Followers

May 20, 2011

Cabaran Imam Muda 2

Posted by MohdHaz on 5:36 PM



PESERTA Imam Muda 2 disarankan mampu menguasai Bahasa Inggeris dan Arab dengan baik.


BUKAN mudah untuk mengekalkan nama dan standard yang ditinggalkan selepas Imam Muda musim pertama mencetuskan fenomenanya yang tersendiri. Malah, program terbitan Astro Oasis itu juga mendapat perhatian masyarakat luar yang tertarik dengan intipati serta kandungan program berunsur keagamaan itu.
Apabila memasuki musim kedua, sudah pasti ramai yang mengharapkan Imam Muda 2 lebih baik daripada yang pertama. Ketika mengikuti rakaman program itu baru-baru ini, Mudir Imam Muda, Datuk Hassan Mahmood Al-Hafiz atau Ustaz Hassan memberitahu, Imam Muda 2 lebih baik jika peserta boleh bertutur dalam Bahasa Inggeris dan Arab dengan baik.
Jelasnya, program yang mendapat perhatian di peringkat global itu seharusnya mengambil kesempatan yang ada untuk meluaskan lagi dakwah, jika diperingkat global sudah tentu Bahasa Inggeris menjadi bahasa utama.
"Kalau menyebut tentang penambah baikkan, rasanya perlunya ada kelas Bahasa Inggeris dan Arab kerana bagi saya masih ramai peserta yang lemah dua bahasa ini sedangkan, jika mahu meluaskan lagi dakwah dan ilmu, dua bahasa ini sangat penting.
"Jika mereka boleh bertutur Bahasa Inggeris dengan baik saya yakin, mereka boleh mendekatkan diri dengan pelbagai peringkat usia dan bangsa dengan lebih baik lagi," ujarnya.
Setiap minggu peserta akan diberikan satu tema dan mereka harus turun padang untuk melakukan latihan praktikal serta menjalani ujian bertulis serta berhujah. Markah akan dikumpulkan dan tiga peserta terendah akan dipanggil, salah seorang daripada tiga peserta akan disingkirkan dengan kuasa Mudir.
Tema yang dipilih adalah masalah serta gejala yang berlaku dalam masyarakat hari ini. Setiap tema yang dipilih merupakan tema baru yang tidak pernah dilakukan ketika musim pertama.
"Setakat ini apa yang saya lihat, semua peserta melakukan latihan praktikal dengan baik, cuma apa yang kita harapkan bukan sekadar mencari juara Imam Muda tetapi pengisian yang ada harap diterima juga oleh penonton kerana tujuan utama program ini diadakan untuk menyebarkan dakwah," balasnya.
Nazrul timba ilmu
Kosmo! sempat mengikuti mereka turun padang di sekitar Chow Kit untuk tema Krisis Identiti yang akan disiarkan malam ini dan pelbagai perkara dikongsikan bersama dengan tiga peserta Imam Muda iaitu Hassan, Nazrul dan Najdi.
Imam Muda Nazrul atau nama sebenarnya Nazrul Izwan Zolkiflee, 26, menjelaskan tujuan utama dia menyertai program ini adalah untuk menambah ilmu di dada kerana proses pembelajaran selama tiga bulan dalam Imam Muda sama seperti mengikuti pengajian di pusat pengajian tinggi.
"Kami semua bertuah kerana terpilih, bukan untuk menjadi juara sebaliknya menimba ilmu. Jika di pusat pengajian tinggi latihan praktikal seperti ini bukan selalu diperolehi, tetapi di sini setiap minggu kami bertemu dengan kelompok yang mempunyai masalah yang berbeza.
"Satu cabaran, bagaimana kami ingin mendekati mereka sambil mendengar masalah serta membantu mereka menyelesaikan masalah yang dihadapi. Tambahan di sini, kami turut dibantu oleh Mursyid yang sentiasa bersama kami," ujar Nazrul yang bertugas sebagai seorang guru di Perak sebelum ini.
Sambung Nazrul, tema minggu keempat iaitu Krisis Identiti dirasakan paling sukar kerana pada padangannya dia akan bertemu dengan mereka yang hidup di lorong-lorong tetapi tidak sangka pula akan bertemu dengan mak nyah yang berpendidikan tinggi.
"Mereka semua terpelajar dan bijak menyampaikan hujah dengan fakta. Jadi, bagaimana untuk kami menyampaikan hujah kepada mereka. Memang agak sukar tetapi Alhamdulillah, saya rasakan semua Imam Muda telah lakukan yang terbaik," katanya tentang tema yang akan disiarkan malam ini.
Menyentuh tentang penyakit sosial yang melanda masyarakat Malaysia hari ini terutama mereka yang beragama Islam, kata Nazrul masalah itu berlaku apabila seseorang Islam tidak mengamalkan kehidupan Islam sepenuhnya.
"Jika seseorang itu beriman, dia tidak akan lakukan sesuatu yang tidak elok. Berbeza dengan mereka yang tidak mengamalkan kehidupan Islam sepenuhnya, apabila hubungan dengan Allah tidak kuat, maka pelbagai perkara tidak elok boleh dilakukan tanpa mengira dosa," balasnya.
Hassan sedia hadapi populariti

CABARAN minggu keempat yang disiarkan pada malam ini, Imam Muda mendekati golongan individu yang mengalami krisis identiti di sekitar Kuala Lumpur.


