Followers

Apr 27, 2011

Sudah lama kenal - Lisa Surihani

Posted by MohdHaz on 3:25 PM

Lisa Surihani
Lisa Surihani
Lisa Surihani tidak nafi kerap bertemu, berbual dengan Yusry 

HANYA tawa kedengaran tatkala soalan berkaitan gosip hubungannya dengan duda terhangat, Yusry Abdul Halim diajukan pada majlis pengumuman filem Lagenda Budak Setan 2: Katerina (LBS2).


Bagai sudah menjangka soalan sebegitu akan dilontarkan wakil media yang mengerumuninya usai sidang media, Lisa Surihani menjawab satu persatu persoalan dengan tenang.
Nyata pengalaman mendewasakannya apatah lagi cerita sebegini bukan yang pertama apabila terdahulu bintang muda terbabit pernah dikaitkan dengan aktor lain iaitu Farid Kamil dan Shaheizy Sam. 

Apa pun Lisa tidak cepat melatah sebaliknya mengakui mula akrab dengan pengarah Hikayat Merong Mahawangsa itu sejak dua bulan lalu namun secara tegas memaklumkan mereka sekadar kawan biasa dan tidak membabitkan soal hati. 

“Ya kami kenal sudah lama tetapi semakin rapat kira-kira dua bukan lalu. Sebelum ini kami kerap berbual menerusi telefon atau sekadar berbalas mesej di BBM (BlackBerry Messenger). 

“Macam juga teman-teman lain, kalau ada kelapangan kami akan keluar tetapi bukan berdua. Kebiasaannya lepak beramai-ramai dengan kawan malah selalunya ibu atau kawan saya pasti ada,” katanya yang membawakan watak Ayu dalam LBS2. 
Bagi graduan undang-undang itu, perihal keintiman dengan Yusry mula diperbesarkan apabila mereka dilihat duduk bersebelahan ketika tayangan filem seram, Seru baru-baru ini. 

Hati belum terpaut 

TANPA berselindung kata Lisa, Yusry memang mengetahui dirinya seorang yang penakut justeru apabila dia terkejut ketika satu babak menakutkan lelaki itu cuba mententeramkannya dengan mengusap lengan. 

“Kami datang berasingan dan saya ditemani ibu. Kami duduk bersebelahan dan mungkin itu yang membuatkan orang lain nampak agak intim. Waktu saya terkejut itu adalah tindakan spontan, begitu juga ketika Yusry memegang lengan meminta saya bertenang. 

“Yang pasti memang kami tiada apa-apa, cuma kawan baik. 

“Kami serasi sebab boleh berbual apa saja dari soal filem hingga isu semasa. Bagi saya Yusry bijak selain punya visi dan misi dalam hidup,” katanya lagi yang turut meminati kumpulan KRU ketika zaman remaja. 

Bagaimanapun, tidak seperti segelintir selebriti lain yang gemar menunjukkan reaksi kurang senang apabila diaju soal peribadi, aktres jelita itu cukup terbuka malah memahami inilah harga yang perlu dibayar sebaik bergelar anak seni. 

Diselak semula repertoire sejak mula menerjah ke dunia hiburan, dirinya sentiasa bersih daripada cerita negatif justeru kisah keintiman atau punya hubungan dengan mana-mana aktor hanya dianggap usikan nakal. 

Tambahnya lagi, tempoh dua bulan mula rapat dan keluar bersama tidak bermakna makna hati masing-masing sudah terpaut kerana ia sekadar perkara biasa yang turut dilakukan oleh orang lain. 

Jarak usia yang agak jauh dengan hampir 12 tahun berbeza juga antara sebab pelakon dan model komersil itu selesa berkawan dengan Yusry, 37, kerana beranggapan mereka boleh dikongsi segala macam cerita. 

“Saya biasa dikelilingi lelaki yang lebih matang. Abang saya sendiri berusia 36 dan 35 tahun, begitu juga sepupu yang rapat dengan saya semuanya lingkungan umur sebegitu. Jadi mungkin saya selesa berkawan dengan mereka yang lebih berusia. 

“Untuk bercakap soal jodoh, semua itu masih terlalu awal. Perjalanan saya masih panjang kerana berlakon pun saya masih boleh dikategorikan tahap baru belajar. Soal masa depan saya serahkan kepada yang lebih berkuasa,” katanya yang tidak menolak andai nanti jodohnya dengan duda. 

Jiwa tidak berbelah bahagi 

SELAIN LBS2, penerima trofi Pelakon Filem Wanita Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2010 dijangka terus mewarnai layar besar dengan deretan filem baru termasuk Papa I Love You, Sekali Lagi dan Ombak Rindu. 

Sememangnya pendakian anak jati Kuala Lumpur itu boleh dianggap mudah apabila teman seperjuangan lain merangkak membina nama namun dia tidak putus disambar penerbit hingga dikatakan bakal pelapis Erra Fazira sebagai Primadona Filem Melayu. 

Ditanya satu persatu anugerah yang diraih sekali gus membuktikan pengorbanannya melupakan seketika bidang guaman berbaloi, akui Lisa lagi setiap kejayaan yang diraih tidak mungkin mengubah keperibadian mahu pun semakin berkira. 

“Syukur dengan pengiktirafan yang diberikan. Saya masih menganggap diri ini terlalu hijau dalam dunia lakonan dan perlu mencabar diri menonjolkan bakat dengan mencuba pelbagai watak. Bekerja keras adalah prinsip saya kerana setiap tawaran sama ada watak sampingan atau utama adalah tanggungjawab. 

“Setakat ini saya tidak meletakkan harga tertentu kerana pihak produksi lebih memahami nilai seseorang pelakon. Begitu juga soal watak, jika skripnya bagus kenapa saya harus menolak walaupun sekadar untuk beberapa babak kerana peranan kecil selalunya bawa impak besar jika kena gaya dan caranya,” katanya lagi. 

Seperti LBS2, watak Ayu yang meninggal dunia ketika melahirkan anak sulung hasil perkahwinannya dengan Kasyah lakonan Farid Kamil dianggap begitu simbolik sekali pun hanya muncul pada awal babak kerana ia membawa rentetan lelaki itu masih hidup dalam bayangan. 

Menerusi Ombak Rindu yang juga diadaptasi daripada novel dan diarahkan Osman Ali, Lisa menonjolkan sisi putih serta hitam seorang gadis lulusan luar negara yang cuba menagih cinta lelaki dambaannya, Hariz lakonan Aaron Aziz tanpa sedar bakal suaminya itu sudah mengahwini wanita lain, Izzah (Maya Karin). 

“LBS2 dan Ombak Rindu menampilkan saya dalam dua karektor berbeza. Sama ada watak sampingan mahu pun tunjang utama, saya menjiwai kedua-duanya hati kerana karektor itu punya roh tersendiri. 

“Ombak Rindu juga satu cabaran buat saya kerana ia menggambarkan watak wanita yang agresif dan melontarkan vokal untuk mempertahankan haknya sekali gus kontras dengan watak Ayu. 

“Istimewa kedua-dua filem ini tentu saja jalan ceritanya yang sarat emosi dan air mata. Saya sendiri tidak sabar menanti, LBS2 dan Ombak Rindu,” kata Lisa.


sumber : bharian.com.my

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
  • RSS
  • Delicious
  • Digg
  • Facebook
  • Twitter
  • Linkedin

Search Site