Followers

Jun 1, 2011

Bomoh bela buaya depan rumah

Posted by MohdHaz on 12:02 PM


DUA ekor buaya tembaga ini ditempatkan di pejabat Perhilitan di Seremban selepas dirampas dari rumah seorang bomoh di Senawang semalam.




SEREMBAN - Rahsia seorang pengamal perubatan tradisional membela sepasang buaya tembaga dalam tangki air di halaman rumahnya sejak enam tahun lalu akhirnya terbongkar apabila sepasukan anggota penguat kuasa Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) negeri menyerbu rumahnya di sini dan merampas reptilia berkenaan.

Lelaki keturunan India berusia 61 tahun itu turut ditangkap dalam operasi pukul 11.30 pagi semalam di rumahnya yang terletak di Taman Marida, Senawang.

Pasukan Perhilitan yang bertindak atas maklumat awam kemudian memindahkan kedua-dua reptilia itu yang masing-masing berukuran dua meter dan 1.5 meter panjang dari halaman rumah lelaki tersebut sebelum dihantar ke Zoo Melaka.

Dalam serbuan itu, mereka turut menemui kulit seekor ular tedung selar dan trofi tanduk rusa yang digantung pada dinding.

Pengarah Perhilitan negeri, Mohd. Zaide Mohamed Zin berkata, hasil siasatan mendapati lelaki itu tidak mempunyai permit untuk menternak buaya.

sumber : kosmo.com.my

Nora Danish Akui Berkawan Dengan Lelaki Muda

Posted by MohdHaz on 12:06 AM

Nora Danish mengakui sedang rapat dan menilai seorang ahli perniagaan yang dua tahun lebih muda daripadanya. - Foto AHMAD IZZRAFIQ ALIAS
PETALING JAYA: Pelakon jelita Nora Mohd Danish Hanif, 29, (Nora Danish) mengakui sedang berkawan rapat dengan seorang ahli perniagaan yang berusia 27 tahun dan bukannya kerabat diraja dari Terengganu seperti yang didakwa sebelum ini.
Kata Nora, teman barunya itu hanyalah orang biasa dan tiada kena-mengena dengan golongan kerabat, VIP mahupun artis.
"Saya memang sedang berkawan dengan seseorang. Dia seorang ahli perniagaan dan berusia dua tahun lebih muda daripada saya.
"Namun, semuanya masih terlalu awal kerana kami baru saja berkawan. Tiada hubungan yang serius tetapi kami rapat," jelasnya yang ditemui pada sidang media drama Ana Lu’ludi Sri Pentas, di sini, Selasa.
Mengulas lanjut tentang teman barunya itu, pelakon sitkom Puteri ini berkata, walaupun wujud perasaan sayang di antara mereka, hubungan mereka bagaimanapun masih berada peringkat awal untuk merancang soal perkahwinan.
"Memang ada perasaan sayang tapi terus-terang saya katakan semuanya masih terlalu awal. Saya sendiri sedang melalui proses menilai dan mengenalinya lagi.
"Biarlah kami berkawan dulu kerana saya tidak terdesak untuk berkahwin semula dalam masa terdekat," katanya yang enggan bercerita lanjut tentang jejaka tersebut.
Menerusi perkahwinannya dengan Toh Muda Rizal Ashram (Jejai) dari Jun 2006 hingga Julai 2008, pasangan itu telah dikurniakan seorang anak lelaki, Putra Rayqal Ramli yang kini berusia dua tahun setengah.
Drama terbaru Ana Lu'Lu yang menggandingkan Nora dan Kamal Adli sebagai pasangan kekasih.
Tentang perkembangan terbaru karier lakonan, Nora yang menggalas watak utama sebagai Ana Lu'lu dalam drama tersebut mengakui serasi bergandingan dengan aktor Kamal Adli dalam drama arahan Pierre Andre itu.
"Ini bukan kali pertama saya berlakon dengan Kamal. Sebelum ini, sudah beberapa kali kami bergandingan dalam drama.
"Jadi, kami tiada masalah untuk membina keserasian sebagai pasangan kekasih dalam drama kali ini," katanya yang senang bekerja di bawah arahan pengarah muda seperti Pierre Andre.
Selepas menamatkan penggambaran baki episod drama itu, aktres dari Kajang, Selangor ini akan memulakan penggambaran drama Khurafat The Series pula.
Selain Nora dan Kamal, drama itu turut dibintangi Wawa Zainal, Adey Syafrien, Zarina Zainuddin, Noniswara Baharudin, Watie Sadali dan Sharifah Shakina.
Drama Ana Lu’lu sebanyak 13 episod ini bakal bersiaran dalam slot Lestary pada setiap Selasa pukul 9 malam di TV3 bermula 7 Jun ini.
sumber : mstar.com.my

