Followers

Apr 26, 2011

Maya Karin lawan Lisa Surihani

Posted by MohdHaz on 11:44 AM

Oleh Norhadiani Baharom
yanie@hmero.com.my

KEDUA-dua mereka cukup jelita. Sukar untuk membezakan mana satu yang lebih menawan kerana masing-masing mempunyai keunikan dan daya tarikan yang tersendiri.
Malah, untuk menentukan siapa yang lebih berbakat juga payah kerana Maya Karin mahupun Lisa Surihani sama-sama pernah menerima pengiktirafan sebagai Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia (FFM). 
Maya memenanginya di FFM21 pada 2008 menerusi filem Anak Halal, manakala Lisa pula memperoleh anugerah itu di FFM23 melalui watak Ayu yang dimainkan menerusi filem Lagenda Budak Setan (LBS).

Justeru, percaturan Astro Shaw Sdn Bhd dengan kerjasama Tarantella Pictures Sdn Bhd yang menggandingkan mereka bersama dalam filem adaptasi novel, Ombak Rindu arahan Osman Ali serta Lagenda Budak Setan 2 (LBS2) ditangani Sharad Sharan pasti memberikan impak luar biasa.

Tambahan pula, ketika ini nama Lisa Surihani hangat dikatakan menjalin hubungan istimewa dengan Yusry Abdul Halim (Yusry KRU) yang sedikit masa lalu pernah digosipkan bersama Maya Karin.

Maya memulakan perbualan, tidak menyangka diberi kepercayaan untuk memegang watak utama sebagai Izzah di dalam Ombak Rindu apatah lagi naskhah novel tulisan Fauziah Ashari itu pernah dibacanya tujuh tahun lalu.

Cabaran besar Maya Karin adalah untuk menjadi Melayu sejati, zahir dan batin sedangkan Maya diketahui umum berdarah kacukan.

Sebagai gadis kampung dalam cerita ini Maya bukan saja perlu bertudung, tetapi juga pandai mengaji.

“Saya pernah membaca novel ini tujuh tahun lalu dan tidak pernah menyangka apabila ia difilemkan saya menjadi pilihan untuk membawakan watak Izzah.

“Sewaktu nama diumumkan untuk watak Izzah, saya sempat mendengar pelbagai reaksi di mana ada yang tertanya-tanya apakah saya sesuai Maya Karin untuk watak itu. Sebagai pelakon, saya hanya mampu melakukan yang terbaik.

“Jika di dalam novel Izzah dibayangkan sebagai gadis tidak bertudung di dalam filem saya perlu memakainya. Salah satu tujuannya untuk membangkitkan ciri-ciri Melayu pada saya.

“Saya rasa amat bertuah sepanjang menjalani penggambaran Ombak Rindu kerana Osman Ali dan Ellie Suriaty bertindak sebagai jurutunjuk lakonan dan motivasi sentiasa ada untuk membantu saya,” katanya.

Menceritakan pembabitan dalam LBS2 pula, Maya menganggapnya satu tanggungjawab yang besar kerana perjalanan kisah itu adalah mengenai Katerina watak yang dimainkan olehnya sendiri.

“LBS sebelum ini mencatat kejayaan luar biasa dan tentunya saya merasakan satu penghargaan apabila ditawarkan membintangi LBS2.

“Apa yang membuatkan saya suka pada watak Katerina ini, tentu saja ia berbeza dengan watak-watak yang pernah saya bawakan sebelum ini.

“Percintaan Katerina dan Akasya melalui pelbagai liku dan penonton boleh melihat lakonan saya dalam emosi yang berbeza-beza,” katanya.

Sementara Lisa pula berkata, meskipun wataknya sebagai Ayu bukan lagi peranan utama namun, kehadiran Ayu tetap punya kepentingan dalam LBS2.

“Dari tahun lepas lagi saya dimaklumkan oleh Sharad bahawa watak Ayu masih dihidupkan dalam LBS2.

“Biar hanya muncul dalam bayangan Kasyah yang merindui Ayu, kehadiran Ayu dalam bentuk visual itu penting untuk membuatkan penonton benar-benar merasai kehadirannya.

“Malah, saya percaya setiap watak punya fungsi dan peranan yang penting dalam menyempurnakan penghasilan sesebuah filem,” katanya.

Bercerita mengenai Ombak Rindu, akui Lisa ketika menerima skrip daripada Osman Ali, dia merasakan skrip itu terlalu sarat dengan emosi.

“Saya memegang watak sebagai Mila dan terus-terang sukar untuk menghayatinya kerana ia jauh daripada sanubari saya.

