Followers

May 1, 2011

Yuni Shara Tetap Sokong KD

Posted by MohdHaz on 1:41 AM

Yuni Shara
BERITA kehamilan Krisdayanti yang memasuki usia kandungan empat bulan kini sedang menjadi perbualan hangat peminat dan masyarakat Indonesia.
Bagaimanapun kakak kepada diva Indonesia itu, Yuni Shara tetap membela adiknya dan menganggap itu adalah tanggung jawab pasangan tersebut.
“Walaupun orang banyak berkata tentang mereka tapi bagi saya itu adalah kehidupan peribadi mereka.
“Mereka juga sudah besar dan tahu untuk bertanggung jawab terhadap kesalahan yang telah dilakukan,” katanya.
Yani turut memberitahu semua keluarga sangat gembira tentang berita tersebut.
“Ibu saya menerima keadaan itu dan apa yang penting ialah kami bahagia,” katanya.
Tambah Yuni ahli keluarganya turut tidak sabar untuk menerima kehadiran saudara baru dalam keluarga mereka.
sumber : mstar.com.my

Mariah Carey Menikmati Hiburan Mewah

Posted by MohdHaz on 1:40 AM

MENUNGGU kelahiran anak pertama, Penyanyi Mariah Carey dikhabarkan menikmati hiburan secara mewah.
Bagaimanapun, penyanyi lagu Hero ini dikatakan berhibur bersama sahabat-sahabatnya tanpa ditemani suami tercinta, Nick Cannon.
Dia memilih sebuah resort mewah Terranea di Palos Vardes, California untuk melihat ikan lumba-lumba iaitu binatang yang paling digemarinya.
"Saya suka laut dan ikan lumba-lumba, tapi saya tidak pernah bermimpi untuk melihat ikan lumba-lumbar liar sepanjang hari seperti ini," katanya seperti dipetik Showbizspy.com.
Selain itu, Mariah mengakui pemandangan resort tersebut sangat menawan dan tidak akan dilupakan.
"Pemandangan begitu indah hingga tidak terlukiskan keindahannya," katanya.
sumber : mstar.com.my

Anugerah Penuntut Terbaik Milik Hadi

Posted by MohdHaz on 1:39 AM

KUALA LUMPUR: Peserta dari Sabah, Hadi Jaidi berjaya merangkul anugerah Penuntut Terbaik pada kemuncak program terbitan RTM, Tiada Lama Tiada Baharu Satu Satunya (TLTB SS) yang diadakan secara langsung pada pukul 9 malam di Auditorium Perdana, Angkasapuri, Jumaat.
Hadi yang dididik oleh Mas Idayu (yang menjadi ikon Hadi) mengalahkan saingan terdekatnya Ashraf yang mendapat Persembahan Terbaik dan Hamim (Penuntut Contoh) dengan menerima hadiah sebuah kereta Proton Persona.
Ashraf dan Hamim masing masing mempunyai ikon mereka sendiri iaitu Datuk M. Daud Kilau dan Datuk David Arumugam.
Menurut Hadi, dia bersyukur mempunyai ikon Mas Idayu yang banyak mengajar selok belok nyanyian untuk mendapat persembahan nyanyian yang terbaik.
"Mas Idayu seorang pengajar yang baik dan kerana dia saya berjaya. Dia mengajar saya menjadi seorang yang berdisiplin.
"Malah ketika peserta lain diberi cuti rehat, Mas Idayu mengambil saya dari tempat tinggal peserta pada pukul 10 malam sehingga dan sanggup mengajar saya sehingga pukul lima pagi. Saya percaya, itu satu pengorbanan yang besar," katanya.
Selain itu bagi kategori Muka Iras Artis pula, Masri berjaya mendapat tempat pertama diikuti pula dengan Epul dan Nurul (tempat kedua) serta Faz (tempat ketiga).
Masri yang memiliki wajah seperti penyanyi Mus May itu berharap agar satu hari nanti dia berpeluang untuk berduet bersama dalam mana-mana persembahan nyanyian.
"Saya masuk pertandingan ini pun sebab rakan-rakan memberitahu yang saya memiliki wajah iras Mus dan tak sangka pula saya dinobatkan sebagai juara Muka Iras.
"Walaupun memiliki wajah iras Mus, saya tetap mempunyai personaliti yang berbeza dengan penyanyi rock itu kerana tidak mahu nanti orang mengata saya sebagai Mus Tiruan," selorohnya yang merupakan seorang juruteknik audio di sebuah syarikat swasta.
Dalam pada itu, penyanyi Uji Rashid mendapat undian melalui Sistem pesanan Ringkas (SMS) dengan mendapat anugerah Ikon paling Popular.
Pemenang telah menerima sebuah trofi serta barangan yang ditaja oleh Ancasa Hotel & Spa, Habib Jewel, Proton, Walit Gold, Micheal & guys, Jatimas, Mac dan Poto Travel & Tours.
Menerusi saluran TV1, program TLTB SS yang merupakan sebuah program realiti berbentuk hiburan yang berkonsepkan pencarian bintang realiti yang mencungkil bakat-bakat baru dibawah bimbingan ikon masing-masing dan pada masa yang sama mencari wajah seperti selebriti hiburan tempatan yang sedia ada.
Para peserta diberi pendedahan dengan mengaplikasikan ilmu pembelajaran khususnya dengan memberi fokus terhadap muzik, nyanyian dan tarian.
Para penuntut akan diberi pendekatan kursus ala ‘Luar Kampus’ selama 11 minggu oleh ikon terpilih seperti Datuk Jeffrydin, Noraniza Idris, Mas Idayu, Datuk David Arumugam, Datuj DJ dave, Hail Amir, Uji Rashid, Datuk M.Daud Kilau, Ramlah Ram, Aishah< Datuk A. Rahman Hassan, Datin Azizah Mohamed dan Jamal Abdillah.
sumber : mstar.com.my