Aaron Aziz Tekankan Agama Didik Anak

Posted by MohdHaz on 12:05 AM

Aaron Aziz Bersama Istarinya, Diyana Halik
PETALING JAYA: Pelakon kacak Aaron Aziz mengakui masih menggunakan cara lama dan pendekatan agama dalam mendidik tiga anaknya.
Bagaimanapun, dia tidak mahu terlalu mengongkong dan mengatur cara hidup anaknya seperti yang biasa dilakukan ibu bapa masa kini.
"Saya mengaku terlalu konservatif dalam hal mendidik anak-anak terutamanya dalam soal agama. Kalau boleh saya nak bagi yang terbaik kepada mereka.
"Walaupun sesibuk mana bekerja saya tetap akan luangkan masa bersama anak-anak. Saya tidak mahu mereka rasa saya tiada di sisi mereka," katanya ketika ditemui di Majlis Hari Bapa Oreo Bersama Aaron Aziz di sini, Selasa.
Bapa kepada Danish Anaqi, 7, Dwi Arinna, 5, dan Dahlia Arissa, 1, ini juga mengaku sering mendedahkan anak-anaknya kepada bidang seni agar mereka lebih memahami dunia yang diceburinya itu.
"Jika ada iklan yang memerlukan saya dan anak-anak saya bawa mereka sekali. Saya rasa tidak salah untuk dedahkan mereka tentang kerjaya saya.
"Dengan cara itu, mereka lebih memahami dan senang untuk jelaskan bila mereka bertanya ke mana saya pergi," katanya.
Bercerita tentang bapanya, Aaron memberitahu dia sudah kehilangan ayah kandung sejak berumur dua tahun.
"Saya tidak banyak pengalaman semasa kecil bersama ayah kandung. Mungkin disebabkan itu saya mahu anak-anak saya rasa kasih sayang seorang bapa yang secukupnya.
"Bagaimanapun ketika berumur 13 tahun ibu saya berkahwin lagi dan bapa tiri saya banyak beri nasihat dan panduan untuk menjadi seorang ketua keluarga yang baik," katanya.
Sementara itu, dia mengakui beruntung kerana kerjaya lakonan diuruskan sendiri oleh isteri yang banyak memahami.
"Lakonan adalah satu bidang perniagaan. Saya bersyukur isteri yang menguruskan jadual kerja saya, jadi ia akan lebih mudah.
"Dia akan curi masa untuk waktu rehat dan habiskan masa bersama keluarga," katanya yang sedang sibuk dengan penggambaran drama Stanza Cinta untuk TV3.
sumber : mstar.com.my

Shaheizy Sam Bayar 'Hutang' Skop Production

Posted by MohdHaz on 12:04 AM

KUALA LUMPUR: Pelakon Shaheizy Sam bakal membintangi filem Saya Amat Mencintaimu(SAM) terbitan Skop Production sebagai ganti kerana kegagalannya berlakon dalam filemKL Gangster.
Jelas Sam, dia tidak dapat membintangi filem arahan Syamsul Yusof itu berikutan jadual penggambarannya bertindan dengan filem Kongsi terbitan syarikat pengurusannya MIG Production.
“Saya berhutang satu filem dengan Skop kerana saya sudah berjanji untuk berlakon dalam filem KL Gangster tetapi jadual penggambarannya bertindan dengan jadual penggambaran filem Kongsi.
“Jadi mereka menawarkan filem SAM sebagai ganti kepada filem yang tidak dapat saya sertai itu,” katanya ketika ditemui di majlis penyerahan kereta atas kemenangannya sebagai bintang paling popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2010 (ABPBH2010) di sini, Selasa.
Sam menerima kereta Nissan Teena 2.0L bernilai RM140,000 tajaan Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd.
Pelakon itu berkata dia menolak dakwaan terdapat perselisihan faham antara dia dan Skop Production berikutan kegagalannya menyertai KL Gangster.
“Saya menghormati perjanjian saya dengan mereka, jadi saya akan gantikan dengan filem tersebut yang dijangka mula penggambaran pada Julai ini,” ujarnya
Dalam pada itu, Sam yang biasa dengan watak komedi mengakui 70 peratus daripada watak yang akan dilakonkan dalam SAM adalah dirinya yang sebenar.
“Setiap lakonan yang saya buat adalah 70 peratus diri saya yang sebenar dan disesuaikan mengikut skrip yang diberikan.
“Namun begitu saya percaya jika saya asyik bawa watak komedi sahaja, akan sampai satu tahap yang peminat akan bosan,” katanya yang mahu membawakan watak lebih mencabar dan berat.
Selain itu, ketika ditanya tentang soal hati, Sam akui masih takut untuk memulakan hubungan cinta.
“Saya seorang yang pemalu untuk memulakan sesuatu hubungan, ditambah dengan takut cinta saya ditolak.
“Banyak lagi yang perlu difikirkan selain cinta terutama sekali kerjaya saya sekarang memerlukan komitmen yang sangat tinggi,” katanya.
Sementara itu, bercerita tentang kereta Nissan Teena 2.0L yang dimenanginya, Sam memberitahu dia belum ada sebarang perancangan terhadap kereta tersebut.
"Saya sekarang memakai kereta Volvo 40 yang saya hadiahkan kepada mami (ibu) saya. Tapi disebabkan dia jarang keluar rumah, jadi saya yang gunakan kereta tersebut.
"Buat masa ini saya tidak tahu nak buat apa lagi dengan Kereta Nissan ini, saya hanya nak bawa balik rumah dan tunjuk kepada mami," ujarnya.
sumber : mstar.com.my

