Followers

May 1, 2011

Gadis Karak

Posted by MohdHaz on 3:47 PM

pix_gal0
Penangan Kila

KREDIBILITI lakonan mereka di layar perak menerusi filem Karak terbitan KRU Studios arahan Yusry Abdul Halim yang akan memasuki pawagam bermula 26 Mei ini bakal teruji. Namun pesona mereka sehingga kini sudah mampu membuatkan si pemuja terpana. 

Dua bakat baru dalam lakonan, Kilafairy, 19, dan Shera Aiyob, 25, ternyata cukup bertuah. Nama mereka kini mula menjadi perhatian dan tarikan sejak berlakon dalam beberapa drama dan menjadi model sambilan.
Masih baru, kedua-dua bintang pertaruhan KRU ini boleh dianggap sebagai sandaran kepada heroin pelapis di negara kita. Kilafairy yang sebelum ini dipertikai mengenai bakatnya, tiba-tiba kini mula hangat menjadi sebutan apatah lagi kemunculannya sering dikaitkan dengan imej seksi dan memiliki bentuk tubuh menggiurkan. Dengan memiliki bibir seksi dan dikatakan iras Angelina Jolie, anak kesayangan penyanyi 1980-an, Rohana Jalil ini pantas mencipta populariti.
Jadi tidak hairan, sudah ada ramai pereka fesyen yang mahu melihat dirinya menyarung persalinan masing-masing. Salah seorangnya, Hatta Dolmat yang menaja persalinan fotografi kedua-dua pelakon itu kali ini. Dengan pengalaman memperaga yang dimiliki Kilafairy, dia cukup hebat di depan kamera. 

Kilafairy mewakili gaya fierce dan edgy yang pernah dilaungkan supermodel terkemuka, Tyra Banks dalam program popularnya, America’s Next Top Model. Shera Aiyob yang memiliki wajah manis tidak kurang hebatnya beraksi memberi gaya yang diingini B*POP untuk sesi fotografi ini. 

Bagi Kilafairy yang mesra disapa Kila, dia masih boleh berdepan perhatian masyarakat yang mula diraihnya kebelakangan ini. Katanya, ia masih pada peringkat biasa dan tidak terlalu ekstrim hingga menyesakkan dirinya. Lagipun, Kila sudah terbiasa dengan situasi itu menerusi pengalaman yang dilalui ibunya. 

“Saya mula menyanyi dulu pada usia lapan tahun. Setahun selepas itu, saya ada berjinak-jinak dalam dunia lakonan. Ada jugalah berlakon drama untuk program kanak-kanak di TV3 seperti Ikan Kekek dan Can Mali Can. Umur 15 tahun saya ada mencuba nasib dalam dunia peragaan. 
“Saya pernah ikut mama membuat persembahan nyanyian. Tetapi selalunya persembahan tertutup dan saya lebih cenderung menyanyikan lagu berirama Hindustan. Sesekali itu, saya selit juga lagu berbahasa Melayu. Pada masa sama, saya juga perlu mengutamakan pelajaran,” katanya yang kini menuntut di sebuah kolej di Ampang dalam bidang pemasaran dan pengurusan fesyen. 

Bagi Kilafairy, sekalipun lambat dikenali, dia tidak menganggap itu sebagai satu kekesalan terbesar. Sebaliknya, usia 19 tahun dianggap sebagai masa terbaik untuk dirinya berkongsi bakat yang ada. 

Selepas diberi peluang membintangi drama Hotel Mania yang pernah disiarkan di TV3, anak bongsu daripada tiga beradik itu mengikat kontrak selama setahun bersama KRU Studios. Selain berlakon, bakat nyanyiannya juga akan diketengahkan syarikat yang diterajui tiga beradik KRU itu. 

“Saya mahu serius dalam bidang seni dan tidak mahu mempersiakan peluang yang sudah diberikan. Bagi saya berlakon itu dapat melegakan tekanan. Tak sangka daripada menemani Jaafar Onn ke set penggambaran drama Hotel Mania, saya disunting pengarahnya, Nizam Zakaria untuk berlakon sekali. 

“Sekarang, saya dalam peringkat perbincangan pula untuk merakam lagu dengan Edry Abdul Halim. Semuanya bermula selepas saya dipanggil merakam kembali lagu Jangan Lafazkan untuk siri drama terbabit. Saya dipanggil ke pejabat KRU pada Jun tahun lalu,” kata adik kepada Rosela dan Shakira itu. 

Ditanya mengenai pengalaman berlakon filem seram Karak, Kila menjelaskan, dia memegang watak gadis bernama Ida. Selain Kila dan Shera, filem itu turut menampilkan juara Akademi Fantasia musim kelapan, Shahir. 

“Karak ialah filem sulung lakonan saya. Sekalipun memenatkan, sejujurnya saya seronok berlakon dalam filem ini. Pernah penggambaran habis sampai jam 8 pagi, saya terpaksa bergegas untuk ke kelas jam 9.30 pagi. Pihak KRU Studios pun banyak bertanyakan saya mengenai jadual seni supaya tidak bercanggah dengan jadual pelajaran,” katanya yang perlu menghadiri kuliah sebanyak tiga kali dalam seminggu. 