Imam Muda 2: Tiada Penyingkiran di Minggu Pertama

Posted by MohdHaz on 1:39 AM

Tiga peserta Imam Muda 2 yang berada pada kedudukan terbawah pada minggu pertama iaitu (dari kiri) Mujahid, Fadli dan Ali. - Foto ROHAIZAT MD DARUS
KUALA LUMPUR: Minggu pertama program Imam Muda musim kedua (IM2) yang bersiaran pada pukul 10 malam Jumaat di Astro Oasis (saluran 106) menyaksikan tiada penyingkiran berlaku.
Walaupun tiga peserta IM2 iaitu Mujahid, Ali dan Fadli berada pada kedudukan terbawah selepas pengumuman dilakukan, mereka terselamat demi memberikan peluang untuk terus berusaha pada minggu seterusnya.
Menceritakan tentang kedudukan rapuh mereka pada minggu pertama, Mujahid Suhaimi (Mujahid), 20, berkata: "Jadual kami sangat padat dan saya hanya tidur sekitar 3 jam sehari kerana banyak perkara yang perlu kami pelajari.
"Saya rasa faktor utama yang menyebabkan saya berada pada kedudukan terbawah minggu ini adalah kerana markah ujian teori yang rendah. Bagaimanapun, saya bersyukur kerana masih berpeluang untuk belajar lagi."
Seorang lagi peserta Ali Khairudin Haji Abdul Marif (Ali), 26, pula berpendapat: "Punca utama saya berada pada kedudukan terbawah adalah disebabkan oleh masalah kesihatan dan tidak fokus pada pelajaran.
"Sejak mula-mula masuk IM, saya memang demam dan tidak begitu fokus pada tugasan dan kelas. Peluang kedua ini akan saya gunakan untuk memperbaiki kelemahan."
Sementara itu, peserta ketiga yang berada pada kedudukan terbawah iaitu Zulfadli Haji Awang (Fadli), 24, juga mengakui sikap kurang fokus dan tidak bersungguh-sungguh menjadi faktor kepada kedudukannya minggu ini.
"Saya perlu lebih serius dan fokus pada minggu akan datang. Saya bersyukur kerana masih diberikan peluang untuk terus berada dalam program ini," katanya yang berasal dari Brunei Darussalam.
Pengurus Saluran Astro Oasis, Haji Izelan Basar
Mengupas tentang persembahan peserta pada minggu pertama, Pengurus Saluran Astro Oasis, Haji Izelan Basar berkata, secara keselurahannya para peserta telah melakukan tugasan dengan baik untuk minggu pengenalan ini.
"Masih banyak aspek yang perlu mereka perbaiki dan terus pelajari. Apa juga teguran yang diberikan oleh mudir dan mursyid perlu mereka ambil perhatian dan amalkan.
"Bagaimanapun, saya berpuas hati dengan kesungguhan mereka untuk tugasan minggu pertama iaitu mendekati wanita-wanita yang hamil tanpa perkahwinan di Kem Modal Insan (Kewaja).
"Apa yang paling penting, kita ingin lahirkan pemimpin masyarakat yang serba boleh dan mudah untuk didekati. Jadi, mereka perlu belajar dan berusaha untuk mencapai perkara itu di minggu-minggu seterusnya," katanya.
Tugasan minggu pertama IM2 yang sepatutnya berkisar pada topik kelahiran ditukarkan pada saat-saat akhir apabila pasukan IM2 dimaklumkan oleh pihak berkuasa tentang kes pembuangan bayi, minggu lalu.
Susulan itu, 10 peserta telah diarahkan untuk mendekati wanita-wanita muda yang hamil tanpa perkahwinan di Kem Modal Insan (Kewaja) di Taman Seri Gombak, Selangor.
Para peserta dipimpin oleh Datuk Hassan Mahmood Al-Hafiz selaku mudir atau pengetua dengan dibantu empat orang mursyid atau guru iaitu Ikmal Zaidi Hashim, Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim, Tuan Asmawi Tuan Umar dan Zulkefli Hamat.
IM2 masih mengekalkan pengacara musim pertama iaitu Haji Dzulkarnain Daud.
Kapsul IM2 bersiaran setiap Isnin hingga Khamis, pukul 7.55 malam, Mimbar IM2 (Jumaat, 6.30 petang) dan Medan IM2 (Jumaat, 9 malam) di Astro Oasis (saluran 106).
sumber : mstar.com.my