Jika peserta lain kekok di hadapan kamera tetapi tidak bagi Imam Muda Mohd. Hassan Adli Yahaya atau Hassan kerana sebelum ini pernah menyertai sebuah lagi program realiti Islamik iaitu Akademi al-Quran musim ke-4 di TV9.
Bagaimanapun dia merupakan antara peserta yang tersingkir awal, sungguhpun begitu pengalaman yang diperolehi mematang dirinya berhadapan dengan kamera dan orang ramai.
"Saya menyertai program ini kerana ingin menimba ilmu. Walaupun saya pernah masuk program realiti yang lain, tetapi Imam Muda sebuah program yang berbeza kerana ia menyeluruh dan kami diberi pelbagai kelas untuk menambah ilmu.
"Tetapi secara tidak langsung, pengalaman yang saya ada memudahkan lagi perjalanan saya di sini. Saya masuk Imam Muda bukan ingin popular, ya, saya akui memang ramai orang yang akan kenal kami kerana program ini disiarkan di televsiyen tetapi yang penting itu niat berada di sini," ujar pemegang Ijazah Sarjana Muda Ilmu Wahyu (al-Quran dan Hadith) Universiti Islam Antarabangsa.
Meskipun Imam Muda sebuah program berbentuk keagamaan tetapi ia masih berorientasikan pertandingan kerana hanya seorang sahaja yang akan bergelar juara Imam Muda. Tegas Hassan, dia tidak terlalu memikirkan soal pertandingan kerana itu akan melemahkannya.
"Jangan sesekali ada niat bertanding, saya sentiasa memperbaharui niat saya berada di sini adalah untuk menuntut ilmu dan menyebarkan dakwah. Saya gunakan peluang ini untuk menyebarkan ilmu yang saya ada dan sentiasa meminta pertolongan daripada Allah," katanya yang merupakan seorang pensyarah.
Najdi paling muda
Menjadi salah seorang peserta paling muda dalam Imam Muda bukanlah penghalang buat peserta asal Selangor, Wan Najdi Wan Mohd Noh, 19, untuk bersaing dengan peserta yang lebuh berusia daripadanya.
Meskipun begitu, disebabkan faktor usia, Najdi sering dilayan seperti adik bongsu oleh peserta-peserta yang lain, malah, pertuturannya yang tidak berlapik juga membezakannya dengan peserta yang lain.
"Saya rasa umur yang muda bukan satu masalah yang besar kerana saya cuba belajar sebaik mungkin di kelas dan daripada abang-abang dalam Imam Muda ini. Saya akui saya masih muda dan tidak mempunyai pengalaman luas seperti mereka, mungkin saya yang paling banyak kekurangan berbanding 10 orang Imam Muda, tetapi saya sentiasa cuba yang terbaik," tegasnya.
Cabaran utama yang dihadapi sepanjang berada dalam program tersebut akui Najdi adalah dirinya sendiri selain mengaku dirinya yang paling lemah.
"Saya sudah set minda saya supaya jangan terlalu fikirkan benda yang lain tetapi bila kita sendiri rasa diri paling tercorot, automatik, mood itu hilang menyebabkan fokus untuk belajar juga hilang. Apa pun saya akan cuba yang terbaik," balasnya.
Mengakui penat dek jadual yang padat, Najdi bersyukur kerana dikelilingi oleh mereka yang mengambil berat akan dirinya. Jelasnya seluruh tenaga produksi serta peserta Imam Muda ibarat keluarganya kini.
"Saya mempunyai masa yang seronok dalam Imam Muda walaupun penat, itu saya tidak boleh tipu kerana sering terkejar-kejar dari satu lokasi ke lokasi yang lain. Kamu tinggal bersama sudah seperti keluarga.
"Kalau bercakap soal glamor, itu perkara nombor dua. Saya pasti semua orang akan cakap perkara yang sama iaitu masuk Imam Muda untuk tuntut ilmu, saya begitu juga selain itu, saya rasa Imam Muda adalah lapangan terbaik untuk saya tingkatkan diri ketika berhadapan dengan orang ramai," luahnya.
Najdi yang merupakan bekas pelajar Sekolah Menengah Agama Persekutuan Labu, Negeri Sembilan itu berharap selepas program Imam Muda tamat, dia akan menyambung pelajarannya di peringkat ijazah di Universiti Malaya mahupun Universiti Kebangsaan Malaysia.
"Saya ingin sambung belajar lagi selepas ini, walaupun saya tahu kami akan semakin sibuk selepas program ini tamat, pelajaran tetap diutamakan," kata anak keempat daripada tujuh adik beradik itu lagi.
Program Imam Muda bersiaran setiap Jumaat di saluran Astro Oasis, bermula 29 April 2011 dan malam ini, Imam Muda akan mendekati golongan mak nyah dalam tema Krisis Identiti.
sumber : kosmo.com.my

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
  • RSS
  • Delicious
  • Digg
  • Facebook
  • Twitter
  • Linkedin

Search Site