Hajat Tak Sampai, Pierre Andre Tangguh Kahwin

Posted by MohdHaz on 12:03 AM

Pierre Andre ingin lebih mengenali keluarga kekasihnya sebelum merancang untuk berkahwin. - Foto AHMAD IZZRAFIQ ALIAS
PETALING JAYA: Hasrat pengarah dan pelakon Pierre Andre untuk mengakhiri zaman bujangnya pada tahun ini tidak kesampaian apabila dia terpaksa menangguhkan keinginan itu untuk lebih mengenali keluarga sebelah perempuan.
Pierre berkata, hubungannya dengan gadis, kerabat diraja Terengganu yang sudah terjalin lebih tiga tahun itu tidak menghadapi masalah.
Sebaliknya, dia perlu meyakinkan keluarga kekasihnya itu tentang kemampuannya untuk bergelar suami yang berstatuskan anak seni.
"Kalau boleh memang saya hendak kahwin awal seperti yang sering saya katakan sebelum ini tapi nampaknya saya terpaksa ditangguhkan dahulu buat masa ini.
"Hubungan kami tiada sebarang masalah. Malah, keluarga kedua-dua belah pihak juga merestuinya. Namun saya perlukan sedikit masa untuk lebih mengenali dan memenangi kepercayaan keluarga kekasih saya sebelum merancang tentang perkahwinan," katanya.
Pierre Andre bersama para pelakon drama Ana Lu'lu di Sri Pentas, Bandar Utama, Rabu.
Bercerita tentang perkembangan terbaru, Pierre kini kembali ke kerusi pengarah di bawah produksi MIG Production menerusi drama bersiri Ana Lu’lu.
"Ini adalah tugas pengarahan pertama saya di bawah produksi MIG selepas persengketaan antara saya dan David berakhir tahun lalu.
"Selain drama ini, saya tidak pasti bila saya akan dapat mengarahkan semula filem-filem MIG kerana sudah terikat dengan pelbagai projek bersama produksi luar sepanjang tahun ini," katanya yang mengakui penerbit itu memberikan kebebasan kepadanya untuk berkarya dengan produksi lain.
Pierre yang kembali aktif ke bidang pengarahan dan lakonan selepas krisis yang dihadapinya kira-kira dua tahun lalu bakal muncul dengan empat buah filem iaitu Al Hijab, Chantek, Aku, Kau dan Dia dan Bisikan Puaka yang masih menantikan tarikh tayangan.
"Sudah empat buah filem arahan saya siap. Malah, sekarang saya tengah buat suntingan filem Aku, Kau dan Dia.
"Selepas menamatkan baki penggambaran drama Ana Lu’lu, saya akan memulakan sebuah lagi filem dan beberapa projek lain," katanya.
sumber : mstar.com.my

Rossa Enggan Berlakon Filem

Posted by MohdHaz on 12:02 AM

JAKARTA: Penyanyi Rossa tidak tertarik untuk menceburkan diri dalam bidang lakonan biarpun mendapat beberapa tawaran menjadi bintang filem.
Kata Rossa, dia lebih meminati bidang nyanyian dan mahu menumpukan perhatian sepenuhnya kepada bidang tersebut.
"Banyak tawaran filem yang datang tapi terpaksa saya tolak kerana tidak sesuai dan yang paling utama saya tidak berminat untuk berlakon.
"Saya mahu bekerja dengan melakukan apa yang saya ingin lakukan dan ternyata saya terlalu cintakan bidang nyanyian.
"Bagi saya cukuplah berlakon pada klip video lagu saya sendiri sahaja," katanya seperti dipetik Kapanlagi.com.
sumber : mstar.com.my

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
  • RSS
  • Delicious
  • Digg
  • Facebook
  • Twitter
  • Linkedin

Search Site