Shuib (Sepah) Mahu Jadi Pengarah

Posted by MohdHaz on 1:38 AM

KUALA LUMPUR: Pelawak Shuib (Sepah) memasang impian untuk menjadi seorang pengarah drama atau filem beberapa tahun lagi.
Menurut Shuib, dia mahu mengembangkan sayapnya ke bidang pengarahan apabila mempunyai pengalaman yang cukup dalam bidang lakonan.
“Saya bercadang untuk membuka sebuah produksi untuk menerbitkan drama atau filem suatu hari nanti.
“Buat masa ini saya ingin menumpukan sepenuh perhatian kepada bidang lakonan dan belajar banyak perkara lagi,” katanya.
Tambah Shuib, dia yang gemarkan filem bergenre aksi komedi itu memberi tempoh masa selama tiga tahun untuk dirinya mendalami ilmu dalam bidang ini.
Dalam pada itu, ahli kumpulan Sepah ini bakal membintangi filem pertamanya berjudulMan Sewel Datang KL.
Dia yang membawa watak Osman Sewel menganggap ia bukan sesuatu yang mudah seperti yang digambarkan.
“Watak saya sebagai Man Sewel memang agak berat, ianya adalah watak yang paling besar serta paling utama dalam dalam filem tersebut.
“Pada awalnya, saya sendiri tertekan kerana tidak berjaya menjiwai watak Man Sewel, walaupun sudah beberapa kali mencuba,” katanya.
Filem terbitan Work Move Production Sdn Bhd ini mengisahkan seorang lelaki bernama Osman yang datang ke Kuala Lumpur bagi mencari rezeki.
Bagaimanapun, ketika berada di Kuala Lumpur berbagai halangan yang terpaksa ditempuhinya sehingga dia terpaksa mengambil keputusan pulang kembali ke kampung.
Filem ini dijangka akan ditayangkan pada November ini.
sumber : mstar.com.my

Najib Minta PAS Keluar Pakatan Pembangkang

Posted by MohdHaz on 1:37 AM

KUALA TERENGGANU: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini meminta PAS keluar daripada pakatan pembangkang yang jelas tidak memperjuangkan agenda bangsa, agama dan negara.
Perdana Menteri berkata sudah tiba masanya PAS meninggalkan pakatan pembangkang khususnya DAP yang ternyata tidak pernah sekalipun memperjuangkan Islam.
"Hadi (Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang), cukup-cukuplah dengan DAP, tinggalkan DAP (pakatan pembangkang)," katanya ketika berucap di hadapan kira-kira 15,000 orang pada majlis Perjumpaan Mesra Perdana Menteri Bersama Rakyat Dewan Undangan Negeri kawasan Manir di Kampung Pulau Bahagia, dekat sini.
Turut hadir Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Shafie Apdal, Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.
Perdana Menteri berkata masa depan Malaysia sebenarnya lebih terjamin menerusi kepimpinan kerajaan Barisan Nasional (BN) dan Umno.
"Umno lahir di istana dan bukannya lahir di jalanan seperti Parti Keadilan Rakyat (PKR)".Najib berkata rakyat telah bijak untuk menilai kepimpinan yang benar-benar dapat memperjuangkan agenda bangsa, agama dan negara.
Beliau turut mengulas mengenai kemelut yang sedang berlaku membabitkan kepimpinan parti PKR.
"Semasa di Sarawak (pilihan raya negeri) baru-baru ini, penduduk rumah panjang pun bertanyakan jam Omega (milik Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim).
"Dan semalam kenapa nak halang orang nak bersumpah?," kata Najib yang merujuk kepada suasana tegang apabila hasrat Datuk Shazryl Eskay Abdullah melakukan sumpah laknat berkenaan pelaku dalam video seks yang didakwa membabitkan Anwar, cuba disabotaj oleh penyokong ketua pembangkang itu.
Eskay ialah seorang daripada tiga individu yang menggelarkan diri sebagai Datuk "T" atau trio, yang terlibat mendedahkan video aksi seks yang dikatakan mirip pemimpin pembangkang.
Najib berkata sudah tibanya rakyat menilai kepimpinan yang benar-benar layak untuk menerajui negara ini.
"Masa depan Malaysia ini adalah lebih terjamin dengan BN," katanya. BERNAMA
sumber : mstar.com.my

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
  • RSS
  • Delicious
  • Digg
  • Facebook
  • Twitter
  • Linkedin

Search Site