Followers

May 2, 2011

Cinta Facebook - Zed Zaidi & Natalia

Posted by MohdHaz on 1:05 PM






SALAM perkenalan sebagai seorang rakan yang bermula daripada laman sosial Facebook telah berubah menjadi bibit-bibit cinta antara pelakon Zed Zaidi dan Natalia hingga membawa mereka ke jinjang pelamin.
Zed Zaidi atau nama sebenarnya Rozaidi Abdul Jamil kelihatan berseri-seri pada majlis pernikahannya dengan Natalia Halimatun Mustafa Kamal yang berlangsung di Restoran Felda Villa, Kuala Lumpur pada 29 April lalu.
Zed selamat diijabkabulkan oleh bapa pengantin perempuan, Mustafa Kamal Datuk Seri Hussein dengan sekali lafaz.
Bicara Zed, hatinya terbuka untuk melamar Natalia yang lebih mesra disapa Nelly setelah pulang daripada mengerjakan umrah pada tahun 2009.
"Kami berkenalan di Facebook sejak tiga tahun lalu. Pada asalnya, kami merupakan rakan biasa sahaja sehinggalah selepas saya pulang menunaikan umrah.
"Perasaan itu datang dengan sendiri. Sememangnya dia wanita yang paling rapat dengan saya ketika itu dan tidak sangka rakan baik saya merupakan jodoh saya.
Tambah Zed, Nelly ialah seorang wanita yang sentiasa memahami dirinya dan selalu ada bersamanya sewaktu susah dan senang. Dia sanggup menjadi pendengar setia ketika dirinya dilanda masalah.
Suami
Dalam majlis yang hanya dihadiri oleh ahli keluarga terdekat, Zed dan Nelly anggun menyarung busana serba putih rekaan Anizam Yusof. Hiasan pelamin dan hantaran pula dibuat khas oleh Dahlis Bridal dari Kota Bharu, Kelantan.


ZED ZAIDI dan isterinya, Natalia atau Nelly merancang mempunyai sepasang cahaya mata.




Walaupun berlangsung secara sederhana, majlis itu tetap meriah. Keceriaan juga jelas terpampang pada wajah Zed. Dia kelihatan tersenyum hingga ke akhir majlis.
Pada hari tersebut, Nelly menerima mas kahwin sebanyak RM300 berserta wang hantaran berjumlah RM20,000.
Dia juga menerima sebentuk cincin dan tujuh dulang hantaran yang terdiri daripada beg tangan Christian Dior, wangian Jeanne Lanvin, set barangan solek Chanel, sepasang kaca mata Prada, seutas jam tangan Guess, semangkuk manisan dan sirih junjung.
Berbalas sembilan dulang daripada pihak perempuan ialah senaskhah al-Quran, sebuah pemain MP5, seutas jam tangan French Connection, kamera DSLR Canon, sepasang cermin mata Porche Design, sebuah laptop Toshiba, wangian Davidoff Champion, sirih junjung serta manisan.
Adakah Nelly sudah bersedia menjadi isteri kepada seorang artis atau selebriti? Ini merupakan soalan wajib yang sering ditanya jika salah satu pasangan merupakan seseorang yang dikenali masyarakat.
Bagi Nelly, 28, yang juga seorang ahli perniagaan, dia sudah lama bersedia dengan kemungkinan itu.
"Saya telah bersedia sejak dari mula perkenalan kami.


BERJAYA! Mungkin itu yang diungkapkan Zed selepas akad nikah.




"Sebenarnya, saya tidak mahu ambil peduli sangat mengenai kontroversi mahupun gosip yang dikaitkan dengan Zed.
"Saya beri kebebasan kepadanya dan memahami kariernya sebagai artis," tutur anak sulung daripada dua beradik ini.
Mengenai kriteria yang ada pada diri Zed hingga dia tertarik dengan lelaki itu, bicara Nelly, Zed ialah seorang lelaki yang bijak yang matang dari segala aspek termasuk pertuturan, perwatakan dan pemikiran. Kata Nelly lagi, Zed ada visi yang jelas dalam hidup.
"Apa yang ada pada diri Zed menepati kriteria lelaki yang saya idamkan selama ini. Tambahan pula, dia seorang lelaki romantik. Saya amat menyukainya," jelasnya.
Kala diajukan soalan adakah dia ada menetapkan syarat atau batasan yang perlu diikuti sang suami, Nelly berkata perkara itu tidak perlu.
Ini kerana sebagai suami, Zed sudah sedia maklum dengan status dan tanggungjawab barunya itu. Menurut Nelly, suami yang bertanggungjawab tidak akan membuat perkara yang boleh mengguris hati surinya.
"Apabila sudah menjadi suami, kita sendiri tahu batasan kita dalam pergaulan. Kita juga tahu untuk menjauhi perkara yang akan membuatkan hati isteri terguris.
"Kami juga sudah tahu tanggungjawab kami sebagai suami isteri. Itu adalah perkara asas dalam rumah tangga," ujar Zed yang meluahkan kata-kata romantis sambil mencium pipi isterinya.
Kebiasaannya populariti seseorang artis dikatakan jatuh apabila mereka telah berkahwin.
Namun, menurut Zed, walaupun perkara itu akan terus diperkatakan, baginya bukan bujang atau telah berkahwin yang akan menentukan populariti seseorang.
"Ia mengenai tawaran berlakon yang sentiasa ada bagi seorang insan seni. Tidak kiralah sudah kahwin atau belum, itu bergantung pada rezeki masing-masing.
"Mungkin selepas berkahwin, mana tahu rezeki saya bertambah. Jika tiada masalah atau kontroversi nescaya karier akan berterusan," tuturnya yang kini giat mempromosikan drama Fatimah Juling.


DUA keluarga kini bersatu menjadi sebuah keluarga yang besar ekoran perkahwinan Zed dan Nelly.




Anak
"Saya tidak merancang keluarga kerana jika sudah tiba masanya menimang cahaya mata, kami terima," itulah kata-kata yang keluar daripada mulut Zed apabila berbicara mengenai kehadiran orang baru dalam hidup mereka kelak.
Zed dan Nelly hanya berserah kepada Tuhan. Namun, jika boleh, tutur Zed, dia mahukan sepasang anak lelaki dan perempuan.
"Namun, semuanya perlu tunggu sehingga 7 Mei iaitu tarikh resepsi saya berlangsung.
"Selepas itu barulah kami akan fikirkan mengenai perancangan keluarga pula," jelas Zed yang akan mengadakan resepsi di Dewan Perdana Felda, Kuala Lumpur.
Namun, sesi berbulan madu terpaksa ditangguhkan kerana Zed mempunyai komitmen kerja yang tidak dapat dielakkan.
Walaupun tertangguh, dia dan isteri sudah bersetuju untuk melancong ke Ireland.
"Kami merancang mahu ke negara Eropah iaitu di Ireland. Ini kerana adik saya kini berada di sana. Dia tidak dapat hadir ke majlis perkahwinan kami di sini kerana belajar di Ireland.
"Kerana itu, kami mahu ke sana untuk berjumpa dengannya sekali gus negara itu menjadi destinasi bulan madu kami," tuturnya.
sumber : kosmo.com.my

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
  • RSS
  • Delicious
  • Digg
  • Facebook
  • Twitter
  • Linkedin

Search Site