Followers

May 9, 2011

Belum sedia bertudung - Rozita Che Wan

Posted by MohdHaz on 11:23 AM

CABANG BARU...Rozita bersama rakan kongsinya, Hanim bergambar bersama model selepas majlis pelancaran My Couture Sdn Bhd di Pavillion, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
CABANG BARU...Rozita bersama rakan kongsinya, Hanim bergambar bersama model selepas majlis pelancaran My Couture Sdn Bhd di Pavillion, Kuala Lumpur, baru-baru ini.


SEKALIPUN berusia 39 tahun, Rozita Che Wan tetap cantik dan kelihatan muda. Justeru, tidak hairanlah apabila ibu tunggal kepada dua anak ini sering dikaitkan dengan gosip percintaan. Bukan saja dengan golongan kenamaan tetapi rakan seangkatan.


Terbaru dan masih hangat, pastinya gosip membabitkan Rozita dan juara Akademi Fantasia 8 (AF8), Ahmad Shahir Zawawi, 23, yang kini tersebar luas. Hinggakan, ahli Kelab Peminat Shahir turut memberi maklum balas kurang senang pada gosip itu.



Malah, ada antara peminat fanatik Shahir sanggup menghubungi Harian Metro meluahkan perasaan bengang dan geram kepada Rozita.

Bagi mereka, Rozita tidak wajar cuba mendekati Shahir yang jauh lebih muda daripadanya. Bahkan, Rozita diminta tidak menumpang populariti Shahir.



Bertemu Rozita di majlis pelancaran perniagaan pakaian miliknya, My Couture Sdn Bhd di Pavilion Kuala Lumpur, baru-baru ini, ternyata pelakon jelita itu cukup profesional.



Dia tidak sesekali mengelak dan bersikap terbuka memberi penjelasan.

“Tidak dinafikan, memang banyak gosip saya dan Shahir dipaparkan media, sejak kebelakangan ini. Bagaimanapun, kami sekadar rakan sesama artis.

“Tidak salah, kami berkawan dan ia juga tak perlu dipandang serong sesiapa serta kurang disenangi.

“Lima tahun bergelar anak seni, saya sudah lali dengan pelbagai gosip. Terutama, gosip membabitkan kisah percintaan. Saya masih ingat, gosip pertama saya sebagai artis apabila dikaitkan bercinta dengan lelaki yang saya tak pernah kenal.

“Gosip kedua, dengan lelaki yang hanya bersahabat dengan saya. Justeru, sekarang dengan lelaki muda pula. Dalam soal ini, saya fikir adalah lebih elok berkawan dengan lelaki muda berbanding menjalin hubungan dengan suami orang.

“Saya akui selesa berkawan dengan lelaki muda kerana mereka sangat menghormati dan matang. Jadi, saya tak kisah dengan apa yang orang hendak perkatakan. Saya tak berlakon pun orang tetap gosip juga. Oleh itu, gosip memang lumrah hidup artis,” katanya.

Enggan melayan gosip yang tidak berasas, Rozita berkata dia menceburi bidang lakonan bukan suka-suka dan atau memikirkan populariti, tetapi bagi menyara kehidupan keluarga.

Katanya, dia sangat bersyukur rezeki lakonan diterima tidak putus-putus.

Menurut Rozita, jadual lakonan yang padat turut menyebabkan dia terpaksa melupakan hasrat bersara yang pernah diluahkannya dulu. Jelas Rozita, dia bukan main-main untuk bersara kerana mahu memberi tumpuan pada anak dan perniagaan diusahakan.

“Tetapi, rezeki lakonan yang tak putus diterima membuatkan saya harus memikirkannya semula. Justeru, buat masa ini saya takkan bersara dan meneruskan karier lakonan seperti biasa. Mengenai perniagaan, saya ada rakan kongsi yang boleh membantu.

“Saya menceburi perniagaan fesyen kerana minat mendalam. Bahkan, saya melihat sememangnya wanita dan gaya cukup sinonim, termasuk mereka yang bertudung. Jadi, dengan penubuhan butik pakaian muslimah My Couture Sdn Bhd, pelbagai pilihan disediakan.

“Apapun, ikutkan rancangan awal dulu perniagaan ini mahu ditubuhkan bersama adik-beradik saya. Namun, semua mereka sudah berkahwin dan memberi tumpuan pada keluarga. Mujur, saya bertemu dengan rakan kongsi, Hanim Sahrom yang memiliki minat sama.

