cita untuk merapati penyanyi paling hangat itu buat masa ini.
Penyanyi yang berasal dari Kanada itu bagaimanapun tidak memberi sebarang respons saat ditanya tentang ciuman tersebut, namun mengakui Gomez adalah seorang wanita luar biasa.
Malah dalam ucapan kemenangannya, dia juga tidak menyebut nama Gomez, tetapi memilih berterima kasih buat ibunya.
Berkongsi kemenangan besar bersamanya adalah Eminem yang dipilih sebagai Artis Terbaik Sepanjang Tahun, mengambil alih kemenangan daripada bekas kekasih Rihanna, Chris Brown yang tidak hadir pada malam tersebut.
Rapper terkenal berusia 38 tahun yang tidak hadir ke majlis berprestij tersebut turut menggondol anugerah Artis Lelaki Terbaik Sepanjang Tahun, Album Rap Terbaik (Recovery) serta tiga anugerah lain.
Selain Eminem, penyanyi Taylor Swift turut menang besar dengan menggondol tiga anugerah tertinggi termasuk Album Country Terbaik, Speak Now.
Album Speak Now yang memasuki pasaran pada bulan November tahun lalu telah menjadi album paling laris dijual dalam masa lima tahun di Amerika Syarikat apabila ia terjual sebanyak lebih satu juta unit hanya dalam tempoh satu minggu!
Rihanna yang tampil membuat persembahan kontroversi bersama Britney Spears melalui adegan cium saat berkolaborasi untuk lagu S&M juga tidak pulang dengan tangan kosong.
Dia membawa pulang tiga anugerah termasuk Artis Wanita Terbaik Sepanjang Tahun.
Beyonce pula mencatat kemenangan peribadi selepas dipilih sebagai penerima anugerah khusus iaitu Anugerah Artis Millennium.
Dia yang pertama kali menyanyikan single terbaharunya, (Run The World) Girls, pada majlis tersebut dipilih berdasarkan transisi kerjayanya sejak pertama kali meninggalkan grup Destiny's Child pada tahun 2003 dengan jualan album mencecah 11 juta unit selain 25 juta single dalam tempoh kurang 10 tahun.
Malah dia juga telah menjadi 'pecahan' paling sukses apabila keluar daripada sebuah grup untuk menjadi penyanyi solo.
"Crazy in Love adalah sebuah lagu yang luar biasa. Apabila dia bergabung dengan Jay-Z, itu adalah satu magis dunia hiburan.
"Dia adalah penyanyi terbaik yang boleh mencapai semua notasi sama seperti dalam album sewaktu menyanyi di dalam album. Itu adalah hal yang menakjubkan," puji Ryan Tedder dari grup OneRepublic yang bersetuju dengan pemberian anugerah tersebut kepada Beyonce.
Turut berkongsi kemanisan anugerah tersebut adalah Katy Perry yang memenangi anugerah Lagu Digital Popular dan 100 Artis Popular. Begitu juga dengan Lady Gaga yang dipilih sebagai Artis Pop Popular.
Will. i. Am yang mewakili grup Black Eyed Peas sewaktu mengambil trofi kemenangan Duo/Grup Terbaik telah memberi satu kesimpulan yang begitu signifikan dengan anugerah yang menghargai karyawan Hollywood berdasarkan penjualan album secara digital, konsert jelajah, kedudukan dalam carta dan populariti sama ada di media cetak atau alam maya.
"Kita semua patut berterima kasih kepada teknologi kerana tanpa teknologi masa kini, kita tidak akan berada dalam industri ini," katanya.
sumber : kosmo.com.my

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
  • RSS
  • Delicious
  • Digg
  • Facebook
  • Twitter
  • Linkedin

Search Site