Followers

May 1, 2011

Imam Muda 2: Tiada Penyingkiran di Minggu Pertama

Posted by MohdHaz on 1:39 AM

Tiga peserta Imam Muda 2 yang berada pada kedudukan terbawah pada minggu pertama iaitu (dari kiri) Mujahid, Fadli dan Ali. - Foto ROHAIZAT MD DARUS
KUALA LUMPUR: Minggu pertama program Imam Muda musim kedua (IM2) yang bersiaran pada pukul 10 malam Jumaat di Astro Oasis (saluran 106) menyaksikan tiada penyingkiran berlaku.
Walaupun tiga peserta IM2 iaitu Mujahid, Ali dan Fadli berada pada kedudukan terbawah selepas pengumuman dilakukan, mereka terselamat demi memberikan peluang untuk terus berusaha pada minggu seterusnya.
Menceritakan tentang kedudukan rapuh mereka pada minggu pertama, Mujahid Suhaimi (Mujahid), 20, berkata: "Jadual kami sangat padat dan saya hanya tidur sekitar 3 jam sehari kerana banyak perkara yang perlu kami pelajari.
"Saya rasa faktor utama yang menyebabkan saya berada pada kedudukan terbawah minggu ini adalah kerana markah ujian teori yang rendah. Bagaimanapun, saya bersyukur kerana masih berpeluang untuk belajar lagi."
Seorang lagi peserta Ali Khairudin Haji Abdul Marif (Ali), 26, pula berpendapat: "Punca utama saya berada pada kedudukan terbawah adalah disebabkan oleh masalah kesihatan dan tidak fokus pada pelajaran.
"Sejak mula-mula masuk IM, saya memang demam dan tidak begitu fokus pada tugasan dan kelas. Peluang kedua ini akan saya gunakan untuk memperbaiki kelemahan."
Sementara itu, peserta ketiga yang berada pada kedudukan terbawah iaitu Zulfadli Haji Awang (Fadli), 24, juga mengakui sikap kurang fokus dan tidak bersungguh-sungguh menjadi faktor kepada kedudukannya minggu ini.
"Saya perlu lebih serius dan fokus pada minggu akan datang. Saya bersyukur kerana masih diberikan peluang untuk terus berada dalam program ini," katanya yang berasal dari Brunei Darussalam.
Pengurus Saluran Astro Oasis, Haji Izelan Basar
Mengupas tentang persembahan peserta pada minggu pertama, Pengurus Saluran Astro Oasis, Haji Izelan Basar berkata, secara keselurahannya para peserta telah melakukan tugasan dengan baik untuk minggu pengenalan ini.
"Masih banyak aspek yang perlu mereka perbaiki dan terus pelajari. Apa juga teguran yang diberikan oleh mudir dan mursyid perlu mereka ambil perhatian dan amalkan.
"Bagaimanapun, saya berpuas hati dengan kesungguhan mereka untuk tugasan minggu pertama iaitu mendekati wanita-wanita yang hamil tanpa perkahwinan di Kem Modal Insan (Kewaja).
"Apa yang paling penting, kita ingin lahirkan pemimpin masyarakat yang serba boleh dan mudah untuk didekati. Jadi, mereka perlu belajar dan berusaha untuk mencapai perkara itu di minggu-minggu seterusnya," katanya.
Tugasan minggu pertama IM2 yang sepatutnya berkisar pada topik kelahiran ditukarkan pada saat-saat akhir apabila pasukan IM2 dimaklumkan oleh pihak berkuasa tentang kes pembuangan bayi, minggu lalu.
Susulan itu, 10 peserta telah diarahkan untuk mendekati wanita-wanita muda yang hamil tanpa perkahwinan di Kem Modal Insan (Kewaja) di Taman Seri Gombak, Selangor.
Para peserta dipimpin oleh Datuk Hassan Mahmood Al-Hafiz selaku mudir atau pengetua dengan dibantu empat orang mursyid atau guru iaitu Ikmal Zaidi Hashim, Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim, Tuan Asmawi Tuan Umar dan Zulkefli Hamat.
IM2 masih mengekalkan pengacara musim pertama iaitu Haji Dzulkarnain Daud.
Kapsul IM2 bersiaran setiap Isnin hingga Khamis, pukul 7.55 malam, Mimbar IM2 (Jumaat, 6.30 petang) dan Medan IM2 (Jumaat, 9 malam) di Astro Oasis (saluran 106).
sumber : mstar.com.my

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
  • RSS
  • Delicious
  • Digg
  • Facebook
  • Twitter
  • Linkedin

Search Site