“Mila seorang bintang filem yang terkenal dan pasti orang bertanya apa yang susah sangat untuk melakonkan watak Mila sedangkan saya juga pelakon. Kesukarannya adalah kerana Mila seorang diva sedangkan saya menjalani kehidupan sehari-harian penuh kesederhanaan.

“Dalam diri Mila terdapat dua sisi yang berbeza iaitu bahagian putih dan hitamnya. Perkara ini normal sebenarnya kerana setiap manusia sememangnya memiliki kebaikan dan keburukan.

“Namun, kesukaran itu berlaku apabila saya perlu mengimbangi kedua-dua sifat itu sebaiknya supaya tidak dibenci bila memperlihatkan sisi hitamnya dan tidak dianggap baik apabila menonjolkan sisi putihnya,” katanya.

Selain Lisa dan Maya, Ombak Rindu serta LBS2 yang dijangka melewati pawagam hujung tahun ini atau selewat-lewatnya tahun depan turut dibintangi seorang lagi pemenang anugerah Aktor Terbaik.

Iaitu Bront Palarae yang mencatat kejayaan besar tahun lalu apabila mengondol anugerah Pelakon Lelaki Terbaik FFM23 dan Anugerah Skrin 2010 menerusi filem Belukar.

Osman Ali selaku pengarah Ombak Rindu, berkata, dia cukup berbangga kerana hampir semua barisan pelakon yang membintangi filem itu adalah pemenang pelakon popular selain aktor dan aktres terbaik di Malaysia.

“Setiap pelakon memberi komitmen yang sangat baik dan bersungguh-sungguh walaupun kebanyakan mereka adalah aktor dan aktres terbaik ketika ini.

“Apa yang menarik mengenai Ombak Rindu ia adalah filem pertama saya hasilkan bukan daripada hasil tulisan saya sendiri.

“Malah, juga pengalaman pertama saya mengarahkan filem adaptasi daripada sebuah novel. Saya amat menyukai naskhah ini dan sebagai menghormati pemahaman pembaca yang menjunjung tinggi naskhah Ombak Rindu sejak sembilan tahun lalu saya tidak melakukan sebarang rombakan atau pertukaran.

“Plot cerita yang sama sebagaimana tercatat dalam novel dikekalkan cuma ‘sub plot’ saja disunting. ‘Sub plot’ adalah watak-watak kecil yang dirasakan tidak terlalu penting. Jika mahu dimuatkan semuanya mana cukup untuk satu filem,” katanya.

Menjalani penggambaran selama 45 hari, turut membintangi filem ini adalah Aaron Aziz, Julia Ziegler, Azizah Mahzan, Normah Damanhuri, Fauzi Nawawi, Nadia Nisa, Mislina Musafa, Kamurul Yusof dan Yap Leong Chai.

Sementara itu, Sharad pula melihat tugasnya dalam menghasilkan LBS2 lebih mencabar berbanding sebelumnya.

“Kejayaan LBS meraih kutipan RM4.5 juta selaku filem bergenre drama percintaan menjadi pemangkin dalam usaha menyambung episod penceritaan filem terdahulu ke dalam LBS2.

“Pada mulanya saya menyangkakan pembikinan yang kedua ini akan jadi lebih mudah memandangkan kita sudah punya pengalaman bagaimanapun sangkaan saya meleset sama sekali.

“LBS2 ini ternyata mencabar kewibawaan kami khususnya dalam memaparkan jalan cerita yang lebih baik dan menarik daripada musim sebelumnya.

“Justeru, saya bersama penulis novel ini Ahadiat Akashah dengan bantuan Jujur Prananto iaitu penulis untuk novel Ada Apa Dengan Cinta mengambil masa 14 bulan untuk menghasilkan skrip yang terbaik.

“Bagaimanapun, semuanya masih berlandaskan kisah dicatat dalam novel tulisan Ahadiat sendiri,” katanya.

LBS2 yang masih berbaki penggambaran di negara Bhutan, sudahpun menjalani penggambaran bermula 15 Mac lalu dan menggunakan lokasi sekitar Kuala Lumpur dan kepulauan Langkawi.

Filem ini masih mengekalkan Farid Kamil sebagai teraju utama atau wataknya sebagai Kasyah.

Kisah cinta tragis itu dimantapkan lagi dengan kehadiran Maya Karin, Lisa Surihani, Syiqin Kaml, Bront Palarae, Azri Iskandar, Zack Kool, Marisa Yasmin, Sheila Mambo, Lana Nordin, Zulkifli Ismail, Kher Cheng Guan dan Megan Tan.

sumber : hmetro.com.my

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
  • RSS
  • Delicious
  • Digg
  • Facebook
  • Twitter
  • Linkedin

Search Site