Mengenai cinta, Kila mengakui belum pernah bercinta. Alasannya mungkin kelihatan ‘propa’ tetapi itulah yang diakuinya. Sebelum ini pun pernah bertebaran gosip mengaitkan dirinya dengan Yusry. Tapi jelasnya, hubungan mereka tidak lebih daripada sekadar hubungan profesionalisme antara pelakon dengan pengarah. 

“Soal saya tidak bercinta tiada kaitan dengan halangan ibu bapa. Tapi saya mempunyai pendirian jika nak serius bercinta, biarlah saya betul-betul bersedia dan jumpa seseorang yang benar-benar mencintai saya. Tetapi selalunya, sepupu saya akan menyindir, macam mana nak jumpa yang betul-betul jika tidak bercinta,” katanya. 

Shera mahu kahwini Zahiril tahun ini 

BAGI Shera Aiyob pula, hari ini (1 Mei) menjadi detik bersejarah buat dirinya apabila sah bergelar tunangan kepada Pelakon Lelaki Harapan Terbaik, Festival Filem Malaysia ke-22, Zahiril Adzim, Mereka bertunang pada sebelah pagi di kediaman keluarga Shera di Ipoh, Perak. 

Sebelum dikaitkan dengan Zahiril, pengacara Wanita Hari Ini TV3 ini pernah dikaitkan dengan pelakon Kamal Adli. Jelas, jodohnya masih kuat dengan lelaki yang bergelar anak seni sepertinya juga. 

“Alhamdulillah, dalam penuh debaran, saya juga mengharapkan ikatan pertunangan ini akan diberkati dan direstui. Setakat ini, kami tidak menetapkan tempoh berapa lama untuk bertunang. Tetapi kalau boleh, kami mahu mempercepatkan benda yang baik. Insya-Allah, kalau ada rezeki, seperti diharapkan Zahiril, saya juga mahu berkahwin tahun ini. Harapnya, apa dirancang akan termaktub seperti diingini. Saya pun tidak sangka jodoh kuat dengan Zahiril yang sama aliran,” kata graduan Institut Media Integratif Malaysia (MIIM). 

Shera akui, dia sangat selesa bertemankan jejaka berkarakter itu. Awal tahun lalu, mereka juga berlakon dalam filem Sesuatu Yang Tertinggal. Mereka jadi lebih rapat sejak hujung tahun lalu, selain sudah lama mengenali keluarga masing-masing. 

“Selepas berlakon filem Sesuatu Yang Tertinggal, kami selalu melepak dengan kawan-kawan yang lain. Dari situ kami jadi akrab. Walaupun Zahiril nampak mukanya macam ganas dan garang, tapi dia sebenarnya seorang yang berfikiran jauh. Kami satu pemikiran dan setiap pandangan boleh diterima akal. 

“dia seorang yang sangat serius dalam kehidupan. Kami berkongsi banyak perkara. Paling penting, kami memang kaki makan. Kami suka makan sushi dan nasi ayam. Yang paling penting, saya selesa bersamanya. Dia juga bertanggungjawab, mengambil berat dan saya nampak kesungguhannya untuk memiliki saya,” katanya yang terlebih dulu bekerja di sebuah syarikat korporat sebelum ditawarkan peluang bekerja bersama kru My TV3. 

Dalam kerjaya, sejak 2009 hingga sekarang, Sheira masih kekal mengacarakan Wanita Hari Ini. Sebelum itu, dia menyertai uji bakat mencari kru belakang tabir My TV3 dan beberapa bulan kemudian dia diberi peluang mengacarakan kapsul My TV3. 

“Sejak zaman Shera belajar lagi, tawaran berlakon itu datang. Tapi masa itu, Shera tak memandang serius kerana lebih mahu menumpukan cita-cita untuk bergelar pengacara. Pada masa sama, Shera berjinak-jinak dalam dunia peragaan. Dunia lakonan ini Shera lakukan atas dasar mencuba. Shera pun tak rasa ada bakat dalam lakonan. Jadi Shera terima tawaran berlakon filem Sesuatu Yang Tertinggal dan diikuti Karak. Sekarang, ada tawaran berlakon yang Shera terpaksa tolak disebabkan faktor masa. 

“Penggambaran drama atau filem memakan masa panjang. Pengacaraan lebih menjadi keutamaan Shera. Tapi dengan usia Shera yang masih muda, Shera rasa tak salah mencuba pelbagai bidang lain. Ada peluang dan masa yang bersesuaian Shera nak berlakon lagi,” kata pembawa watak utama filem Karak itu. 

Dalam filem itu, Shera memegang watak Zura. Akuinya, watak itu terlalu berat buatnya, namun dia mencabar diri untuk menggapai peluang keemasan berlakon di bawah terbitan KRU Studios. 

Karak mengisahkan persahabatan empat sekawan dan dia digandingkan dengan Shahir. 

“Pada mulanya Shera ingatkan Shahir seorang yang pemalu. Timbul kebimbangan juga bagaimana nak mewujudkan keserasian kalau dia pemalu. Tapi bila melakukan latihan bersama, baru Shera tahu dia seorang yang kuat menyakat. Jadi secara langsung, jurang antara kami semakin rapat,” katanya. 


sumber : bharian.com.my

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
  • RSS
  • Delicious
  • Digg
  • Facebook
  • Twitter
  • Linkedin

Search Site