“Hanim selaku pengarah kreatif My Couture memang mempunyai banyak idea terutama dalam rekaan busana muslimah. Menerusi perniagaan ini, kami bertindak sebagai pembekal busana seperti jubah, tudung dan pakaian wanita yang sedia dipakai untuk butik terpilih,” katanya.

Lebih banyak mengendalikan urusan pemilihan material, Rozita juga terbabit dalam rekaan mini tudung. Biarpun, masih belum terbuka hati untuk berhijab (tudung) tetapi, apa salahnya kebolehan yang ada dimanfaatkannya dengan mendorong orang lain bertudung.

“Sebagai rakan kongsi, saya dan Hanim saling bertukar idea mengenai rekaan pakaian terbaru untuk butik ini. Justeru, setiap tiga bulan, kami akan tampil dengan rekaan terkini. Saya beruntung kerana Hanim memiliki kepakaran dalam rekaan busana muslimah.

“Saya percaya dan yakin dengan Hanim. Ini kerana, kami berdua memang berkongsi minat yang sama,” kata Rozita kini di Perlis menjayakan penggambaran drama Diari Summer Camp terbitan Zeel Production Sdn Bhd yang menggandingkannya bersama Shahir.

Berdepan jadual lakonan padat, Rozita terpaksa mengorbankan masa tidurnya untuk memberi komitmen terhadap perniagaan fesyen yang serius diceburinya secara sejak awal tahun ini.

Katanya, My Couture juga menerima tempahan dari Singapura, Dubai dan United Kingdom.

Berbicara mengenai harga pakaian di butiknya, Rozita memaklumkan harga ditetapkan bagi setiap pakaian yang dijual mampu dimiliki golongan pelanggan yang berpendapatan sederhana dalam anggaran antara harga RM1,000 dan ke bawah.

Selain menjual secara pukal, pelanggan persendirian yang berminat untuk melihat dan menempah rekaan pakaian muslimah dihasilkan, melayari laman web www.mycouture.com.my atau mengunjungi bengkel mereka yang bertempat di Seksyen 23, Shah Alam, Selangor.

Menyentuh pula mengenai perkembangan anak sulung, Ammar Effendy Azuar, 15, yang dikatakan mengalami kecederaan akibat dipukul di sekolah berasrama penuh, Rozita berkata, kini kedua-dua anak lelakinya, Ammar Effendy dan Aniq Ezzra, 13 meneruskan pelajaran di sekolah menengah biasa.

Tidak mahu memanjangkan cerita, Rozita berkata, dia dan bekas suami bertindak menukarkan sekolah anak mereka bagi memastikan pelajaran tidak terganggu. Ini kerana, kata Rozita akibat insiden itu anaknya trauma dan lebih baik ditukarkan sekolah.

“Saya seorang ibu yang sangat mementingkan pendidikan anak-anak. Saya hantar mereka ke sekolah untuk menimba ilmu dan bukan untuk bergaduh. Malah, demi keselamatan anak saya adalah lebih baik mereka meneruskan pelajaran di sekolah biasa saja.

“Apapun, saya tidak berniat untuk membesar-besarkan perkara ini lagi. Cuma, apa yang terjadi kepada anak saya itu adalah benar dan kami mempunyai bukti kukuh seperti laporan pemeriksaan doktor di hospital dan laporan polis,” katanya tenang.


PROFIL

NAMA SEBENAR: Rozita Che Wan
TARIKH LAHIR: 9 Mac 1972
USIA: 39 tahun
ASAL: Alor Setar, Kedah
KELUARGA: Anak kedua daripada tujuh beradik
STATUS: Ibu tunggal
ANAK: Ammar Effendy, 15, dan Aniq Ezzra, 13
PENDIDIKAN: Sijil Pelajaran Malaysia
KERJAYA: Pelakon, model & ahli perniagaan
DRAMA/ TELEFILEM: Lebih puluhan drama. Antaranya Bara Yang Ku Genggam, Susuk, Ai Di Beijing, Diari Ramadan Raffique, Ayyad, Kuih Goyang Seha, Lawaknya Fantasia Raya, Madu Sorok, Cikgu Kemisah Kerby, Kiah Pekasam, Kem Pink, Dosa Siapa, Iparku Diva dan Diari Summer Camp.
FILEM: Dunia Baru The Movie, Sepi, Sifu & Tongga, Jangan Tegur, Kantoi, 4 Madu, Gentayangan, Misteri Dendam Balan Balan The Movie.
DUTA PRODUK: Safi Rania Gold
PERNIAGAAN: My Couture Sdn Bhd



sumber : hmetro.com.my

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
  • RSS
  • Delicious
  • Digg
  • Facebook
  • Twitter
  • Linkedin

Search Site